Pandemik Covid-19 banyak menguji kesabaran kita semua untuk terus berusaha demi kelangsungan hidup. Mungkin dahulunya anda bekerja makan gaji dan sebagainya, perlu memikirkan cara untuk mencari pendapatan untuk seisi keluarga.
Buat Aniza Ismail kini beralih perniagaan makanan di gerai tepi jalan. Dia dan adiknya Noraida sama-sama berniaga untuk meraih pendapatan harian. Gerai ini bermula sejak Covid-19 melanda,kini telah dua tahun. Sebelum ini mereka berniaga di kantin sekolah dan kafe maktab perguruan.
“Semuanya akak buat sendiri bersama adik bongsu, Noraida. Saya menjual nasi lemak manakala adik mahir buat kek dan dia buat kek dengan citarasa hotel.Selain itu ada juga kuih-muih yang mak buat iaitu popia, karipap cucur badak dan cucur keria. Selebihnya banyak orang letak di gerai kami,”jelasnya
Gerai ini menjual pelbagai jenis menu antaranya nasi lemak, nasi tomato ,kek dan juga kuih muih. Kadang kala ada juga hari tertentu dijual menu istimewa seperti nasi dagang dan nasi kerabu.
Akui Aniza, nasi lemak dan kek menjadi tarikan utama pelanggan dan biasanya akan habis cepat.
Pasti anda teruja tengok kepelbagaian kek, tart dan puding yang dijual olah Noraida. Antaranya Chocolate Moist, Puding Creamy Butterscotch, Puding Karamel, Red velvet, Pandan cheese, Pavlova, ( yang sering dicari orang),Portuguese egg tart, Chocolate Indulgence, Burnt cheesecake, Chocolate Cheese Kek, Kek batik Indulgence,Egg tart, Cheese tart, Kek Coklat Puding Caramel,Puding Roti Sos Kastad dan Puding Kastad.
“Kek kami murah. Adik saya guna barang kualiti sama macam yang digunakan di bakeri.Harga sekitar RM1 hingga RM8. Harga bagi sepotong kek rata-rata hanya RM5, kecuali Kek Lotus Biscoff sepotong RM8.Mak cakap jangan jual mahal. Alhamdulilah pelanggan puas hati kerana sedap,murah dan mereka akan repeat lagi,” ujar Aniza.
Burnt Cheese Kek, Kek Batik Indulgence, Egg Tart, Pavlova, Red Velvet, Puding Roti Sos Kastad, Chocolate Cheese merupakan kek best seller di gerai ini.
“ Sejak gerai ini menjadi viral, pukul 8.30-9 pagi kek dah habis. Kek yang dihasilkan dalam sehari lebih kurang 20 biji namun pernah mencecah hingga 3o biji. Kek semuanya dibuat oleh adik saya seorang. Setiap hari dia tidur pukul 4 pagi untuk menyiapkan kek yang akan dijual,”cerita Aniza.
Setiap hari gerai dibuka dari jam 7.30 pagi hingga 12.30 tengah hari.Walaupun gerai dibuka waktu tersebut, orang ramai sudah sedia menanti.
Buat yang ingin mencuba bolehlah ke Gerai Nasi Lemak Kak Ja Gojes, berdekatan tapak pasar malam , Taman Sri Tanjung, Sungai Layar, Sungai Petani Kedah.