Chef Tan Tik San dari hotel Sheraton PJ, memang bukan calang-calang pengalamannya. Dalam masa lapan tahun berkecimpung dalam industri kulinari dan perhotelan, dia telah berjaya menyandang jawatan Eksekutif Chef iaitu jawatan ketua dan ‘ranking’ teratas dalam kerjaya Chef.
Setelah sekian lama menceburi bidang ini iaitu lebih daripada 25 tahun, minat dan kecintaannya dalam bidang ini masih tetap membara dan menebal dalam dirinya.
Dulu Chef Tan bermula dari bawah aje, Commis III. Pintu kariernya mula terbentang luas dan terus melangkah ke hadapan apabila terpilih ke program ‘special apprenticeship kitchen’ semasa bertugas di Hotel Hilton pada 1989- 1991. Program ini hanya mengambil petugas yang berpotensi dan berprestasi cemerlang termasuk dirinya
Ads
Berusia 51 tahun, Chef Tan juga tidak mempunyai latar belakang akademik dan formal dalam bidang ini, tetapi pengalaman kerja dan program yang dilaluinya cukup mematangkan dan membentuk kerjayanya kini. Sebagai Eksekutif Chef kini dia memimpin lebih 75 Chef dan petugas dapur di Hotel Sheraton PJ sejak hari pembukaan hotel pada tahun lepas.
Ads
Di mana antara tanggungjawabnya perlu memastikan kualiti makanan terbaik dan operasi kulinari berjalan lancar. Pada awal penubuhan Sheraton PJ, Chef Tan perlu membuat perancangan dan strategi tarikan menu dan pasukan dapur dan bankuet yang mantap.
Berasal dari Ipoh, Perak katanya minat memasak timbul kerana katanya, “Bila makanan yang dimakan sedap dimakan dan sedap dipandang ,secara tak langsung mencetus minat saya untuk belajar membuatnya. Ayah dan ibu saya pandai memasak ini juga turut tarik minat saya untuk memasak juga.”
Ads
Pengalaman bekerja di hotel bertaraf antarabangsa dan peluang bekerja di bawah bimbingan Chef hebat luar negara menyebabkan dia merasa cukup bertuah. “2 chef mentor yang tak dapat saya lupakan Chef Rudolf Muller dari Hong Kong semasa bertugas di Hilton. Dan Chef James Wierzelewski dari USA semasa di hotel Shangri La.
Chef Rudolf MullerChef James Wierzelewski
Kedua Chef ini banyak memberi inspirasi, 20 tahun yang lampau di hotel-hotel ternama dan bertaraf 5 bintang di negara kita diketuai oleh Eksekutif Chef dari luar negara. Jadi semasa muda saya banyak belajar dari mereka yang menjadi mentor saya. Mereka memang sangat berpengetahuan, kreatif dan sarat dengan idea. Sangat profesional dengan tugas yang memotivasikan saya untuk lebih cemerlang,” ceritanya lagi.
Pesannya kepada adik-adik ‘intern’ atau pelatih amali dari kolej dan universiti yang mahu menyertai latihan amali di sini ini perlu bersikap sedia untuk belajar, bersemangat gigih, boleh dipercayai, boleh diharapkan selain mempunyai sikap dan ‘attitude’ yang positif dan baik. Haa dengar tu, catat apa yang dipesan tu baik-baik dalam ingatan.
Ni senarai pengalaman Chef Tan sejak menyandang kedudukan Sous Chef, kalau nak mula dari bawah lagi panjang senarainya. 1.1992-1993, Jr. Sous Chef – Hotel Istanam KL 2.1989-1991, Section Chef, Hotel Hilton, Kl 3.1995- Feb 1996, Eksekutif Chef – Duta Vista Eksekutif Suites KL 4.1997-1998, Eksekutif Chef, -Bukit Unggul Golf & Country Resort, Bangi, Selangor 5.1998 – 2000, Eksekutif Chef – Rihga Royal Hotel, Miri , Sarawak. 6.2000-2001, Eksekutif Chef – Renaissance Kota Bharu, Kelantan 7.2001-2006, Eksekutif Chef – The Legend Hotel, Kelantan 8.2006-2010, Eksekutif Chef – One World Hotel, PJ 9.2010- 2012, Eksekutif Chef – Grand Millennium Hotel, KL 10.2012- 2015, Eksekutif Chef – Berjaya Times Square Hotel, PJ 11.2015- 2017 Eksekutif Sous Chef/ Relieve Eksekutif Chef – Star Pisces/Superstar Libra, Star Cruise
Tak tahu nak masak apa? Lubuk resipi RASA kini di SEENI, tak perlu susah lagi.
