Teknologi

Guna TV Box Secara Haram? Ini Masalah Yang Bakal Anda Hadapi

Share

Dalam era digital yang semakin maju, penstriman video telah menjadi salah satu cara utama orang ramai menikmati hiburan. Namun, terdapat peningkatan dalam penggunaan peranti penstriman haram (ISD) yang tidak sah memberi kesan kepada industri hiburan dan pemilik hak cipta.

APA ITU PERANTI PENSTRIMAN HARAM (ISD)?

Peranti penstriman haram merujuk kepada alat atau aplikasi yang membolehkan pengguna mengakses kandungan video tanpa kebenaran pemilik hak cipta. Ini termasuk kotak penstriman yang telah diprogram dengan aplikasi untuk menstrim filem, siri, dan saluran televisyen secara percuma atau dengan kos yang jauh lebih rendah daripada langganan sah. Yang popular di kalangan masyakat kita tentunya Tv box.

Faham…Ramai yang suka guna Tv box haram ni sebab tak perlu bayar bil mahal setiap bulan, ada pelbagai kandungan yang boleh ditonton dan mudah diakses. Tapi tahukan anda, perbuatan ini salah di sisi undang-undang?

Di bawah Akta Hak Cipta (Pindaan) 2022, penggunaan ISD dianggap sebagai kesalahan jenayah. Ini bermakna, setiap kali kita mengakses kandungan secara haram, kita bukan sahaja terlibat dalam perbuatan yang salah, tetapi juga berisiko menghadapi tindakan undang-undang.

KEBURUKAN GUNA TV BOX HARAM

Penggunaan TV box, terutama yang tidak sah atau diprogram untuk penstriman haram, membawa beberapa keburukan:

1. Pelanggaran Hak Cipta: Banyak TV box tidak sah menyediakan akses kepada kandungan berhak cipta tanpa kebenaran, yang melanggar undang-undang hak cipta.

2. Kualiti Kandungan Yang Buruk: Kandungan yang disiarkan mungkin berkualiti rendah, dengan gambar yang kabur dan audio yang tidak jelas.

3. Risiko Keselamatan: TV box yang tidak sah sering mengandungi malware dan perisian berbahaya yang boleh merosakkan peranti dan mencuri maklumat peribadi.

4. Pengalaman Menonton Yang Tidak Stabil: Pengguna mungkin mengalami buffering yang teruk, sambungan yang tidak konsisten dan iklan yang mengganggu.

5. Tiada Sokongan Pelanggan: TV box yang tidak sah biasanya tidak mempunyai sokongan pelanggan, menyukarkan pengguna untuk menyelesaikan masalah teknikal.

6. Penggunaan Data yang Tinggi: Beberapa TV box tidak optimis dan boleh menggunakan data internet yang lebih banyak, menyebabkan kos tambahan untuk pengguna.

7. Risiko Tindakan Undang-Undang: Pengguna yang terlibat dengan TV box haram boleh berhadapan dengan denda atau tindakan undang-undang daripada pemilik hak cipta.

8. Menjejaskan Industri Hiburan: Penggunaan TV box haram mengurangkan pendapatan penggiat industri, yang boleh mengakibatkan kurangnya pelaburan dalam penghasilan kandungan berkualiti.

BERINGATLAH SEBELUM KENA TANGKAP & DIDENDA

Kesalahan penstriman haram ini bukan masalah kecil. Ini terbukti dengan kes syarikat rangkaian restoran Nasi Kandar terpaksa membayar pampasan sebanyak RM221k kepada Astro akibat dari penyiaran haram.

Sebuah syarikat rangkaian restoran nasi kandar yang terkenal terpaksa menanggung padah berjumlah ratusan ribuan ringgit gara-gara menyiarkan kandungan dan pengisian Astro secara haram.

