
Sup sayur yang baru dimasak, memang sedap! Lebih-lebih lagi jika nikmati hidangan ini dikala cuaca sejuk ataupun semasa selsema. Nak tahu tip masak sup sayur yang sedap? Berikut tip yang disarankan:-
1. GUNA BAWANG SEBAGAI ASAS

Bawang merah dan bawang putih adalah bahan perencah asas yang digunakan dalam kebanyakan jenis sup, termasuk sup sayur. Oleh itu, tumis bawang merah dan bawang putih lebih kurang lima minit atau sehingga lembut dan sebati dengan kuah sup. Sebatian bawang inilah yang memberikan rasa dan aroma pada sup sayur anda. Jika tak letak, memang kurang rasa.
2. WAKTU MEMASAK

Sup sayur yang sedap tidak memerlukan waktu memasak yang lama. Tempoh memasak paling ideal adalah 20 minit sahaja sudah cukup. Terutamanya jika potongan sayur dalam sup dalam saiz kecil. Selain itu gunakan api kecil semasa memasak sup sayur. Andai masak terlalu lama, sayur akan kehilangan nutrien dan vitamin malah teksturnya juga akan menjadi terlalu lembik. Memang tak sedap!
3. WAKTU MERASA KENA TEPAT

Sebaiknya rasa sup sayur terlebih dahulu sebelum menambahkan bahan perencah dan perasa yang diperlukan. Inagt! Jangan rasa sup semasa dalam keadaan mendidih kerana ia akan membuatkan lidah anda melecur. Malah, perasanya juga tidak tepat. Rasa makanan semasa panas dan semasa suhu menurun ada sedikit perbezaan. Sup akan berasa kurang garam semasa dirasa dalam keadaan panas lalu anda akan cenderung untuk menambah lebih garam. Tetapi andai dirasai semasa sup sedikit sejuk, sup tersebut sebenarnya sudah punya rasa dan hanya perlukan sedikit penambahan perisa.
4. GUNA PERENCAH AYAM ATAU PATI IKAN BILIS

Sup yang sedap datangnya dari kuah yang lazat. Oleh itu, dengan menambah sedikit perencah pati ayam atau ikan bilis, sup akan menjadi lebih sedap dan berasa. Malah dengan menggunakan perasa ini, anda boleh abaikan penambahan garam kerana rasa masin sudah mencukupi.
Tak tahu nak masak apa? Lubuk resipi RASA kini di SEENI, tak perlu susah lagi.
Download
sekarang!
Khasiat Brokoli Yang Ramai Tak Tahu. Lepas Ni Boleh Amal Makan.

Bentuknya seakan-akan bunga kubis namun ia berwarna hijau. Brokoli merupakan tanaman sayuran yang termasuk dalam kumpulan sayuran kubis atau Brassicaceae. Di Malaysia, brokoli mudah diperolehi dan enak dinikmati dengan pelbagai gaya masakan.

Sebagai bahan makanan, brokoli biasanya direbus atau dikukus, atau boleh juga dimakan mentah. Walau bagaimana pun, cara terbaik dalam memasak brokoli adalah dengan cara dikukus.

Tujuannya adalah agar segala vitamin dan nutrisi penting yang ada di dalam brokoli tidak hilang sepanjang proses pemasakan.
Merebus brokoli akan membuat sekitar 50 % asid folik yang terkandung di dalamnya jadi hilang. Oleh kerana itu, jika ingin memasak brokoli dengan cara direbus, sebaiknya jangan merebus brokoli terlalu lama, cukup sekitar 5 minit saja. Jangan lebih.
KANDUNGAN GIZI BROKOLI
Brokoli telah lama diketahui sebagai salah satu sayuran yang menyihatkan kerana kandungan gizi di dalamnya. Brokoli merupakan:
- Sayuran yang mempunyai kalori yang rendah.
- Rrendah lemak dan bebas kandungan lemak tepu.
- Tinggi kalium dan rendah sodium sertatidak mengandungi kolesterol.
- Brokoli mengandung energi, karbohidrat, vitamin, dan mineral yang sangat berguna untuk
KEBAIKAN BROKOLI
Brokoli dikatakan mengandungi kandungan nutrisi yang paling bagus dalam memerangi kanser. Sebab itulah ia diangkat sebagai ‘super food’. The American Cancer Society mencadangkan pengambilan brokoli kerana:
- Ia mengandungi fitokimia sebagai anti kanser. Beberapa kajian juga menunjukkan bahawa diet yang kaya dengan brokoli dapat mengurangi risiko beberapa jenis kanserseperti kanser payudara, kanser usus dan juga kanser paru-paru.
- Brokoli mengandung antioksidan dan vitamin C yang tinggi.
- Brokoli juga mengandungi serat yang membantu pencernaan dan mencegah sembelit.
Kali ini kami kongsi satu lagi resipi masakan brokoli untuk anda cuba.
SUP BROKOLI BERKRIM

