
Dunia penghantaran gas memasak kini melangkah ke fasa baharu dengan pelancaran awal aplikasi Gasbee, sebuah platform pintar yang menjanjikan pengalaman tempahan gas yang lebih mudah, selamat dan efisien.

Majlis pra-pelancaran yang diadakan di Mardhiyyah Hotel & Suites, Shah Alam berlangsung meriah dengan kehadiran tetamu jemputan dan rakan industri. Acara ini disempurnakan oleh Yang Mulia Tengku Shamsul Bahri Bin Yang Amat Mulia Tengku Azman Alhaj, Yang Dipertua PERDASAMA Negeri Selangor, bersama Mohd Apandi Bin Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif Seven Circles Venture (M) Sdn. Bhd.
Apa yang menjadikan pelancaran Gasbee menarik ialah pendekatannya yang berorientasikan komuniti dan digitalisasi industri gas memasak tempatan. Melalui aplikasi ini, pengguna boleh menempah gas memasak terus dari pengedar berhampiran tanpa perlu risau soal keselamatan atau lambat dihantar.

Antara momen menarik sepanjang majlis ialah pelancaran motosikal elektrik kuning prototaip Gasbee, model Solo 2 keluaran Blueshark Malaysia, simbolik kepada komitmen Gasbee terhadap penghantaran mesra alam.
Sebagai tanda penghargaan kepada pengedar dan peniaga gas berdaftar, Gasbee turut mengumumkan pemberian telefon pintar dan kad SIM CelcomDigi percuma, bagi memudahkan mereka mengakses sistem penghantaran dalam talian. Langkah ini turut memperkukuh jaringan komunikasi antara pelanggan, pengedar dan syarikat gas.
Majlis turut diserikan dengan ucapan dan perkongsian daripada rakan strategik seperti Blueshark, Chip In, Silkintra Group dan Synchronetwork Sdn. Bhd., disusuli tayangan montaj digital yang menerangkan fungsi serta kelebihan aplikasi ini terhadap pengguna domestik.

Menurut Mohd Apandi Abdullah, Gasbee bukan sekadar aplikasi penghantaran gas, tetapi satu ekosistem digital lengkap yang menyatukan pelanggan, pengedar dan syarikat gas dalam satu platform yang selamat, telus dan mudah digunakan.
“Kami mahu membawa pengalaman baharu yang bukan saja memudahkan pengguna, tapi turut menyokong gaya hidup moden yang lebih lestari,” jelasnya.

Aplikasi Gasbee kini boleh dimuat turun di Google Play Store, dan bakal hadir ke Apple App Store tidak lama lagi. Untuk maklumat lanjut, layari www.gasbee.com.my.
Tak tahu nak masak apa? Lubuk resipi RASA kini di SEENI, tak perlu susah lagi.
Download
sekarang!




































