Gulai Lemak Pucuk Selom Antara Sayur Kampung Yang Sedap

Share

Gulai Lemak Pucuk Selom adalah antara sayur kampung yang sedap kalau dimasak lemak. Macam pucuk ubi juga. Begitu juga dengan sayur-sayur lain. Tidak lengkap hidangan tanpa sayur. Apa kata anda cuba beberapa resipi istimewa sayur yang dimasak mengikut resipi lama untuk hidangan keluarga, ia pasti tidak mengecewakan.



GULAI LEMAK PUCUK SELOM DENGAN KEPAH
BAHAN-BAHAN:

  • 1 cekak daun selom | simpul dan celur seketika
  • 300 gram kepah
  • 500 ml santan
  • 1 keping asam gelugor
  • Garam, gula dan perasa secukupnya

BAHAN KISAR:

  • 3 cm kunyit hidup
  • 10 biji cili padi
  • 3 ulas bawang merah

CARA MEMASAK:
1. Masukkan santan dalam periuk bersama bahan kisar dan asam keping.
2. Renehkan di atas api sederhana.
3. Setelah mereneh masukkan daun selom yang telah dicelur tadi.
4. Diikuti dengan kepah.
5. Perasakan dengan garam, gula dan perasa secukupnya.
6. Setelah cukup rasa, tutup api dan sedia dihidangkan.



KARI REBUNG MADU RAMPAI DAGING TETEL
BAHAN-BAHAN:

  • 500 gm rebung madu | cuci bersih
  • 200gm daging tetel | rebus & hiris kecil
  • 1000ml santan
  • 2 sudu makan air asam Jawa
  • 3 sudu makan rempah kari daging
  • 1 sudu teh serbuk kunyit
  • 1 sudu makan pes cili kering
  • Garam, gula dan perasa secukupnya
  • Rempah penumis | kulit kayu manis, bunga lawang dan buah pelaga
  • 4 sudu makan minyak masak | untuk menumis

BAHAN HIRIS HALUS:

  • 6 ulas bawang merah
  • 4 ulas bawang putih
  • 3cm halia muda

CARA MEMASAK:
1. Panaskan air dalam periuk, celur seketika rebung, setelah lembut, angkat dan toskan.
2. Panaskan minyak dalam periuk, tumis rempah penumis bersama bahan hirisan hingga wangi.
3. Masukkan pes cili, kacau seketika masukkan pula rempah kari dan serbuk kunyit yang dibancuh dengan sedikit air.
4. Kacau rata masukkan air asam Jawa, kacau hingga pecah minyak.
5. Seterusnya masukkan rebung madu bersama daging tetel.
6. Gaul sebati, masukkan santan. Biarkan kari terus mereneh lebih kurang lima minit.
7. Perasakan dengan garam, gula dan perasa secukupnya.
8. Setelah cukup rasa, tutup api dan hidangkan.



PUCUK PAKU RAMPAI DAGING BAKAR
BAHAN-BAHAN:

  • 1 cekak pucuk paku | celur dan tos
  • 200gm daging bakar | hiris nipis
  • 250ml santan pekat
  • 3 sudu makan kerisik
  • 1 sudu teh lada hitam | kisar kasar
  • Garam dan gula secukup rasa
  • 1 biji limau nipis | ambil jus sahaja

BAHAN HIRISAN:

  • 8 ulas bawang merah
  • 1 biji cili merah
  • 8 biji cili padi
  • 2cm halia muda | jika suka

CARA MEMASAK:
1. Campurkan pucuk paku yang telah dicelur dalam mangkuk.
2. Masukkan bersamanya bahan hirisan.
3. Diikuti kerisik, garam, gula dan jus limau nipis.
4. Gaul rata, kemudian masukkan santan.
5. Gaul lagi sehingga cukup rasa.
6. Segera dihidangkan.



PUCUK TURI LEMAK PUTIH BERSAMA LABU DAN TEMPE
BAHAN-BAHAN:

  • 1 cekak pucuk turi | lurutkan dari tangkai
  • 1 potong labu kuning | buang kulit dan potong dadu
  • 1 paket kecil tempe | potong dadu
  • 1000ml santan
  • 1 sudu makan ikan bilis
  • 1 biji bawang besar | hiris
  • 2 ulas bawang putih | hiris
  • 2cm halia muda | hiris
  • Garam dan gula secukup rasa

CARA MEMASAK:
1. Masukkan santan dalam periuk bersama bahan hirisan, ikan bilis, labu dan tempe.
2. Renehkan di atas api sederhana hingga mengelegak.
3. Masukkan pucuk turi Kacau lagi.
4. Perasakan dengan garam, gula secukup rasa.
5. Tutup api, sayur sedia dihidangkan.



SULUR KELADI MASAK ASAM REBUS TEMPOYAK
BAHAN-BAHAN:

  • 1 ikat selur keladi bersama isi
  • 100 gm isi udang
  • 2 sudu makan tempoyak
  • 6 pucuk daun kesum
  • 1 keping asam gelugor
  • Garam dan gula secukup rasa
  • Air secukupnya

BAHAN KISAR:

  • 10 biji cili padi
  • 3cm kunyit hidup

CARA MEMASAK:
1. Potong sulur keladi lebih kurang 3 -4cm. Ketepikan.
2. Isi keladi dibuang kulit dan potong dadu.
3. Panaskan air, rebus isi keladi, apabila hampir empuk masukkan sulur keladi.
4. Biarkan lebih kurang lima minit. Kemudian buang air dan lalukan di bawah air paip dan toskannya.
5. Dalam periuk lain masukkan air secukupnya, masukkan bahan kisar bersama tempoyak. Kacau sekata.
6. Letakkan atas dapur dengan api sederhana. Masukkan asam keping dan undang..
7. Apabila kuah mereneh, masukkan daun kesum, sulur keladi dan isinya yang telah direbus tadi.
8. Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa.
9. Selepas dua minit tutup api dan sedia dihidangkan.



BETIK TUMIS SANTAN IKAN BILIS
BAHAN-BAHAN:

  • 1 biji betik muda | parut atau cincang isinya.
  • 250ml santan
  • Garam dan gula secukup rasa
  • 1 batang serai
  • Sedikit minyak untuk menumis

BAHAN KISAR:

  • 3 ulas bawang merah
  • 2 ulas bawang putih
  • 3cm kunyit hidup
  • 8-10 biji cili padi
  • Sedikit ikan bilis | kopek

CARA MEMASAK:
1. Panaskan minyak, tumis bahan kisar hingga wangi.
2. Masukkan betik yang telah diparut atau dicincang tadi.
3. Apabila betik layu, masukkan santan,
4. Biarkan mereneh, baru perasakan dengan garam dan gula secukup rasa.
5. Setelah masak, tutup api dan sedia dihidangkan.

Published by
Maryam Elyas