Download
sekarang!
Keputusan SPM dah pun keluar hari ni. Tahniah bagi yang lulus cemerlang dan juga mereka yang keputusan biasa-biasa. Apapun syabas kerana adik-adik dah berusaha habis . Ada yang berminat nak sambung belajar dalam bidang kulinari?
Ni min kongsikan 10 institusi pengajian yang menawarkan program kulinari termasuk roti dan pastri. Bukan setakat teori tetapi yang mengujakan tamat pengajian nanti adik-adik dah pun menjadi tenaga mahir.
Institusi-institusi yang Min kongsikan ni bukan sahaja untuk pelajar cemerlang akademik sahaja, tetapi ada setengah institusi yang menyediakan ruang pelajar untuk mereka yang keputusan biasa-biasa aje.Ia hanya memerlukan sijil berhenti sekolah.
Semak senarai ni dan pilih yang mana sesuai…jangan tak pilih. Cerah masa depan dik…
1 . INSTITUT KEMAHIRAN TINGGI BELIA NEGARA (IKTBN)
LOKASI : KM 34, Ramuan China Besar, Masjid Tanah, Melaka
Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Alor Gajah, Melaka adalah salah satu daripada 22 buah Institut Latihan Kementerian Belia dan Sukan ( (ILKBS). Belia-belia lepasan sekolah yang berumur 18 hingga 30 tahun boleh mohon. Semua pelajar boleh pohon tak kira apa keputusan peperiksaan.
Di sini adik-adik boleh pilih samada latihan menjadi menjadi tenaga mahir dan separuh mahir. Kursus-kursus yang ditawarkan dalam bidang Hospitaliti adalah Penyediaan Makanan, Penyediaan Pastri, Penyediaan Roti dan Penyajian.
Tahap tertinggi pengajian adalah ditawarkan sehingga tahap 5 (Diploma Lanjutan) bagi kursus Penyediaan Makanan dan Penyajian dan tahap 4 (Diploma Teknologi) bagi Penyediaan Pastri dan Penyediaan Roti.
2. SEKOLAH HOSPITALITI DAN PELANCONGAN (SHP). KOLEJ YAYASAN PELAJARAN JOHOR (KYPJ)
LOKASI : Kampus Induk KYPJ, Kilometer 16, Jalan Kulai-Kota Tinggi, 81000 Johor
Sekolah Hospitaliti dan Pelancongan (SHP) KYPJ sebelum ini dikenali sebagai Institut Hospitaliti YPJ ni dah 21 tahun penubuhannya. SHP ketika ini mempunyai seramai 1.100 pelajar dari seluruh negara daripada keseluruhan 2,800 pelajar di kampus Induk KYPJ.
Ia menawarkan tiga program dalaman peringkat Diploma diakreditasi oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA). Bidang-bidang yang ditawarkan ialah Diploma Pengurusan Perhotelan, Diploma Seni Kulinari dan Diploma Perkhidmatan Makanan (Makanan Halal) dengan syarat kemasukan lulus SPM dengan tiga kredit dalam mana-mana subjek atau lulus Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 serta lulus SPM sekurang- kurangnya satu kredit.
3. GIATMARA HULU LANGAT
LOKASI : GIATMARA HULU LANGAT ,NO 65,66,67 Jalan Prima Saujana, Taman Prima Saujana ,Kajang, Selangor.
Usah putus asa jika keputusan SPM tidak cemerlang.Terdapat pelbagai pilihan pendidikan kemahiran boleh dilakukan berdasarkan minat dan cita-cita yang boleh memenuhi keinginan pelajar.
Di GIATMARA, syarikat milik penuh MARA menawarkan latihan kemahiran kepada bumiputera. Objektifnya kini diperkasakan untuk melahirkan tenaga mahir negara, mewujudkan usahawan dan mengatasi kemiskinan. Syarat kemasukan tiada had umur dan terbuka kepada Bumiputera berumur 15 tahun serta boleh 3M (membaca, menulis dan minat).
Terdapatn 84 jenis kursus sepenuh masa termasuk kulinari. Kursus yang ditawarkan adalah secara percuma di antara enam hingga 12 bulan. Ia bukan sahaja mensasarkan golongan belia malah individu yang tidak dapat meneruskan pembelajaran akademik . Malah turut membuka peluang kepada mereka mendapat latihan kemahiran bagi tujuan mendapat kerja dan juga untuk menceburi bidang keusahawanan.
Secara keseluruhan terdapat 16 Pusat GIATMARA di seluruh Malaysia yang menawarkan kursus Masakan dan Pramusaji selama enam bulan (Sijil Kemahiran Malaysia Tahap Dua).
4. SG ACADEMY
LOKASI : SG Academy, Ibu Pejabat :Putra Majestic Business Centre, Jalan Sultan Azlan Shah, Kuala Lumpur Cawangan : SG Academy Sarawak : Lot 208 Muara Tuang Lamd Distict, Kuching, Sarawak
SG Academy adalah sebuah pusat bertauliah kemahiran swasta dengan pelbagai program kemahiran selaras dengan permintaan industri terkini. Di antara program yang disediakan adalah Diploma dan Sijil dalam Servis Makanan dan Minuman, Diploma dan Sijil dalam Penyediaan Makanan serta Diploma dan Sijil Pembuatan Pasteri di samping program-program yang lain.
SG Academy menyediakan fasiliti latihan terbaik dan persekitran kondusif latihan kemahiran di dalam kesemua pusat latihan kemahiran . Disebabkan itu SG Academy dianugerahkan taraf 5 bintang oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran untuk tahun 2013
5. ACCELSKILL ACADEMY
LOKASI : WISMA ACCELSKILL, 491 Plaza Melaka,Jalan Hang Tuah, Melaka
AccelSkill Academy adalah pusat bertauliah yang menawarkan Sijil Kemahiran Malaysia di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia. Terletak di bandaraya bersejarah Melaka, akademi ini telah beroperasi sejak 2009.
Program dan kelas yang ditawarkan adalah Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 2 dan 3 dalam Penyediaan dan Pembuatan Makanan dan juga Culinary Skills (City & Guilds).
6. KAGUMAS CULINARY ACADEMY
Lokasi : Lot 18, Jalan 9/3, Taman IKS, Seksyen 19, Bandar Baru Bangi ,Selangor Darul Ehsan
Kagumas Culinary Academy telah diasaskan oleh Hj Harun Nordin (FCIM) pada tahun 2008 berbekalkan pengalaman beliau dalam bidang perhotelan dan hospitali selama 21 tahun.
Istimewanya kolej ini bukan sahaja dibuka untuk pelajar biasa tetapi juga anak-anak ‘slow learner’ (OKU). Ia menawarkan program Sijil dan Diploma (City & Guilds, UK) yang terdiri daripada Sijil Penyediaan dan Pembuatan Makanan serta Diploma Seni Kulinari/ Seni Pastri. Senang dipelajari dan mudah serta praktikal.
Penyertaan terbuka kepada pelajar berusia 16 tahun ke atas dengan kelulusan PMR.
7. UNIVERSITY TAYLOR’S
Lokasi :1,Jalan Taylors, Subang Jaya, Selangor.
Pusat Pengajian Seni Kulinari dan Pengajian Makanan adalah sebahagian daripada Fakulti Pengurusan Hospitaliti, Kulinari dan Pelancongan, Universiti Taylor’s, yang terletak di Subang Jaya, Selangor. Ia telah ditubuhkan lebih 30 tahun yang lalu pada tahun 1986 dengan kerjasama University of Toulouse- Jean Jaurès, yang merupakan universiti kedua tertua dan terbesar di Perancis.
Program yang ditawarkan adalah Diploma in Culinary Arts, Advanced Diploma in Patisserie and Gastronomic Cuisine, dan bagi mereka berkelayakan boleh menyambung ke peringkat Bachelor of Culinary Management (Hons) Bachelor of Science(Hons)(Culinology) dan Master of Philosophy (Food Studies).
8. MANAGEMENT AND SCIENCE UNIVERSITY (MSU)
ALAMAT : :University Drive, Off Persiaran Olahraga, Shah Alam, Selangor.
