Teringinkan kuih muih tradisional yang berinti manis untuk teman secawan kopi di petang hari. Ini RASA bawakan  enam  jenis kuih muih tempatan yang berinti manis dan mudah disedia dan ringkas bahan-bahannya, dan paling penting rasa tidak pernah mengecewakan. Terutamanya kuih ketayap, bagaikan terasa-rasa di hujung lidah rasa manis intinya dan lembut  lapisan tepung yang membungkus inti.   Tak berkenan kuih ketayap ada lagi lima yang lain boleh anda cuba buat dan nikmati rasanya.

Enam Kuih Berinti Manis , Sedap & Senang Buat.

KUIH KETAYAP

BAHAN-BAHAN

Kulit:

  • 1 cawan tepung gandum
  • 2 biji telur
  • 3 helai daun pandan
  • 1 1/2 cawan santan
  • 1 1/2 sudu teh garam
  • 2 sudu makan minyak masak
  • Beberapa titis pewarna hijau

Bahan Inti:

  • 1/2 biji kelapa parut  | ambil putih sahaja
  • 3/4 cawan gula merah
  • 1/2 sudu teh garam
  • 2 helai daun pandan  | disimpulkan
  • 1/2 cawan air
  • 2 sudu makan tepung gandum

CARA MEMASAK:

Ads
  1. Untuk menyediakan inti, didihkan air dalam kuali. Masukkan gula merah, garam dan daun pandan. Masak hingga gula larut.
  2. Kemudian masukkan kelapa parut. Kacau sekali-sekala hingga airnya kering.
  3. Taburkan tepung gandum. Kacau rata. Sejukkan inti.
  4. Untuk sediakan kulit: Kisar daun pandan yang telah dipotong pendek-pendek dengan santan. Tapis dan perah.
  5. Seterusnya, campurkan semua bahan kulit, gaul rata.
  6. Masukkan adunan ke dalam pengisar dan kisar hingga adunan sebati.
  7. Panaskan kuali. Guna api yang perlahan.
  8. Sapukan kuali dengan sedikit minyak.
  9. Masukkan satu senduk adunan ke dalam kuali dan dadarkan adunan dengan melayang-layangkan kuali. Biarkan kuih masak.
  10. Ketepikan. Lakukan cara yang sama hingga habis adunan.
  11. Sementara menanti kuih di dalam kuali masak, bolehlah dibubuh inti pada kuih dadar yang dah siap tadi.
  12. Ambil sesudu penuh inti, letak di atas permukaan atas kuih. Ratakan. Lipat kiri dan kanan kuih. Gulung dengan kemas. Ke tepikan.
  13. Sedia dihidangkan.

Enam Kuih Berinti Manis , Sedap & Senang Buat.

KUIH KOCI PULUT HITAM

BAHAN-BAHAN:

  • 250 g tepung pulut
  • 1/2 cawan tepung pulut hitam
  • 2 sudu besar tepung gandum
  • secubit garam
  • 1 1/2 cawan air
  • 1 cawan pati santan | dicampur sedikit garam
  • Minyak masak secukupnya
  • Daun pisang | dilayur atas api kecil

Bahan Inti:

  • 1 biji kelapa parut | ambil putih sahaja
  • 1 ketul gula Melaka
  • 1 cawan gula pasir
  • 2 helai daun pandan |disimpul
  • 1/2 cawan air

 CARA MEMASAK:

  1. Potong gula melaka kecil dan masukkan ke dalam periuk bersama gula pasir dan air.
  2. Masak hingga gula hancur.
  3. Tapis air gula tadi dan masukkan ke dalam kuali.
  4. Masukkan daun pandan dan juga kelapa parut. Masak hingga inti agak kering sedikit.
  5. Angkat dan sejukkan.
  6. Untuk membuat doh, satukan tepung pulut dan tepung pulut hitam dalam satu bekas.
  7. Tuang air sedikir demi sedikit sambil digaul hingga menjadi doh yang lembut dan tidak melekat di mangkuk adunan.
  8. Jika kurang air tambah sedikit lagi. Ketepikan.
  9. Ambil sehelai daun pisang, sapu dengan minyak pada permukaan daun pisang tadi.
  10. Ambil sejemput doh dan leperkan, letak satu sudu teh inti.
  11. Tutup inti dengan doh dan letakkan satu sudu teh santan pekat.
  12. Kemudian lipat seperti biasa.
  13. Bila siap, susun dalam kukusan dan kukus 15 minit.

Enam Kuih Berinti Manis , Sedap & Senang Buat.

ONDE-ONDE BUAH MELAKA

BAHAN-BAHAN:

  • 500 gram tepung pulut
  • 4 helai daun pandan | dikisar dengan 1 /2 cawan air
  • 1 cawan air
  • Gula melaka | dipotong kiub
  • Kelapa parut putih secukupnya
  • Garam secukup rasa

CARA MEMASAK:

  1. Didihkan air dalam periuk., jika suka.
  2. Tepung pulut dimasukkan ke dalam mangkuk adunan.
  3. Tuang jus daun pandan, gaul rata. Tambah air sedikit demi sedikit dan adun hingga mendapat doh yang tidak melekat di tangan dan mangkuk .
  4. Sementara itu, gaul kelapa parut dengan sedikit garam atau secukup rasa.
  5. Letakkan kelapa parut ke dalam loyang dan ratakan.
  6. Seterusnya, ambil sedikit adunan doh, leperkan dan masukkan satu kiub gula melaka, tutupkan guna melaka dengan doh dan bulat-bulatkan seperti guli.
  7. Masukkan ke dalam air mendidih. Buat 10 – 15 biji sekali rebus.
  8. Bila onde-onde timbul pada permukaan air mendidih, biarkan dalam 30 saat lagi, keluarkan dan toskan airnya.
  9. Masukkan dalam dalam loyang berisi kelapa parut tadi.
  10. Golek-golekkan agar onde-onde bersalut dengan kelapa. Lakukan cara yang sama sehingga onde-onde habis direbus.

Enam Kuih Berinti Manis , Sedap & Senang Buat.

PAU GORENG INTI INTI KACANG MERAH

BAHAN-BAHAN:

  • 500gm tepung kuih pau
  • 6gm yis segera
  • 50gm minyak sayur
  • 1/2sudu teh garam
  • 100gm gula halus
  • 250gm air suam

Bahan Inti:

Ads
  • 200gm kacang merah
  • 100gm gula perang
  • 1/2 sudu teh gula merah
  • 1/2sudu teh garam
  • 3 sudu makan minyak masak

CARA MEMASAK:

  1. Untuk membuat inti pau. Rebus kacang merah sehingga separuh kembang.
  2. Kemudian masukkan kacang ke dalam bekas pengisar bersama sedikit air, kisar sehingga halus.
  3. Seterusnya, masukkan ke dalam periuk bersama gula perang, gula merah dan garam.
  4. Kacau rata dan masak sehingga pekat. Angkat dan sejukkan.
  5. Untuk membuat kulit pau pula. Masukkan tepung ke dalam mangkuk adunan.
  6. Selepas itu satukan air, yis, minyak, gula dan garam. Uli adunan ini selama lima minit.
  7. Bentuk doh menjadi panjang dan potong doh setiap satu menjadi 50gm.
  8. Kemudian simpan doh selama 10 minit dengan ditutup plastik.
  9. Setelah 10 minit, ambil doh dan tepekkan menjadi bulat.
  10. Kemudian isikan inti dan bulatkan doh.
  11. Simpan selama sejam.
  12. Akhir sekali panaskan minyak dan goreng dengan api sederhana sehingga pau berwarna keperangan.

Enam Kuih Berinti Manis , Sedap & Senang Buat.

KUIH CARA MANIS

BAHAN-BAHAN:

  • cawan tepung gandum
  • 3 cawan santan kelapa
  • 2 biji telur
  • 3 helai daun pandan
  • Sedikit pewarna hijau
  • Gula pasir secukupnya | untuk dijadikan inti
  • Garam secukup rasa
  • Sedikit minyak masak, untuk lenser acuan

CARA MEMASAK:

  1. Daun pandan dicuci, potong kecil dan kisar bersama santan, kemudian tapis.
  2. Satukan bersama tepung gandum, pewarna hijau, telur dan kacau rata dengan whisk hingga semua sebati.
  3. Tambah garam secukup rasa. Kacau dan tapis adunan tadi. Ketepikan sebentar.
  4. Panaskan acuan kuih cara atas dapur gas, bila panas kecilkan api pada tahap minima.
  5. Lenser sedikit minyak masak pada setiap ruang acuan.
  6. Tuang adunan dalam setiap acuan tadi hingga hampir penuh.
  7. Letakkan sedikit gula pasir pada setiap kuih.
  8. Tutup permukaannya acuan dengan tudung periuk. Masak hingga kueh menjadi pucat dan tidak melekat bila disentuh.
  9. Setelah masak keluarkan kuih dari acuan dan sejukkan. Lakukan hingga habis adunan.

Enam Kuih Berinti Manis , Sedap & Senang Buat.

KUIH CEK MEK MOLEK

Ads

BAHAN-BAHAN:

  • 1 kg ubi keledek
  • Tepung gandum
  • Sedikit gula
  • Sedikit garam

CARA MEMASAK:

  1. Rebus ubi keledek bersama sedikit garam hingga empuk.
  2. Angkat dan toskan, buang kulit dan lenyekkannya panas-panas.
  3. Gaulkan ubi yang telah dilenyek bersama tepung gandum.
  4. Agak-agak kelembutannya, jangan terlalu banyak tepung.
  5. Bentukkan doh bulat seperti bebola.
  6. Leperkan dan masukkan gula di tengahnya.
  7. Kemudian bentukkan doh dengan bentuk Cek Mek Molek.
  8. Panaskan minyak dan goreng kuih dengan api sederhana.

ANDA MUNGKIN JUGA SUKA RESIPI INI :

Kek Lapis Idola, Berlapis Kaya, Horlicks & Milo, Super Sedap Ni…

DAN JUGA VIDEO INI :

 

Tak tahu nak masak apa? Lubuk resipi RASA kini di SEENI, tak perlu susah lagi.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI