Kalau jalan-jalan cari makan di Kelantan, jangan lupa singgah ke kafe buku hipster, Hedwig Book & Kafe di Kubang Kerian, Kelantan.Mahu menikmati keterujaan alam fantasi Harry Potter seperti di layar perak, Hedwig Book & Cafe adalah lokasi tepat.
Lebih-lebih lagi buat penggemar siri filem Harry Potter kafe ini pasti memberikan keseronokan dan kepuasan menikmati sajian enak sambil berhibur menggunakan kemudahan yang ada.
Konsep ala perpustakaan dalam kafenya memang satu tarikan kuat pelanggan untuk datang menikmati selera di sini. Menurut pemiliknya Nur Raiha Hanafi anak sulungnya adalah peminat tegar yang filem Harry Potter yang memberikan inspirasi untuknya mengadaptasikan kafe berdasarkan cerita tersebut.
Walaupun pemilik kafe buku hipster biasanya banyak tertumpu di bandaraya besar, tetapi pemiliknya yakin permintaan di Kubang Kerian tetap tinggi potensinya. Buktinya kafe miliknya sentiasa dipenuhi pelanggan, terutamanya di kalangan pelajar dan belia. Kelainan yang dicipta dan tarikan dari filem tersebut turut menjadikan tempat ini menjadi tumpuan untuk berkumpul bersama rakan dan keluarga.
Bercerita mengenai hidangan menunya adalah berkonsepkan makanan kafe iaitu menu barat seperti kek, pastri, pudding, pai epal , sandwich serta spaghetti. Menariknya menu-menu adalah berlainan setiap hari kecuali menu yang menjadi ‘signature’ kafe Hedwig.
Menu yang paling mendapat sambutan dan menjadi ‘signature’ di sini adalah Hedwig Chocolate Cake, pie epal, quiche Lorraine, ‘baked potato’ serta spaghetti carbonara. Dengan harga yang berpatutan dan penggunaan bahan berkualiti tinggi aromanya sahaja sudah cukup meyakinkan tentang kelazatan rasa sajian yang dihidangkan.
Saiz hidangan yang cukup mengenyangkan dan rasa yang enak sudah cukup membuatkan pelanggan datang berulang ke sini. Harga yang dijual juga agak sederhana contohnya untuk sekeping kek Hedwig coklat adalah RM9.80, pai epal pula RM7.80 manakala quiche Lorraine RM7.80
Selain menikmati keenakan sajian, pelanggan juga boleh menyewa buku-buku dengan kadar sewaan yang berpatutan iaitu serendah seringgit sehari.Di samping itu kafe ini menyediakan ‘props’ seperti jubah, ‘wand’, skarf untuk pelanggan bergaya seolah-olah mereka adalah pelajar di sekolah Hogwarts seperti Harry Potter.
Jelasnya kafe ini bukan sahaja sekadar menjadi tempat menjamu selera malahan pengunjung juga boleh berekreasi dan dapat bergembira di sini. “Kami menyediakan ‘board game’ seperti Harry Potter scrabble yang menguji kepintaran dan pengetahuan seperti dalam cerita tersebut.
Di samping itu terdapat juga permainan lain seperti jenga, uno dan susun kerusi untuk merehatkan minda. Pelanggan juga boleh mewarna di buku mewarna yang kami sediakan sambil menunggu makanan dan minuman sampai ke meja,” cerita Raihana kepada RASA.
Kafe ini dibuka setiap hari dari jam 10 pagi hingga 10 malam. Lokasi tepatnya adalah di PT 1667, Tingkat 1, Jalan Raja Perempuan Zainab 2, Kubang Kerian, Kelantan.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI