Positif Covid-19. Ini adalah doa yang setiap hari kita pohon dari Tuhan agar dijauhkan. Di musim wabak yang sedang galak melanda, pastinya setiap daripada kita mengharapkan diri sendiri serta insan-insan tersayang dihindari serta dijauhi dari penyakit ini.
Pelbagai langkah pencegah dilakukan. Lihat sahaja di serata tempat, topeng muka, cecair pembasmi kuman, ‘hand sanitizer’ malah sarung tangan juga habis diborong. Semuanya demi memastikan keluarga tercinta terlindung dari musibah.
Namun apakan daya kita sebagai manusia biasa untuk menolak dugaan yang diberi Allah SWT. Menerusi lama FB Rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia, setiap hari ada sahaja kes baharu Covid-19 yang dilaporkan dan syukur ke hadrat Ilahi, bilangan pesakit yang sembuh juga semakin meningkat.
Di dalam usaha kita dalam membendung virus ini, RASA turut menzahirkan rasa simpati buat Chef Suhaili Mohd Noor yang mana suami beliau, Herwin Bachtiar disyaki Positif Covid-19 dan kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).
Difahamkan suaminya tidak mempunyai apa-apa hubungan atau kontak rapat dengan mana-mana pesakit yang positif Covid-19. Malah hari ini beliau dan anak-anak juga akan menjalani ujian kesihatan bagi mengesan virus ini.
Chef Suhaili yang merupakan pensyarah dalam bidang Hotel & Katering adalah antara barisan chef yang banyak menyumbangkan bakti untuk majalah RASA. Beratus-ratus resipi telah dihasilkan dan menjadi panduan para pembaca & ‘followers’ RASA di seluruh Malaysia. Dari resipi tradisional, kuih muih serta sajian luar negara, sentuhan air tangan Chef Suhaili sememangnya tidak pernah menghampakan.
Bekerja bersama beliau amat mudah. Sifat mesra dan rendah diri yang ada padanya membuatkan beliau sentiasa disenangi ramai. Malah kerjasama yang yang diberikan oleh suami dan anak-anak sewaktu sesi pengambaran berlangsung memang tiada berbelah bagi. Sang suami tenang tersenyum manakala si anak leka bermain sendiri sementara menunggu ‘shooting’ habis. Banyak kenangan manis RASA bersama Chef Suhaili sekeluarga yang kekal kemas di ingatan kami.
Jadi kami di Majalah RASA ingin mengajak dan memohon kepada semua pembaca agar sama-sama mendoakan kesembuhan buat suami Chef Suhaili ( Encik Herwin Bachtiar ) dan juga mengharapkan keputisan ujian negatif Covid-19 buat Chef Suhaili dan anak-anak yang akan dijalankan hari ini.
Beliau dan keluarga sedang diuji. Moga dengan doa dari kita semua dapat memberikan kesejahteraan buat keluarga kecil ini. Insyaallah.
Amin…