Management & Science University (MSU) sebuah institusi tinggi berkaliber dan mendapat pengiktirafan antarabangsa menawarkan program-program hospitaliti dan pelancongan untuk memenuhi keperluan terhadap tenaga kerja mahir dalam bidang berkenaan.
Melalui School of Hospitality and Creative Arts atau Sekolah Hospitaliti dan Seni Kreatif (SHCA), MSU menawarkan pelbagai program pengajian diperingkat sarjana muda dan diploma secara sepenuh masa dan pembelajaran fleksibel bagi golongan bekerja.
Bidang-bidang pengajian yang ditawarkan dan berkait dengan industri hospitaliti,, pelancongan dan kulinari adalah Pengurusan Hospitaliti dan Pelancongan serta Seni Kulinari dan Seni Pastri.
9. FOOD INSTITUTE OF MALAYSIA (FIM)
LOKASI : 41-51, Jalan SS 6/12, Ss 6, Petaling Jaya, Selangor
FOOD INSTITUTE of MALAYSIA (FIM atau Institut Makanan Malaysia) bertujuan untuk melatih pelajar menjadi seorang profesional dalam Industri Hospitaliti. FIM mendapat kelulusan dari Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) pada Januari 2003 dan mula beroperasi pada tahun yang sama.
Di antara kursus-kursus yang ditawarkan adalah : Diploma Seni Kulinari Diploma Pastri dan Bakeri Diploma Pengurusan Perkhidmatan Makanan Diploma Pengurusan Hotel Diploma Pengurusan Pelancongan Kursus-Kursus Jangka Pendek Semua kursus diploma telah mendapat akreditasi penuh MQA.
10.MALAYSIAN FOOD (AUTHENTIC) COLLEGE (MFA)
Lokasi : Unit C-1-28 Blok C, Pangsapuri Spring Villa, Jalan UP 1/1D Taman Ukay Perdana, Ampang, Selangor Darul Ehsan
MFA Education Sdn Bhd dahulunya dikenali sebagai Bakeri Ria Academy Sdn.Bhd telah ditubuhkan pada Februari 2007. Pengurusan syarikat diterajui oleh Chef Datuk Mohd Farid Alwi .Kolej ini juga membuka langkah murni dengan menawarkan tempat untuk pelajar-pelajar dari golongan tidak berkemampuan dan miskin menimba ilmu kulinari di sini. Jadi jika keluarga kurang kemampuan usah bimbang.
Di antara pengajian yang disediakan adalah latihan bakeri dan pastri SKM (Sijil Kemahiran Malaysia ) Tahap 2 dan 3, latihan penyediaan makanan (kulinari) SKM tahap 2 & 3 serta program dan latihan keusahawan makanan. Latihan keusahawanan ini menyediakan kursus jangkapendek.
Tak lengkap rasanya kalau bahan ini tiada di dapur kerana kebanyakan masakan berasaskan herba menggunakan halia. Bahkan, masakan Melayu juga banyak menggunakan herba ini kerana ia dapat menambah kesedapan dan keharuman sesuatu masakan. Jika ke pasar, terdapat dua jenis halia yang biasa diguna dalam masakan iaitu halia tua dan halia muda. Halia tua lebih banyak digunakan dalam masakan yang perlukan waktu memasak yang lama seperti rendang dan sup manakala halia muda sesuai dimasukkan ke dalam masakan ringkas seperti lauk pauk kacau goreng.
Halia muda. Foto: shop.redtick.com
Halia tua
Selain peranan yang besar sebagai ramuan di dalam masakan, halia juga mempunyai khasiat dari sudut kesihatan, yang amat berguna untuk meningkatkan tahap kesihatan manusia. Halia mengandungi air, karbohidrat, serat, kalium, fosforus, kalsium, tenaga, protein, gentian, niasin, asid amino, gingerols, oleoresin, pati minyak, vitamin A, B dan C, lemak dan asid organik.
Antara khasiat halia ialah, dikatakan dapat membantu meningkatkan sistem imunisasi di dalam tubuh manusia. Pengambilan halia dalam jumlah tertentu, sehari-hari boleh membantu mengurangkan risiko strok dengan menghalang lemak melekat pada arteri.