BAHAN-BAHAN:
- 200gm kentang sederhana besar } Kupas kulit dan potong dadu
- 100gm brokoli } potong kecil-kecil & cuci bersih
- 60gm bawang Holland } potong dadu
- 1 sudu besar tepung gandum
- 2 sudu besar mentega
- 1 liter air
- 600ml susu cair
- 1 kiub ayam
- Air secukupnya
- Garam secukup rasa
- Sedikit minyak untuk menumis
CARA MEMASAK:
- Panaskan periuk dengan dua sudu besar mentega. Tumiskan bawang holland hingga layu dan terbit wangi.
- Setelah itu masukkan air serta kentang dan brokoli. Biarkan mendidih. Masukkan juga tepung gandum untuk memekatkan rebusan. Bila kentang dan brokoli cukup empuk, padamkan api dan biar ia sejuk.
- Apabila rebusan suam, tuang ia ke dalam pengisar hingga bertukar menjadi krim dan tuang semula ke dalam periuk.
- Dalam periuk yang sama, masukkan susu cair, air, kiub ayam, garam secukup rasa dan reneh lagi. Masukkan serbuk oregano dan kacau kata.
- Setelah pekat seperti yang dikehendaki, angkat dan bolehlah dihidangkan. Boleh hias dengan sedikit brokoli yang dicelur jika mahu.
Info chef: Enak dimakan bersama roti bawang putih.
Chef Aminudin Kongsi 8 Sajian Utama Lauk Arab, Di Aroma Hijrah.

Menjejak kaki ke restoran Aroma Hijrah di Taman TTDI Jaya, aroma wangi rempah ratus sudah menusuk ke hidung. Sajian utama berdasarkan daging kambing, dan ayam menjadi menu tarikan ke sini. Pemilik dan Chefnya , Tn Hj Aminudin Resad bermurah hati untuk kongsi resepi rempah ratus sajian Arab bersama RASA.

1. Nasi Maqlubah Kambing

BAHAN-BAHAN :
- 1 kg beras basmathi /basuh dan rendam setengah jam
- 2 kg daging kambing /dipotong kiub 2 inchi@ 5 sm
- 4 sudu makan rempah Maqlubah
- 1 sudu makan serbuk lada hitam
- 2 liter air stok daging
- 2 biji bawang besar /dimayang
- 10 ulas bawang putih/ diketuk
- 2 batang kayu manis
- 10 biji bunga cengkih
- 10 biji buah pelaga
- 5 biji cili hijau / potong 1 inci@ 2.5 sm
- 3 biji lobak merah /dihiris dan goreng kuning keemasan
- 3 biji terung panjang /dipotong bulat 1 sm, digoreng kuning keemasan
- 6 biji kentang / dipotong bulat 1 sm , digoreng kuning keemasan
- 300 gm kubis bunga/ dipotong, digoreng kuning keemasan
- 1/2 cawan minyak masak
- 4 sudu makan minyak sapi
- 1 sudu makan garam halus
BAHAN HIASAN:
- Beberapa hiris tomato
- Beberapa helai daun pudina
- Beberapa hiris lemon
CARA MEMASAK :
- Daging kambing direbus selama 30 minit, dan ambil air stoknya.
- Panaskan minyak sapi dan minyak masak di dalam periuk.
- Tumiskan bawang besar dan bawang putih.
- Masukkan cili hijau bersama rempah ratus kayu manis, cengkih, pelaga, tumis hingga naik bau.
- Masukkan rempah maqlubah dan serbuk lada hitam . Tumis hingga pecah minyak.
- Masukkan air rebusan daging kambing dan masukkan garam halus
- Didih dengan api perlahan selama 45 minit. Angkat asingkan kambing dan masukkan pula beras.
- Kacau dan ratakan beras, laraskan sukatan air kira-kira 40 mm melebihi paras beras.
- Biarkan mendidih dengan api sederhana dan tutup api sebelum kering.
- Sediakan periuk lain, masukkan satu sudu makan minyak masak.
- Masukkan satu senduk daging kambing, masukkan satu lapisan sayuran yang telah digoreng tadi diikuti satu lapisan beras. Lapiskan sayur, daging dan beras secara berselang seli.
- Setelah semua dimasukkan keringkan nasi menggunakan api paling kecil selama 20 minit.
- Setelah masak ambil dulang dan tutup periuk menggunakan dulang. Angkat periuk dan terbalikkan atas dulang tadi dan ketuk perlahan-lahan bahagian luar periuk.
- Tarik periuk keluar perlahan-lahan dan hiaskan nasi dengan hirisan lemon, daun pudina dan tomato.
Saiz hidangan : 8 -10 orang
Waktu memasak : 1 jam 45 minit
Cara memasak : Tumis dan reneh
Jenis hidangan : Nasi Arab
Keistimewaan : Berbeza dengan nasi Arab yang lain, nasi Maqlubah menggunakan sayur goreng sebagai ramuan.
INFO CHEF : Nasi Maqlubah adalah sajian Arab yang terkenal di Palestin dan Syria. Campuran daging dan sayur menjadikan ia sajian nutrisi lengkap berempah dan lazat.
2. Ayam Masywi @ Bakar

