
Gulai Lemak Udang letak belimbing buluh, dimasak versi Kelantan. Secukup rasa dan pastinya memikat selera.
Makan dengan nasi, goreng telur dadar gebu ada pula sambal belacan dah cukup untuk buat makan nasi bertambah.
Guna udang segar, kalau ada yang besar lagi sedap. Dengan kepala udang sekali licin. Rasa gulai lemak macam ni cukup menyelerakan. Ada pula belimbing buluh lengkap rasa masin masamnya. Rugi kalau tak cuba!
Gulai Lemak Udang

Bahan-bahan :
15-20 ekor udang sederhana besar
5 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
2 cawan santan pekat
1 sdt serbuk kunyit/kunyit hidup
1 sdb cili boh/cili kisar
1 batang timun
Kacang panjang
7-8biji Belimbing buluh
Asam keping
3 biji lada besar hijau/ lada hijau kelantan
Garam dan gula secukup rasa
Sedikit Gula melaka

Cara-cara :
- Kisar bawang merah, bawang putih, cili kering dan kunyit sehingga lumat.

- Campurkan semua bahan-bahan yang dikisar ke dalam periuk bersama santan. Masukkan asam keping dan gula melaka. Biarkan menggelegak.

- Masukkan udang, timun, kacang panjang, lada besar hijau, belimbing dan biarkan masak seketika.

- Kemudian masukkan garam dan gula secukup rasa.

Tip: Nak kuah lemak cantik tak pecah minyak kena selalu kacau-kacau.
Kredit: Cik Puan Ain
Sertai Telegram Geng Rasa Share Resipi]
Dapatkan pelbagai resipi terkini yang mudah & enak di laman web RASA
Udang Butter Nestum Menu Mudah Kegemaran Ramai. Ratah Saja Pun Sedap!
Paprik Seafood Ala Thai, Lauk Lengkap Berkhasiat Untuk Keluarga. Meriah Dengan Lauk & Sayuran
Tonton lebih banyak video masakan mudah & sedap di Dailymotion @Rasa & Youtube @Majalah Rasa Official
Tak tahu nak masak apa? Lubuk resipi RASA kini di SEENI, tak perlu susah lagi.
Download
sekarang!
Rendang Kerang Pedas Menyengat, Merecik Peluh Pun Balun Semacam

Resipi ni sesuai untuk keluarga yang ramat ‘umatnya’. Bagi 3 kg kerang, wah banyak tu tapi bila dah mula makan tak perasan pun dah balun makan banyak mana.
Kerang masak rendang memang sedap weii.
Cili kering campur cili padi memang meleleh air liur. Jom cuba resipi rendang pedas ni.
RENDANG KERANG PEDAS

BAHAN-BAHAN :
- 3kg kerang | gosok dengan berus sabut, basuh bersih dengan air mengalir, tuang air panas, tutup 10minit, ambil isi

Bahan kisar :

- 5 biji bawang merah ros
- 2 biji bawang merah besar
- 5 ulas bawang putih
- 2inci halia
- 1inci lengkuas
- 1inci kunyit hidup
- 5 batang serai | ambil bahagian dalam putih sahaja
- 10 biji cili api kampong
- 10tangkai cili kering – buang biji, rebus dan kisar halus
- Santan – 1 biji kelapa
- 3sudu makan kerisik
- 2 keping asam
- 3 helai daun kunyit – hiris halus
- ½ cawan minyak
- Garam secukup rasa
- Gula secukup rasa
CARA MEMASAK :
1. Panaskan minyak dalam kuali, masukkan bahan kisar dan cili. Tumis sampai kering dan pecah minyak
2. Masukan santan, biarkan merenih dengan api perlahan
3. Masukan kerisik dan asam keping – reneh sampai pekat
4. Masukan isi kerang dan keringkan rendang dengan api perlahan, perasakan garam dan gula.
5. Masukan daun kunyit yang dihiris halus dan rasakan dengan garam
#daporchefgarang
Kredit Resepi Dan Video : Aezach Ar
Menu Seafood Makan Tak Pernah Jemu. Resipi Shezlina Ni Mudah Dimasak.

Makanan laut yang segar memang manis dan tak pernah jemu menikmatinya. Cuti hujung minggu ni memang sedap kalau menjamu selera dengan makanan laut. Ni min kongsikan resipi gerenti sedap dari Shezlina Othman.

Jadi kalau terasa nak makan seafood, jom cuba buat sendiri. Shezlina Othman dari Restoran Rasa Wau, Sunway Giza ada inspirasi menu untuk dikongsi.
1.KETAM DAUN KARI

BAHAN-BAHAN :
- 1 kg ketam | anggaran 3 ekor
BAHAN DITUMBUK :
- 6 ulas bawang putih
- 6 ulas bawang merah
- 2 sudu besar udang kering | direndam sebelum ditumbuk
BAHAN LAIN:
- 2 sudu makan sos tiram
- 1 sudu makan kicap pekat
- 3 tangkai daun kari
- 5 tangkai cili kering | dipotong 3.5 sm
- 1/2 cawan stok kari | (iaitu serbuk kari yang ditumis bersama * gunakan minyak )
*(1 biji bawang besar, 4 ulas bawang putih, 4 sm halia, 1 asam keping, 1/2 kotak santan, air secukupnya, 7 sudu makan rempah kari, dan sedikit rempah 4 sekawan)
Garam secukup rasa
Gula secukup rasa
Minyak masak untuk menumis
CARA MEMASAK :
1. Panaskan minyak di dalam kuali dan goreng terendam ketam selama 5 minit setiap belah sehingga masak.
2. Panaskan 3 sudu minyak dan tumiskan bahan tumbuk sehingga wangi.
3. Masukkan stok kari, daun kari serta cili kering dan goreng kacau selama 4 minit.
4 Tambah sos tiram serta kicap pekat dan gaul sebati, perasakan dengan garam dan gula.
5. Masukkan ketam dan balik-balikkan supaya disaluti dengan sos.
6. Perasakan dengan garam dan gula,masak hingga kuah pekat
7. Sajian siap dihidang.
Saiz hidangan : 3-4 orang
Masa memasak : 30 minit
Keistimewaan : Gabungan rasa kicap berempah yang lazat
INFO : Pilih ketam yang segar dengan daging yang pejal untuk mendapatkan isi ketam yang manis dan enak.
2.FILLET SIAKAP MASAM MANIS

BAHAN-BAHAN:
- 1 ekor ikan siakap (ambil isi /fillet sahaja) | dilumur garam, kunyit dan tepung jagung
- 1 biji bawang besar | dihiris
- 4 ulas bawang putih | diketuk
- 3sm halia | dihiris halus panjang
- 1 sudu makan pes cili kering
- 1 biji bawang besar | belah empat atau potong membulat
- 1/2 biji cili benggala hijau | dipotong kasar
- 1/2 biji cili benggala merah |dipotong kasar
- Sepotong nenas | dipotong kiub
- 1/2 cawan sos tomato
- 1 sudu teh sos ikan
- Gula secukup rasa
- Garam secukup rasa
- 1 sudu makan air tepung jagung
BAHAN HIASAN :
- 8 biji cili padi merah dan hijau
- Sedikit daun bawang | dihiris halus
- Sedikit daun sadri | dihiris halus
CARA MEMASAK :
1. Gaulkan isi ikan dengan garam dan kunyit. Kemudian lumurkan dengan tepung jagung.
2 .Panaskan minyak dan dan goreng dalam minyak yang banyak sehingga garing. Angkat dan ketepikan.
3. Panaskan minyak dan tumis bawang putih, halia dan bawang besar hingga kekuningan, Masukkan pes cili kering dan tumis hingga cili masak
4. Masukkan pula sos tomato, sos ikan, garam, gula dan sedikit air. Masukkan air tepung jagung. Sesuaikan rasa dan kepekatan.
5. Akhir sekali masukkan bawang yang dibelah empat , cili benggala merah dan hijau, cili padi dan nenas.
6. Tutup api dan tuang sos masam manis ke atas ikan. Tabur daun bawang dan daun sadri. Sedia untuk dihidangkan.
Saiz hidangan : 4- 5 orang
Cara memasak : Goreng dan tumis
Keistimewaan : Rasa masam manis yang seimbang adalah penentu kelazatan sajian
INFO : Selain siakap anda boleh juga menggunakan ikan kerapu, bawal dan juga jenis ikan lain yang bersesuaian.
3.KETUPAT SOTONG

BAHAN-BAHAN :
- 5 -6 ekor sotong sederhana besar | lebih kurang 1 kg
- 1 cawan beras pulut
- 1/2 cawan setengah santan
- 6 ulas bawang merah | dimayang
- 2.5 sm halia | dimayang
- 1/2 sudu teh halba
- 2 batang serai | diketuk
- Garam dan gula secukup rasa
- Beberapa batang lidi @ pencungkil gigi
CARA MEMASAK :
1. Bersihkan sotong, buang dakwatnya. Cuci kulit nipis pada badang sotong
2 .Beras pulut dibasuh dan rendam dengan sedikit santan dalam sejam.
3. Isikan beras pulut dalam badan sotong, setengah sahaja, selepas itu tutup kepala sotong dan kemaskan dengan lidi atau pencungkil gigi.
4. Rebus sotong dan santan cair hingga sotong menjadi kembung, Masak dengan api perlahan.
5. Setelah sotong kembung, masukkan semua bahan (santan,bawang merah halba,halia, serai garam dan gula)dan masakkan atas api perlahan dan kacau selama lebih kurang 10 minit.
6. Sajian siap dihidang.
Saiz hidangan : 7 orang
Masa memasak : 35 minit
Keistimewaan : Inti pulut di dalam menjadikan sajian ini sungguh mengenyangkan
INFO : Pastikan dakwat dibuang untuk mengelakkan kuah menjadi hitam . Sotong juga jangan dimasak terlalu lama untuk mengelakkan ia menjadi liat.
TERIMA KASIH : RESTORAN RASA WAU,
Sunway Giza, Block C-11-G, Jalan PJU 5/14, Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor.
FB : rasawaupenyu IG :rasa_wau
Rasa Live Ramadan Tunjuk Cara Masak Rendang Daging Rembau, Ayam Ungkep & Udang Galah Mentega Telur Masin

Rasa Masak Live Ramadan Special dah pun masuk minggu kedua. Bersiaran dari khamis hingga sabtu sepanjang Ramadan, jam 12 tengahari .

Terbaru bersiaran adalah tetamu jemputan terdiri daripada Chef Ismail Ahmad, usahawan Datin Anida Azmi dan instafamous Ayu Shuhaimi. Memang seronok mendengar celoteh tiga tetamu yang handal memasak ni.
Sambil memasak sambil menyembang,Chef Ismail siap buat house tour di rumahnya yang cantik sungguh tu sementara tunggu daging empuk. Chef Ismail memasak Rendang Daging Rembau dan mengambil tempahan lauk berbuka dari dapur Restoran Rebungnya.

Selain memasak Chef juga rajin bercucuk tanam. Paling mengagumkan Chef Selebriti yang juga pemilik Restoran Rebung ini juga berjiwa seni kerana pandai melukis (painting) dan bulan Ramadan ni sibuk membuat lukisan dan hiasan rumah burung.
Datin Anida Azmi pulak tak kalah dengan masakan Jawa yang sangat menyelerakan iaitu Ayam Masak Ungkep. Beliau juga turut menyediakan tempahan melalui Dapuq Kak Nida dan memiliki dapur pusat untuk katering.

Pengasas D Event Management & Katering Services ini juga turut memasak makanan untuk frontliners KKM dan polis. Masa bersiaran live hari tu ada insiden kecil kebakaran di dapur Datin tetapi alhamdulillah beliau tetap pro dan tenang meneruskan siaran.

Instafamous Ayu Shuhaimi pula turut menunjuk cara memasak Udang Galah Mentega Telur Masih yang cukup membuatkan penonton kecur air liur. Besar dan segar udang galahnya.

Instafamous ini kini mempunyai follower hampir mencecah 96K dan aktif membuat dan berkongsi lauk pauk Melayu dari dapur rumahnya. Ayu juga menjalankan perniagaaan syarikat fotografi perkahwinan.Waktu kerja fleksibel di syarikat miliknya, Ayu memang aktif dalam IG ayu_shuhaimi.
Jom kita semak resipi tiga masakan istimewa ini:
1.RENDANG DAGING REMBAU.
(Resipi Chef Ismail Ahmad)


BAHAN-BAHAN :

- 1kg daging (top side) bahagian atas peha | dipotong 2sm x 2sm, cuci dan toskan
- 30 tangkai cili kering | direbus dan kisar halus
- 20 biji cili padi kampung | dikisar halus
- 3 batang serai | dititik dan disiar-siat
- 5 biji bawang merah kecil | dihiris nipis
- 4 ulas bawang putih | dihiris nipis
- 2 ½ sudu besar pes kunyit hidup
- ½ sudu besar serbuk kunyit
- 1 ½ sudu besar serbuk rempah kari daging
- 500ml air
- 800ml santan pekat
*Jika guna santan segera 200ml, dan ½ cawan minyak masak
*Jika guna kelapa segar ambil santan pekat dari 3 biji kelapa
Garam secukup rasa
CARA MEMASAK :
1. Masukkan ke semua bahan-bahan ke dalam periuk kecuali santan.
2. Gaul bersama daging dan rebus sampai air daging hampir kering dan lembut.
3. Kalau tak lembut lagi tambah sedikit air panas.
4. Kecilkan api dan masukkan santan, renih hingga pekat sampai warna perang tua.
5. Perasakan dengan garam secukup rasa. Sajian sedia dihidang

2. AYAM UNGKEP
(Resipi Datin Anida Azmi)


BAHAN-BAHAN :

- 1 ekor ayam | dipotong 18
- 3 batang serai | diketuk
Bahan kisar :
- 2 biji bawang besar
- 5 ulas bawang putih
- 10-15 biji cili padi hijau |jika suka pedas bubuh cili banyak
- 1.5sm kunyit hidup
- 1 sudu kecil ketumbar
- 1 sudu kecil jintan manis
- 1 sudu kecil jintan putih
- 3 sudu besar serbuk kari daging | Datin Anida tambah kalau tak ada tak apa
CARA MEMASAK :
1. Panaskan minyak, kemudian tumis serai yang diketuk dulu bagi naik bau.
2. Masukkan bahan yang dikisar dan kacau bagi pecah minyak pecah minyak
3. Masukkan ayam, tak payah tambah air biar air ayam keluar sendiri.
4. Kalau suka boleh letak sekeping asam keping
5. Letak gula dan garam ikut rasa masing masing

3. UDANG GALAH MENTEGA TELUR MASIN
(Resipi Ayu Shuhaimi)


BAHAN-BAHAN:

- 4 ekor udang galah gred A
- 4 biji telur masin | direbus
- 4 sudu besar mentega
- 6 ulas bawang putih | dicincang
- 10 biji cili api merah | dicincang
- 4 tangkai daun kari
- 1/2 tin susu cair
- 3 sudu besar tepung jagung
- Garam secukup rasa
- Minyak masak secukupnya
CARA MEMASAK :
1. Rebus telur masin, sejukkan. Kupas dan asingkan bahagian putih dan kuning. Hancurkan menggunakan garfu. Ketepikan.
2. Siang dan bersihkan udang galah. Salut dengan dua sudu besar tepung jagung. Perakan dengan garam, goreng dan toskan. Ketepikan.
3. Cairkan mentega. Masukkan bawang putih yang dicincang, cili api yang dicincang dan daun kari. Tumis hingga naik bau.
4. Masukkan susu cair. Masukkan satu sudu besar tepung jagung. Masak seketika.
5. Masukkan udang yang telah digoreng. Masukkan kesemua telur masin kuning,
6. Masukkan hanya separuh telur masin putih yang telah dihancukan. Tidak perlu garam. Gaul sebati. Siap!

Jangan lupa follow dan boleh bertanya soalan dan komen Rasa Masak Live Ramadan Special Minggu Hadapan bersama Chef Razak, Datin Nor Hafizah Saad dan Chef Asma minggu hadapan jam 1200 tengahari Khamis , Jumaat dan Sabtu.
ANDA MUNGKIN JUGA SUKA RESIPI INI :
DAN JUGA RESIPI INI :