Halia juga membantu penghadaman dan memanaskan badan. Ia juga dikatakan mampu melegakan rasa loya, penyakit sendi dan membantu pengedaran darah.
Ia dikatakan dapat merawat penyakit banyak angin dalam badan, sakit kepala, sistem pencernaan bermasalah, sakit jantung, muntah, cirit-birit, disentri, asma, sakit perut, reumatisme, pengaliran darah bermasalah, mati pucuk, lemah tenaga batin, badan kesejukan, sakit pinggang, urat saraf lemah, mabuk kenderaan, batuk kering, kejang, buang air berlendir dan darah haid berbau hamis.
Dek kerana khasiatnya, kini di pasaran terdapat banyak produk-produk yang dihasilkan menggunakan herba ini. Antaranya ialah minuman sedia minum, serbuk halia, teh pra campuran, gula-gula dan banyak lagi. Anda nak cuba makan halia dalam versi sedap? Ini resipi yang boleh anda nikmati. Selamat mencuba.
RESIPI MENGGUNAKANHALIA
1. DAGING GORENG HALIA
BAHAN-BAHAN:
500 gm daging batang pinang | hiris nipis, cuci dan tos
6cm halia muda | hiris nipsis
3 pokok daun bawang | potong 3cm
2 biji bawang besar | hiris
5 ulas bawang putih | cincang halus
10 biji cili padi | titik
1 sudu makan sos tiram
1 sudu teh serbuk lada sulah
Garam dan gula secukup rasa
Minyak masak secukupnya | untuk menumis
CARA MEMASAK:
Panaskan minyak, tumiskan bawang merah, bawang putih dan halia hingga wangi.
Masukkan daging, kacau rata hingga daging berubah warna.
Setelah air daging kering masukkan sos tiram, kacau rata.
Kemudian perasakan dengan garam dan gula secukup rasa.
Sebelum angkat masukkan daun bawang dan tabur serbuk lada sulah, kemudian kacau rata dan tutup api.
Daging Halia sedia dihidangkan.
INFO CHEF: Sesetengah orang suka sedikit berkuah. Oleh itu anda boleh tambahkan sedikit air yang dicampurkan dengan sedikit tepung jagung di dalam daging ini sebelum diangkat.
2. SUP HALIA DAN LOBAK MERAH
BAHAN-BAHAN:
3 sudu makan unsalted butter
6-7 batang lobak merah |kupas kulit dan hiris nipis
2 cawan bawang besar yang dicincang
1 sudu teh halia yang dicincang
2 cawan stok ayam
2 cawan air
3 keping parutan kulit oren
Garam secukupnya
CARA MEMASAK:
Cairkan mentega di dalam periuk dengan menggunakan api yang sederhana. Masukkan hirisan bawang besar dan lobak merah dan sentiasa kacau kira-kira lapan minit atau sehingga bawang lembut. Pastikan bawang atau lobak merah tidak bertukar warna coklat.
Kemudian masukkan stok ayam, hirisan halia dan kepingan kulit oren. Kacau perlahan dan perasakan dengan garam secukup rasa. Kacau lagi.
Biarkan ia mereneh kira-kira 20 minit atau sehingga lobak lembut.
Kemudian, keluarkan kulit oren dan tuang sup tadi ke dalam pengisar makanan. Kisar sehingga ia menjadi puri dan halus. Memandangkan sup masih panas, berhati-hati dan jangan tuang sup sehingga penuh. Sebaliknya kisar sedikit demi sedikit sehingga selesai. Boleh tambah garam lagi jika perlu.
Sedia untuk dihidang.
INFO CHEF: Boleh gantikan stok ayam dengan stok sayur-sayuran jika suka.
Tiada yang lebih menggembirakan buat seorang chef, apabila makanan yang dihidangkan mendapat pujian. Terasa berbaloi keringat yang menitik itu. Setiap detik berlalu adalah pelajaran yang baharu buat mereka yang bergelar chef. Ini lah antara luahan yang dikongsi bersama Min.
Terasa suasana muhibbah dan persahabatan yang erat terjalin di antara empat chef berbilang bangsa dari hotel Royal Chulan KL ini. Chef Chew Nee Sian, Chef Ravi Kumar a/l Perumal Pillai, Chef Mohd Farhan Hamidon dan Chef Mohd Khalid Yaacob bila Min mengajak mereka bersembang mengenai kerjaya mereka.