Dalam penyelesaian yang dibuat menerusi penghakiman persetujuan, Thaqwa (Malaysia) Sdn Bhd bersetuju untuk membayar RM221,773.20 kepada Measat Broadcast Systems Sdn Bhd iaitu anak syarikat Astro Malaysia Holdings Berhad kerana melanggar syarat langganan dengan menyiarkan siaran Astro secara tidak sah di beberapa cawangan restoran milik syarikat terbabit.

Syarikat ini hanya mempunyai langganan sah untuk dua premis sahaja, namun begitu ia telah menyiarkan siaran Astro di lapan lagi restoran miliknya tanpa kebenaran dengan menggunakan peranti-peranti seperti kad pintar dan dekoder Astro bagi tujuan tersebut.

Selain daripada pembayaran pampasan, Thaqwa turut bersetuju untuk memastikan langganan Astro miliknya hanya digunakan di lokasi yang dibenarkan bagi menghormati hak cipta dan harta intelek Astro.

Di Malaysia, adalah menjadi satu kesalahan kepada mana-mana premis komersial untuk menayangkan penyiaran kepada orang awam jika pengisian tersebut diambil secara tidak sah; ini termasuklah penyiaran rancangan Astro tanpa lesen komersial yang sahih.

PENJUAL TV BOX HARAM, ANDA JUGA SEDANG DIPERHATI

Astro sangat komited dalam melindungi harta intelek miliknya. Ketua Jualan dan Pemasaran Astro, Tai Kam Leong berkata: “Astro sangat komited dalam usaha memerangi cetak rompak digital kerana kami tahu betapa besar kesannya kepada industri media dan kreatif.

Dengan mengambil tindakan undang-undang yang tegas dan melindungi hak harta intelek, Astro membantu memastikan para pencipta dan artis mendapat ganjaran yang adil. Usaha ini penting untuk memastikan industri ini terus hidup dan berkembang, membuka ruang untuk idea dan pengisian baru.”

Kes restoran tadi adalah salah satu yang perlu diambil iktibar. Namun orang perseorangan juga harus berjaga-jaga terutamanya yang menawarkan servis peranti penstriman haram ini.

Pasti ada yang kata, restoran memang la kena, sebab terang-terangan nampak. Jangan anggap begitu. Orang perseorangan juga tidak terkecuali terutamanya penjual barangan haram ini.

Di Ipoh, seorang individu berusia 22 tahun didenda RM10,000 pada Februari lalu selepas mengaku bersalah menjual kotak Android yang telah dimuatkan dengan pengisian Astro secara haram. Peranti itu ditemui dalam satu serbuan pada Oktober 2023.

Pada Julai tahun yang sama, dua individu di Seremban turut berdepan tuduhan yang serupa. Seorang daripadanya ditahan kerana menjual kotak TV haram di sebuah kedai. Suspek mengaku tidak bersalah dan dibebaskan dengan jaminan RM7,000 sementara menunggu perbicaraan pada bulan September akan datang, manakala individu yang kedua mengaku bersalah dan dikenakan denda sebanyak RM10,000, dengan bayaran serta-merta.

PILIH SALURAN HIBURAN KELUARGA YANG SAH

Bila guna Tv box haram ni, perasaan jadi tak tenang sebab kita tahu perbuatan ini adalah salah dari segi undang-undang. Mana tahu, dalam ramai-ramai tetamu yang datang ke rumah, nampak kesalah yang anda lakukan dan lapor kepada pihak berkuasa. Kan dah jadi satu masalah?

Kesimpulan, walaupun peranti penstriman haram menawarkan akses mudah dan murah kepada kandungan, implikasi negatifnya terhadap industri hiburan dan keselamatan pengguna tidak boleh diabaikan.

Menggunakan TV box yang sah dan berlesen seperti dari Astro adalah cara terbaik untuk menikmati hiburan tanpa keburukan. Malah anda bukan sahaja menyokong pencipta kandungan tetapi juga memastikan pengalaman menonton yang lebih baik dan lebih selamat untuk keluarga tercinta.

Published by
Nur