BAHAN-BAHAN:
- 1 ekor ayam/ seberat 1.8 kg dipotong empat
- 1 sudu makan serbuk jintan manis
- 1 sudu makan serbuk jintan putih
- 2.5 sm lengkuas
- 1/2 sudu makan serbuk kayu manis
- 1/2 sudu makan serbuk lada hitam
- 1/2 sudu makan serbuk buah pelaga
- 1 biji bawang besar /dikisar
- 5 ulas bawang putih /dikisar
- 2.5 sm halia /dikisar
- 3 sudu makan minyak zaitun
- 1 sudu makan cuka kurma @ epal
- 2 sudu makan yogurt
- 1 sudu garam halus
- 5 sudu makan madu /yang dicairkan
CARA MEMASAK :
- Kesemua bahan dimasukkan dalam pengisar dan tambah 1 cawan air, dan dikisar.
- Lumurkan bahan perapan ini pada ketulan ayam dan simpan dan peti sejuk sekurang-kurangnya empat jam.
- Bakar ayam dalam oven selama 1 setengah jam pada suhu 250 celcius.
- Selepas dikeluarkan dari , biarkan sejuk selama 30 minit.
- Sediakan pemanggang, dan bakar ayam atas bara arang selama lima minit.
- Sapu madu pada ayam, dan ia siap dihidangkan.
Saiz hidangan : 8-10 orang
Waktu memasak : 1 jam 40 minit
Cara memasak : Bakar dan panggang
Jenis hidangan : Lauk utama Arab
Keistimewaan : Rencah perapan ayam yang lama menyebabkan rasanya meresap ke daging ayam
INFO CHEF : Anda boleh juga memerap ayam semalaman . Campuran yogurt, rempah, madu mencipta kelazatan yang membangkit selera.
3. Sup Kambing Arab

BAHAN-BAHAN :
- 1 kg daging kambing /dipotong kiub 5 sm
- 1 sudu makan serbuk jintan manis
- 1/2 sudu makan serbuk jintan putih
- 1/2 sudu makan serbuk kulit kayu manis
- 1 sudu makan serbuk lada hitam
- 1 sudu makan rempah kurma
- 2 biji bawang besar /dimayang
- 10 ulas bawang putih/ dikisar
- 5 sm halia /dikisar
- 1.5 liter air stok rebusan daging
- 10 biji bunga cengkih
- 1 sudu makan cuka
- 5 biji buah pelaga
- 5 kuntum bunga lawang
- 2 batang saderi
- 2 biji tomato dipotong dadu
- Garam secukup rasa
CARA MEMASAK :
- Pijarkan minyak dan tumis bawang besar, bawang putih dan halia.
- Masukkan semua rempah yang telah dikisar dan segala rempah ratus.
- Setelah wangi dan pecah minyak, masukkan air stok dan daging kambing.
- Didih atas api perlahan selama satu jam dan masukan garam secukup rasa dan cuka.
- Setelah daging hampir empuk, masukkan potongan tomato dan hirisan saderi.
- Biar kira-kira lima minit mereneh, dan sup sedia dihidang.
Saiz hidangan : 4 orang
Waktu memasak : 1 jam 20 minit
Cara memasak : Didih dan reneh
Jenis hidangan : Lauk utama Arab
Keistimewaan : Sup berempah lazat dan menghangatkan tubuh
INFO CHEF: Daging kambing tinggi nilai protin di dalamnya dengan nisbah kandungan lemak yang sihat. Buang buih yang terbentuk ketika merebus daging agar ia tidak berbau.
4. AYAM HANITH PANGGANG

BAHAN-BAHAN :
- 1 ekor ayam (2 kg) / dipotong empat
- 2 sudu rempah hanith
- 1/2 sudu makan garam halus
- 1/2 sudu pewarna saffron
- 2 biji bawang holland /dimayang
- 1 biji lemoh /dihiris bulat
CARA MEMASAK :
- Campurkan dan gaul rata rempah hanith, garam dan pewarna saffron.
- Ayam yang telah dibersihkan ditabur rata dengan rempah
- Lapik lapisan aluminium di atas dulang, dan susun ayam di dalam dulang pembakar.
- Taburkan bawang holland dan susun hirisan lemon di atas ayam.
- Bakar dalam oven yang dipanaskan dengan suhu 250 darjah celcius selama 2 jam
- Ayam masywi sedia dihidang
Saiz hidangan : 4-5 orang
Waktu memasak : 2 jam
Cara memasak : Bakar
Jenis hidangan : Lauk utama Arab
Keistimewaan : Jus ayam yang terhasil bercampur rempah sungguh lazat
INFO CHEF : Ayam biar diperap dengan bahan-bahan ramuan agar rasanya lebih sebati dan meresap ke dalam daging
6. KAMBING HANITH TUMIS RENEH (BRAISED)

BAHAN-BAHAN :
- 1 kg daging kambing rusuk @bahu/ dipotong kiub 4”
- 100 gm rempah hanith
- 2 biji bawang besar /dikisar
- 5 ulas bawang putih /dikisar
- 2.5 sm halia /dikisar
- 2 batang kulit kayu manis
- 10 biji buah pelaga
- 5 biji bunga lawang
- 10 biji bunga cengkih
- 5 sudu makan minyak zaitun
- 30 gm daun ketumbar /dihiris
- 30 gm daun pudina /dihiris
- Garam secukup rasa
- 2 sudu makan yogurt
- Hirisan lemon dan daun pudina sebagai hiasan
CARA MEMASAK :
- Pijarkan minyak dalam kuali. Tumiskan bawang besar, bawang putih dan halia.
- Masukkan rempah empat sekawan. Tumis hingga wangi.
- Campurkan rempah hanith dengan sedikit air, dikacau dan ditumis
- Masukkan yogurt dan daging kambing
- Gaul perlahan-lahan selama tiga minit dan pindahkan kesemua bahan dalam dulang pembakar.
- Tutup dulang dengan kertas aluminium dan masukkan dalam oven yang sudah dipanaskan dengan suhu 200 celcius.
- Bakar selama dua setengah jam
- Setelah siap hidangkan dengan hirisan lemon dan daun pudina.
Saiz hidangan : 4-5 orang
Waktu memasak : 2 jam 30 minit
Cara memasak : Tumis, reneh dan bakar
Jenis hidangan : Lauk utama Arab
Keistimewaan : Campuran rempah Arab dan rempah ratus lain, melazatkan sajian.
INFO CHEF: Sedap dimakan bersama nasi Arab hanith, mandy dan kabsah, bakar dalam kertas alumuninium agar daging lebih berjus dan tidak kering.
6. Lamb Skewer

BAHAN -BAHAN :
- 1 kg daging kambing tanpa tulang /dipotong kiub 2”
- 1/2 sudu makan serbuk jintan manis
- 1/2 sudu makan serbuk jintan putih
- 1/2 sudu makan serbuk kayu manis
- 1/2 sudu makan serbuk lada hitam
- 1/4 sudu makan buah pelaga
- 5 ulas bawang putih /dikisar
- 2 sm halia /dikisar
- 3 sudu makan minyak zaitun
- 1 sudu makan cuka kurma atau epal
- 2 sudu makan yogurt
- Garam secukup rasa
CARA MEMASAK :
- Basuh daging dan toskan.
- Gaul rata semua bahan/rempah pada daging kambing dan diperap selama lima jam.
- Setelah diperap, cucuk daging pada besi ‘skewer’ atau lidi buluh.
- Bakar hingga masak di atas bara api, balik-balikkan hingga masak menyeluruh
- Lamb skewer siap dihidang
Saiz hidangan : 7- 8 orang
Waktu memasak : 15 minit
Cara memasak : Panggang
Jenis hidangan : Lauk utama Arab
Keistimewaan : Rasa rempah yang kuat dan rencah lain sungguh sedap dengan tambahan yogurt dan cuka epal
INFO CHEF : Usah panggang terlalu lama ia akan menyebabkan daging kering dan hilang jus. Perapan yang lebih lama, adalah lebih sedap dan sebati rasanya.
7. Puyuh gril dengan madu

BAHAN-BAHAN :
- 10 ekor burung puyuh
- 1 sudu makan serbuk jintan manis
- 1 sudu makan serbuk jintan putih
- 2.5 sm halia /dikisar
- 1/2 sudu makan serbuk kayu manis
- 1/2 sudu makan serbuk lada hitam
- Sedikit perahan lemon
- Sedikit garam lemon (lemon salt)
- Sedikit serbuk kunyit atau saffron
- Sedikit serbuk cili
- 5 sudu makan madu /dicairkan sedikit dengan air panas
CARA MEMASAK :
- Kesemua bahan dan rempah di atas digaul rata bersama daging puyuh dan diperap sekurang-kurangnya lima jam.
- Daging puyuh yang telah diperap disusun atas jaring pemanggang dan dipanggan atas bara api dengan kepanasan sederhana.
- Sentiasa balik balikkan agar tidak hangus.
- Selepas 10 minit angkat dan sapu dengan madu yang telah dicairkan.
- Daging puyuh sedia dihidang
Saiz hidangan : 10 orang
Waktu memasak : 10 minit
Cara memasak : Panggang
Jenis hidangan : Lauk utama Arab
Keistimewaan : Daging puyuh lembut dimakan. Sapuan madu melazatkan ramuan
INFO CHEF : Semasa memanggang, tuangkan air lebihan perapan di atas daging. Daging puyuh ini juga dihidangkan bersama nasi Arab atau dimakan begitu sahaja
8. Lamb Shank Bukhary

BAHAN-BAHAN :
- 4 ketul daging kambing shank (bahagian kaki bawah lutut /betis)
- 4 sudu makan rempah bukhary
- 3 sudu makan puri tomato
- 1.5 liter air stok rebusan daging
- 2 biji bawang besar /dikisar
- 10 ulas bawang putih/ diketuk
- 5 sm halia
- 2 batang kayu manis
- 50 gm daun ketumbar /dihiris halus
- 5 biji bunga cengkih
- 5 biji buah pelaga
- 5 biji bunga lawang
- 5 biji cili hijau /dipotong 2.5 sm
- 2 biji tomato dipotong empat
- 2 sudu makan minyak masak
- 2 sudu makan minyak sapi
- Garam secukup rasa
- Sedikit pewarna saffron
CARA MEMASAK :
- Rebus daging sehingga 30 minit
- Angkat dan keluarkan daging, ketepikan.
- Panaskan oven pada suhu 250 celcius selama 10 minit.
- Panaskan minyak masak dan masukkan sekali minyak sapi.
- Tumis bawang besar dan bawang putih dan masukkan cili hijau berserta rempah ratus empat sekawan.
- Masukkan pula rempah bukhari dan puri tomato, kacau dan tumis hingga pecah minyak.
- Masukkan hirisan daun ketumbar dan tomato
- Masukkan air rebusan kambing
- Masukkan garam dan pindahkan kesemua bahan di dalam dulang pembakar dan tutup dengan kertas aluminium
- Bakar di dalam oven selama 1 setengah jam pada suhu 250 celcius. Keluarkan dan ia siap dihidang.
Saiz hidangan : 4 – 6 orang
Waktu memasak : 1jam 40 minit
Cara memasak : Rebus, tumis dan bakar
Jenis hidangan : Lauk utama Arab
Keistimewaan : Sedap dimakan bersama nasi bukhari atau roti Naan/roti Arab
INFO CHEF : Semasa membersihkan daging buangkan tisu liat agar ia mudah empuk.
RESEPI : HJ AMINUDIN RESAD
Terima kasih : RESTORAN AROMA HIJRAH, Jalan Opera H U2/H, Taman TTDI Jaya, Shah Alam, Selangor
Khasiat Halia Selain Buang Angin Dalam Badan.

Rasanya agak pedas namun aromanya cukup wangi bila dimasukkan ke dalam masakan. Kebanyakan masakan yang mengandungi halia sebagai salah satu bahan perlu ada akan membuatkan masakan lebih enak.
Halia juga diakui dapat membantu mengeluarkan angin dari dalam badan. Malah bukan itu sahaja. Ada lagi khasiat dan manfaatnya yang lain. Jom semak!
1. MENGEKALKAN PEREDARAN DARAH NORMAL

- Halia mengandungi kromium, magnesium dan zink yang boleh membantu untuk memperbaiki aliran darah serta membantu mengelakkan kesejukan, demam dan peluh berlebihan.
2. PENYERAPAN NUTRIEN DALAM USUS
- Halia membantu meningkatkan penyerapan dan merangsang nutrien penting dalam badan. Ia kerana ia merangsang rembesan enzim gastrik dan enzim pankreas yang membantu penyerapan nutrien.
3. MENGURANGKAN KESAKITAN DAN KERADANGAN

- Halia mengandungi beberapa bahan anti-radang yang paling mujarab dan merupakan ubat penahan sakit semula jadi yang kuat.
4. MELAWAN MASALAH PERNAFASAN YANG BIASA
- Jika anda mengalami penyakit pernafasan biasa seperti batuk, halia membantu dalam mengembangkan paru-paru anda dan melonggarkan kahak. Dengan cara ini anda boleh dengan cepat pulih daripada kesukaran bernafas.
5. PENCEGAHAN DEMAM DAN SELESEMA

- Halia telah digunakan beribu-ribu tahun sebagai rawatan semula jadi untuk demam dan selesema di seluruh Asia. Kajian di University of Maryland Medical Center mendapati, untuk merawat demam dan selesema dalam kalangan orang dewasa, rendam dua sudu besar halia segar yang dicencang dalam air panas dan diminum dua hingga tiga kali sehari
6. MENGURANGKAN KETIDAKSELESAAN PERUT

- Halia sesuai dalam membantu pencernaan, seterusnya meningkatkan penyerapan makanan dan mengelakkan sakit perut. Halia dapat mengurangkan keradangan seperti juga aspirin dan ibuprofen.
7. MENCEGAH BARAH USUS
- Satu kajian di University of Minnesota mendapati, halia boleh melambatkan pertumbuhan sel-sel kanser kolorektal/usus.
8. MENGUATKAN IMUNITI
- Halia membantu meningkatkan sistem imun. Pengambilan sedikit halia sedikit sehari boleh membantu mengurangkan risiko strok dengan menghalang lemak melekat pada arteri. Ia juga mengurangkan jangkitan bakteria dalam perut, dan membantu melegakan batuk dan kegatalan tekak.
RESIPI MENGGUNAKAN HALIA:
DAGING CINCANG GORENG HALIA KACANG PANJANG

BAHAN-BAHAN:
- 200gm daging lembu | cincang
- 5 tangkai kacang panjang | potong
- 1/2 biji bawang Bombay | potong dadu
- 3 ulas bawang putih | cincang kasar
- 2.5cm halia | cincang
- 1 sudu teh cili giling
- 1 sudu teh sos tiram
- Garam secukupnya
- Minyak masak secukupnya
- Air secukupnya
CARA MEMASAK:
- Panaskan minyak di dalam kuali. Tumis bawang putih dan halia yang sudah dicincang kemudian disusuli dengan cili giling. Tumis lagi hingga naik minyak dan masukkan bawang Bombay, goreng hingga layu.
- Masukkan pula daging cincang Gaul rata hingga terbit bau harum dan daging masak.
- Masukkan kacang panjang tetapi jangan masak terlalu lama. Masukkan sos tiram, air dan garam jika perlu (sos tiram sudah ada rasa masin). Gaul rata lalu biarkan selama 2 minit. Setelah itu, tutup api dan siap utk dihidangkan bersama nasi panas.
Info chef: Daging cincang boleh beli yang telah siap dan ada dijual di pasar raya.