Dari kiri Chef Chew Nee Sian, Mohd Farhan Hamidon, Mohd Khalid Yaacob dan Chef Ravi Kumar a/l Perumal Pillai
Gandingan warga kerja lama dan baru adalah antara resipi kejayaan pekerjaan mereka.Di antara berempat ini Eksekutif Sous Chef, Chew Nee Sian adalah orang yang paling lama pengalamannya dalam bidang masakan iaitu selama 30 tahun.Sebagai orang yang paling ‘senior’, Chef Chew tidak pernah lokek membantu dan berkongsi rahsia hidangan dengan chef generasi baru. Walaupun kerjayanya bermula di restoran Cina, kini dia bukan sahaja pakar dalam masakan ini tetapi juga mampu menguasai sajian Melayu tradisional dan barat.
“Dari kecil hingga dewasa, saya tidak pernah merasai sajian Melayu. Tetapi apabila masuk ke dalam bidang ini semua jenis masakan perlu dikuasai dengan cepat. Budaya dan citarasa juadah ini juga penting untuk diserasikan.Saya kini boleh memasak 10 jenis rendang dan telah mencipta lebih daripada 100 resipi pelbagai hidangan, Yang penting dalam masak ini perlu ada ‘wow factor’dan perlu ada ikhlas. Kami bukan sekadar memasak tetapi cara persembahannya dan hiasan juga memerlukan kreativiti dan jiwa artis,” akuinya yang turut membimbing barisan 20 chef di hotel ini.
Buat Chef Ravi Kumar yang menggalas jawatan Master Butcher berpendapat kerjaya ini juga memerlukan dia untuk sentiasa membuat penyelidikan dan pembangunan (R & D). Mencuba menu baru dan bersedia mencuba melalui ‘try and error’. Beliau yang mempunyai pengalaman 15 tahun adalah pakar dalam pemprosesan dan masakan berasakan daging dan ‘seafood’.
Sehingga kini dia telah berjaya menghasilkan lebih 40 menu dan bahan perapan menggunakan fomulanya sendiri. Katanya, “Kelebihan chef ini ialah kami boleh membuat ‘food tasting’ dan boleh memberi komen untuk melazatkan lagi makanan. Setiap kali menerima tugasan untuk kerabat diraja dan orang kenamaan, kami akan juga menyediakan pelbagai juadah untuk pelanggan kehormat ini memilih menu sendiri melalui ‘food tasting’ ini. Tidak menerima sebarang ‘complaint’ atau aduan ketidakpuasan juga sudah cukup memberi kepuasan buat kami.”
Pendapat ini diperakui oleh Chef Mohd Farhan yang bertugas sebagai Demi Chef di restoran Steakhouse bersama Chef Ravi. Farhan menggalas tanggungjawab menyelia restoran makanan barat dan membantu dapur lain ketika hotel berada di waktu puncak dan sibuk. “Paling manis apabila dapat memasak untuk tiga Yang Di Pertuan Agung iaitu DYMM Sultan Terengganu, Kedah dan Kelantan, dapat bersama selebriti terkenal dan pernah berpeluang membuat promosi makanan di Switzerland.
Chef Muhammad Khalid pula bersyukur kerana minatnya dalam profesion ini mendapat minat dan dorongan keluarga. Dia yang memikul tanggungjawab sebagai Chef De Partie ini mempunyai kepakaran dalam pembuatan dessert dan pastri. Di samping itu Chef Khalid juga turut terlibat menyelia pekerja dan memastikan semua kerja yang diberikan siap tepat pada masanya. “Saya bangga mempunyai rakan sekerja yang mempunyai semangat berpasukan yang tinggi. Walaupun sibuk suasana bekerja seperti dalam keluarga menyebabkan kami mampu melalui cabaran kerjaya ini.
Apa pun pengalaman pahit manis buat keempat chef ini semuanya berjaya ditangani kerana minat dan kecintaan mereka terhadap profesion ini. Yang pasti keikhlasan dalam pekerjaan menjadi rahsia kelazatan sajian makanan di hotel Royal Chulan Kl ini.
Terima kasih : Hotel Royale Chulan KL .No 5, Jalan Conlay, Kuala Lumpur, Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur