Doktor Ajar Cara Betul Hilangkan Tangan Pijar, Jangan Basuh Dengan Air

Share

Tangan pijar memang kejadian biasa berlaku bila di dapur, terutama bila menggunakan cili.

Bila tangan dah panas memang rasa terlalu lama untuk hilang. Seksa hingga kita akan rendam atau cuci tangan dengan air.

Tapi kan guna air saja untuk hilangkan pijar sebenarnya silap. Ada perkara lain lagi yang perlu dilakukan untuk atasi rasa pijar ini. Caranya dikongsi oleh Dr Kamarul Ariffin Nor Saadan.

Cara betul hilangkan tangan pijar, tak cukup guna air saja

“Doktor, tangan saya pijar! Macam mana nak hilangkan? Seksa, doktor!”

Kadang-kadang, ada pesakit datang ke klinik sebab tangan dia pijar selepas dia menyambal. Kesilapan utama yang dilakukan oleh ramai orang adalah, mencuci dengan air sahaja.

Tangan kita pijar selepas pegang cili adalah kerana cili mengandungi capsaicin. Sebatian ini, akan merangsang reseptor deria sakit. Kalau kena kulit, kita rasa pijar, kalau kena lidah, kita rasa pedas.

Capsaicin ni, ia tak larut air. Kalau kita cuci tangan dengan air sahaja, capsaicin ni sukar nak tanggal dari kulit kita. Capsaicin ni larut dalam minyak/lemak. Oleh itu, kita gunakan:

1. SUSU

Susu berlemak dan mengandungi sejenis protin dipanggil casein. Ia akan memutuskan ikatan antara capsaicin dengan reseptor di kulit. Selepas cuci dengan susu, bilas dengan air sabun.

2. MINYAK

Jika nak cuci tangan guna susu, rasa macam membazir pula. Jadi kita boleh gunakan minyak. Minyak akan mencairkan capsaicin. Selepas itu perlu juga bilas dengan air sabun.

3. CUKA

Capsaicin bersifat alkali, jadi secara teori bahan berasid boleh meneutralkan atau melemahkan kesannya. Boleh juga gunakan air asam, perahan limau, atau sos tomato.

4. ALKOHOL

Capsaicin juga boleh dilarutkan dengan alkohol. Jadi boleh gunakan pensanitasi tangan berasaskan alkohol untuk mencuci tangan yang pijar. Kena gunakan banyak.

5. LOSYEN

Gunakan losyen berasaskan minyak untuk melarutkan capsaicin, kemudian disusuli dengan bilasan air sabun untuk buang losyen yang telah dicemari capsaicin tadi.

 

Selain mencuci gunakan bahan-bahan tertentu, capsaicin juga boleh ditanggalkan menggunakan geseran. Maknanya kena gosok tangan dengan tuala, berus, garam atau hampas kelapa.

Semoga bermanfaat!

Sumber: Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan, Kesihatan dan Perubatan

 

Published by
Rose