Bergedel adalah satu jenis masakan yang dibuat untuk dijadikan pelengkap hidangan. Selalunya bergedel menjadi hidangan sampingan dalam soto. Memang bertambah sedap apabila soto itu apatah lagi dengan adanya sambal kicap.
Kali ini RASA kongsikan resipi buat bergedel menggunakan 10 biji kentang. Boleh dapat lebih kurang 40 biji bergedel. Berbaloi kan? Puas makan!
BAHAN-BAHAN
10 biji kentang saiz besar (kupas dan potong setebal 1/2 inci)
20 biji bawang merah (dimayang)
1 sudu besar lada hitam (ditumbuk lumat)
3 tangkai daun sup (ambil daunnya sahaja dan hiris nipis)
Garam secukup rasa
500 gram daging (dikisar atau cencang halus)
Minyak masak untuk menggoreng
Telur ayam untuk mencelup adunan
CARA MEMBUAT
1. Goreng kentang sehingga masak. Angkat dan toskan. Kemudian kentang ditumbuk sehingga lumat. Ketepikan.
2. Tumbuk bawang merah yang telah dimayang. Masukkan ke dalam bekas berisi kentang.
3. Masukkan lada hitam, daun sup dan garam.
4. Masukkan daging.
5. Gaul adunan ini sehingga sebati.
6. Ambil sejemput adunan. Bentukkan menjadi bulat dan sedikit leper. Ulang sehingga adunan habis.
7. Panaskan minyak masak dalam kuali. Dalam bekas lain, pukul telur ayam.
8. Celupkan adunan ke dalam telur dan goreng sehingga kekuningan. Angkat dan sedia dihidang.
Selamat mencuba!
KREDIT: Facebook Izwahani Zainal