Pada 12 Mac 2023 yang lalu, Mingguan Wanita menganjurkan Fiesta Homebakers Usha-usha Biskut Raya di Setia City Mall yang sangat meriah bersama penaja utama Central Sugars Refinery Sdn. Bhd (Gula CSR) serta penaja bersama Marjerin Adela dan Fruttose, Ever Miracle Solutions.
Fiesta ini telah berjaya menghimpunkan 40 vendor usahawan biskut raya dengan 10 ribu kupon sampel biskut raya diberikan secara percuma kepada pengunjung.
Fiesta ini telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Hajjah Aiman Athirah Sabu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) hadir bersama CEO NU Ideaktif, Syamil Fahim dan CFO Gula CSR iaitu Mohd Azahar Mohd Salleh bersama isteri memberi kenangan manis buat semua peserta.
Persembahan fiesta semalam dihangatkan dengan persembahan bertenaga dari Marsha Milan Londoh yang menyampaikan dua buah lagu iaitu Girls On Fire selain lagu popularnya, Kembali Terang.
Terdapat beberapa aktiviti menarik sepanjang Fiesta itu berlangsung antaranya seperti demo bancuhan topping dekorasi biskut bersama pengasas Gula Cakery, Nor Arieni Adriena, pertandingan tekan-tekan semperit biskut raya, demo biskut raya kurang manis oleh pengasas Easy Bake Lab iaitu Cik Dayang, pertandingan susun-susun biskut raya, pertandingan tekan biskut semperit raya bersama Puan Hanani yang datang jauh dari Terengganu, happy hour dan banyak lagi di mana pengunjung selain membeli kuih raya dan membuat tempahan, mereka juga membawa pulang hadiah lumayan dan banyak disediakan pihak penganjur.
Sebanyak tiga universiti / kolej memasuki pertandingan ini terdiri dari Food Institute Of Malaysia (FIM), Saito University dan Institut Kemahiran Belia Negara Kemasek Kemaman Terengganu. 9 kumpulan telah bertanding melibatkan 36 penyertaan pelajar.
Kumpulan juri yang diketuai oleh Puan Norhayati dari Taylor Universiti, Puan Nor Arieni Adriena dari Gula Cakery dan Marsha sepakat memilih kumpulan Zucchero dari IKBN yang menghasilkan biskut Giant Golden Flakes seberat 15 kg.