
Saya suka masak sup di rumah. Biasanya saya akan hidangkan bersama sambal kicap dan sedikit taburan bawang goreng. Masalahnya, saya kurang gemarkan bawang goreng yang dibeli kerana kadang-kadang terbeli yang sudah agak lama. Rasanya kurang sedap dan berbau hapak. Macam mana nak buat bawang goreng yang sedap sendiri?
Persoalan ni pastinya pernah terlintas di fikiran anda kan? Bila buat sup, selain daun sup yang membangkitkan aroma, ramai yang suka menikmatinya bersama bawang goreng. Biasanya kita hanya akan menggunakan bawang goreng segera yang boleh dibeli di kedai.

Ada juga yang lebih suka membuat bawang goreng sendiri. Macam mana cara yang sebenar untuk membuat bawang goreng yang rangup dan rasanya enak ?Ada yang cuba buat bawang goreng homemade tapi akhirnya menjadi hangit kerana dibiarkan terlalu lama dalam kuali dengan harapan untuk menjadikannya rangup.

Tak mengapa…Ada cara lain yang boleh anda cuba. Ini panduan membuat bawang goreng yang anda perlu tahu.
PANDUAN MASAK BAWANG GORENG YANG SEMPURNA

Cara paling mudah untuk membuat bawang goreng adalah:
1. Kupas bawang. Kemudian direndam di dalam air garam selama 10 minit.

2. Bilas bersih sebelum dihiris nipis.

3. Masukkan tepung gandum ke dalam hirisan bawang dan gaul rata.
4. Goreng bawang atas api sederhana sehingga garing.

5. Kemudian simpan dalam bekas kedap udara supaya tahan lebih lama dan lebih wangi dan rangup.
INFO CHEF: Untuk hasil bawang goreng yang terbaik, pilih bawang merah yang berkualiti dan tidak layu. Selain itu, sebaik-baik bawang merah yang sesuai digoreng adalah yang bersaiz sederhana.
Tak tahu nak masak apa? Lubuk resipi RASA kini di SEENI, tak perlu susah lagi.
Download
sekarang!
Chef Sabri Soid , Cipta Nama Antara 10 Chef Terbaik Di Rantau Asia

Ketika ditemui Eksekutif Chef, Sabri Soid, Hotel Royale Chulan KL, baharu sahaja kembali dari Mumbai, India. Berada di sana selama tiga minggu sempena promosi makanan Malaysia. Menurutnya sajian Melayu masih ke belakang berbanding negara Asia yang lain seperti India, Thailand, Jepun dan Korea. Tak payah pergi jauh katanya lihat sahaja Thailand konsep ‘food styling dan presentation’ jauh lebih ke hadapan.

.
“Istilah masak campak-campak tak sesuai jika mahukan masakan Melayu dipandang dunia. Masakan Melayu perlu ada seni hidangannya. Perlu ada penggayaan dan persembahan yang menarik jika mahu dimartabatkan sebagai konsep ‘fine dining’ dan boleh menarik selera masyarakat antarabangsa. Chef atau Tukang Masak itu perlu fahami ‘bahasa’makanan dan perlu bersifat terbuka dan versatil bila memasak masakan.

.
Contohnya kenapa perlu pilih ikan cencaru dan kembung sahaja bila nak memasak singgang menapa tidak kita ‘improvised’kan lagi dengan menggunakan ikan kod agar ia menjadi lebih ekslusif lagi. Sajian Melayu sebenarnya telah mendapat perhatian antarabangsa dan boleh diketengahkan lagi dengan membuat penambahbaikan , biar nampak berseni sentuhannya.
Masa saya ke Konvensyen masakan ‘Malay Fine Dining’di Stockholm, Sweeden, saya lihat berderet orang barat ingin merasai masakan Melayu. Kita perlu menggunakan ramuan yang berkualiti yang popular di peringkat antarabangsa contohnya wagyu beef untuk rendang atau nasi lemak dengan sambal abalone dan udang galah. Usah terlalu ikat bahan ramuannya dan bersikap terbuka membuat perubahan meningkatkan darjat lauk pauk Melayu ini,” azam beliau yang mahu memartabatkan konsep ‘fine dining’ sajian Melayu di arena masakan antarabangsa.
Pengalaman Mantapkan Kepakaran
Dalam menguasai kepakaran masakan, pengalaman adalah ilmu penting untuk memantapkan kemahiran. Kerjanya bermula dari bawah dan dia melalui ke pelbagai tangga kerjaya bermula daripada apprentice, commis hinggalah ke Spus Che dan Chef De Cuisine sebelum jawatannya kini..

.
Berusia 44 tahun, sebagai orang ‘lama’, dia pernah belajar dan dibimbing oleh barisan Chef antarabangsa daripada Eropah dan Australia . Sajian Perancis juga adalah kepakaran utama Chef Sabri. “Bekerja di bawah ketua chef berbangsa asing mereka betul-betul melihat daripada segi kualiti dan ketulenan resipi. Contohnya sajian French Onion Soup perlu menguasai resipi asli yang asal, “ cerita beliau lagi yang mengetuai lebih 50 orang krew dapur di Royale Chulan Kl.
Di hotel ini terdapat Warisan Café yang menyediakan masakan Malaysia dan antarabangsa, Restoran Bunga Emas (fine dining Melayu), Restoran Masakan China Tai Ping, L’Heritage Steak House . Di samping memastikan semua operasi makanan berjalan lancar di tempat ini, Chef Sabri juga mengetuai tanggungjawab operasi bankuet dan majlis keraian di hotel yang kadang kala mencecah 2 ribu tetamu.

.
Di antara kejayaan lain pernah diraihnya ialah menerima pengiktirafan daripada Persatuan Masakan Perancis Gastronomi Antarabangsa berprestij Chaine des Rotisseurs dalam penyediaan masakan Perancis dan mendapat lima tangga terbaik dunia. Di awal kerjayanya juga beliau pernah merima Anugerah Tangan Emas International Gastronomique.

.

.
Di samping itu Chef Sabri juga telah beberapa kali dijemput dalam Master Chef Malaysia dan pada tahun lepas beliau dilantik oleh Kementerian Pelancongan & Asas Tani sebagai Ahli Majlis Kulinari Negara bagi memartabatkan masakan Melayu di seluruh pelusuk dunia. Setiap tahun juga beliau menjadi juri pertandingan masakan FHM dalam pelbagai kategori serantau Asia.

.
“ Tiga ciri ini disiplin, minat dan mahir berkomunkasi atau skil PR harus ada pada diri seorang Chef di samping pengetahuan mendalam mengenai makanan yang ada jika mahu menjadi Chef yang berjaya” pesan Chef Sabri yang juga suka mengembara dengan konvoi motorsikal besar sebagai hobi masa lapangnya.
Jom semak dua resipi pencuci mulut dan lauk sajian Melayu istimewa dari Chef Sabri :
SUKUN GULUNG BERSAMA SOS VANILA

SUKUN GULUNG BERSAMA SOS VANILA.
BAHAN-BAHAN:
- 300gm buah sukun | dipotong dadu
- 100gm buah ciku | dipotong dadu
- 50gm kismis hitam
- 50gm gula putih
- 100gm serbuk roti
- 200gm pastri filo
- 50gm mentega | dicairkan
- 100ml susu
- 50ml krim masakan
- 50gm serbuk kastad
- 30ml esen vanilla
- 20gm tepung jagung
- 1 biji telur kuning
CARA MEMASAK:
1. Campurkan sukun, ciku, kismis, gula dan serbuk roti dan masak sehingga semuanya lembut. Sejukkan di dalam bekas yang sesuai.
2. Lapiskan pastri filo sebanyak 4 lapisan dengan setiap lapisan disapu dengan mentega cair.
3. Letakkan sukun yang sudah dimasak itu di bahagian tengah dan gulung pastri filo itu sehingga berbentuk bulat. Sapukan kuning telur dan bakar selama 2o minit.
4. Panaskan susu dan krim masakan. Masukkan gula, tepung kastad dan esen vanilla. Pekatkan dengan tepung jagung jika perlu.
5. Hidangkan di dalam pinggan yang sesuai dan letakkan sos vanilla d iatasnya.
6. Enak dimakan bersama aiskrim.
Info chef:
Lagi elok jika menggunakan gula perang.
SINGGANG PATIN TEMPOYAK

SINGGANG PATIN TEMPOYAK.
BAHAN-BAHAN:
- 400gm ikan patin
- 100 tempoyak
- 50gm bawang merah
- 50gm bawang putih
- 50gm daun kesum
- 100gm bunga kantan
- 400ml air
- 100gm timun | dibuang biji dan dipotong panjang
- 10gm serbuk kunyit
- Cili merah untuk hiasan
- Garam,gula dan lada sulah secukupnya
CARA MEMASAK:
1. Rebus air bersama bawang merah, bawang putih, daun kesum dan bunga kantan selama 10 minit. Masukkan tempoyak dan serbuk kunyit. Perasakan secukupnya.
2. Masukkan ikan dan rebus selama 10 minit atau sehingga ikan itu masak.
3. Tutup api dan masukkan timun.
4. Hidangkan didalam mangkuk yang sesuai dan hiaskan dengan cili merah
INFO CHEF :Gunakan patin buah untuk rasa yang lagi enak(kos juga akan naik). Jangan masukkan ikan terlalu awal supaya isinya tidak hancur.
Dekorasi Kek Menarik, Ilham Anak Muda Di Modernecks

Kedai kek dan pastri Modernecks Seksyen 24, Shah Alam, bagaikan magnet menarik pelanggan dengan kelazatan kek dan pastrinya yang dijual dengan harga berpatutan. Dekorasi gaya hipster, dekorasi kek warna warni nan cantik dan variasi pilihan menunya cukup memikat selera. Tapi yang paling kuat tarikan ke Modernecks ni adalah aroma kek dan pastri yang dibakar segar terus dari dapur dalam kedai.

.

Pemiliknya adalah anak muda berusia 30 tahun, Muhammad Firdaus Mohd Radzi yang menjadi ‘orang kuat’ memperkasakan perniagaan keluarganya. Mempunyai latarbelakang kulinari dan pembuatan kek dan pastri sebelum ini dia pernah meraih pengalaman sebagai Chef sepenuh masa di hotel terkemuka. Akhirnya memilih untuk memfokuskan dalam perniagaan kek dan pastri pada tahun 2017.
“ Saya suka keluar dari zon selesa kerana saya percaya apa yang saya ada iaitu kemahiran dan ilmu boleh digunakan dan untuk beri manfaat masyarakat. Kedai kek saya ini bukan sahaja menyediakan kek dengan harga berpatutan. Saya juga mengambil kakitangan dan ‘baker’ muda yang baru habis belajar bagi memberi peluang kepada mereka merasai bekerja dalam industri ini.
Kedai ini ibarat tempat staf saya berlatih dan menggilap bakat dan ilmu sambal menjalankan pekerjaan. Staff saya semuda 18 tahun dan semuanya berusia bawah 30 tahun,” kata Firdaus yang cukup bangga dengan kemajuan dan skil yang dicapai pasukan kerjanya.

.
Di antara kek yang popular di sini adalah Chocolate Fudge, Choc Caramel, Kek Pandan Gula Melaka, Kek Oreo, Salted Vanila Caramel, Rainbow Cakes, Kek Red Velvet dan Brownies. Manakala Rainbow Kek , Pavlova dan Krim Puff juga turut mendapat sambutan hangat pelanggan.

.
Lebih menarik kek juga dijual dalam bentuk mini (baby cake) bermula RM18 dengan berat 300gm bagi memberi harga yang lebih mampu buat pelanggan, Kek seberat ½ kg bermula dengan harga RM38 dan Satu kilogram pula dengan harga RM73,bergantung kepada jenis kek.

.
Modernecks juga turut menerima tempahan ‘custom made’, korporat dan majlis keraian. Lebih 60 peratus daripada tempahan yang diterima kini adalah melalui online melalui FB, Instagram dan juga Whatsapp.

.
INFO KEDAI :
Lokasi : No 9-G, Jalan Kangkung Puteri 24/7, Seksyen 24, Shah Alam, Selangor
Pemilik : Muhammad Firdaus Mohd Radzi dan keluarga
Waktu urus niaga : Setiap hari, Jam 10 pagi hingga 10 malam
Keistimewaan :
1. Menyediakan meja dan kerusi selesa bagi pelanggan yang memilih untuk makan di kedai.
2. Kek dimasak segar daripada dapur yang juga berada dalam kedai kek& pastry Modernecks ini.
3. Menerima tempahan korporat dan ‘custom made’ ikut tema dekorasi dan citarasa pelanggan.
4. Berazam menyajikan permintaan 500,000 pelanggan (warga Selangor) menjelang 2020
INGIN MENCARI MIXER DAN MESIN MEMPROSES TERKINI, JOM LAYARI DI SINI :
ANDA MUNGKIN MENYUKAI VIDEO MASAKAN INI :
DAN JUGA RESIPI-RESIPI INI :
https://www.rasa.my/kek-batik-indulgence-lembut-dan-bila-potong-tak-melekat/
https://www.rasa.my/kek-karamel-pelangi-kukus-lembut-di-tekak/
Kek Ogura Roselle Tanpa Pewarna Tiruan, Merah Asli Dari Roselle
Petua Masak Sup Sayur Agar Rasanya Lebih Sedap!

Sup sayur yang baru dimasak, memang sedap! Lebih-lebih lagi jika nikmati hidangan ini dikala cuaca sejuk ataupun semasa selsema. Nak tahu tip masak sup sayur yang sedap? Berikut tip yang disarankan:-
1. GUNA BAWANG SEBAGAI ASAS

Bawang merah dan bawang putih adalah bahan perencah asas yang digunakan dalam kebanyakan jenis sup, termasuk sup sayur. Oleh itu, tumis bawang merah dan bawang putih lebih kurang lima minit atau sehingga lembut dan sebati dengan kuah sup. Sebatian bawang inilah yang memberikan rasa dan aroma pada sup sayur anda. Jika tak letak, memang kurang rasa.
2. WAKTU MEMASAK

Sup sayur yang sedap tidak memerlukan waktu memasak yang lama. Tempoh memasak paling ideal adalah 20 minit sahaja sudah cukup. Terutamanya jika potongan sayur dalam sup dalam saiz kecil. Selain itu gunakan api kecil semasa memasak sup sayur. Andai masak terlalu lama, sayur akan kehilangan nutrien dan vitamin malah teksturnya juga akan menjadi terlalu lembik. Memang tak sedap!
3. WAKTU MERASA KENA TEPAT

Sebaiknya rasa sup sayur terlebih dahulu sebelum menambahkan bahan perencah dan perasa yang diperlukan. Inagt! Jangan rasa sup semasa dalam keadaan mendidih kerana ia akan membuatkan lidah anda melecur. Malah, perasanya juga tidak tepat. Rasa makanan semasa panas dan semasa suhu menurun ada sedikit perbezaan. Sup akan berasa kurang garam semasa dirasa dalam keadaan panas lalu anda akan cenderung untuk menambah lebih garam. Tetapi andai dirasai semasa sup sedikit sejuk, sup tersebut sebenarnya sudah punya rasa dan hanya perlukan sedikit penambahan perisa.
4. GUNA PERENCAH AYAM ATAU PATI IKAN BILIS

Sup yang sedap datangnya dari kuah yang lazat. Oleh itu, dengan menambah sedikit perencah pati ayam atau ikan bilis, sup akan menjadi lebih sedap dan berasa. Malah dengan menggunakan perasa ini, anda boleh abaikan penambahan garam kerana rasa masin sudah mencukupi.

