Herba Murah Tapi Banyak Manfaat. Ini Khasiat Halia Yang Ramai Tak Tahu.

Share

Tak lengkap rasanya kalau bahan ini tiada di dapur kerana kebanyakan masakan berasaskan herba menggunakan halia. Bahkan, masakan Melayu juga banyak menggunakan herba ini kerana ia dapat menambah kesedapan dan keharuman sesuatu masakan. Jika ke pasar, terdapat dua jenis halia yang biasa diguna dalam masakan iaitu halia tua dan halia muda. Halia tua lebih banyak digunakan dalam masakan yang perlukan waktu memasak yang lama seperti rendang dan sup manakala halia muda sesuai dimasukkan ke dalam masakan ringkas seperti lauk pauk kacau goreng.

Halia muda. Foto: shop.redtick.com

 

Halia tua

Selain peranan yang besar sebagai  ramuan di dalam masakan, halia juga mempunyai khasiat dari sudut kesihatan, yang amat berguna untuk meningkatkan tahap kesihatan manusia. Halia mengandungi air, karbohidrat, serat, kalium, fosforus, kalsium, tenaga, protein, gentian, niasin, asid amino, gingerols, oleoresin, pati minyak, vitamin A, B dan C, lemak dan asid organik.

Antara khasiat halia ialah, dikatakan dapat membantu meningkatkan sistem imunisasi di dalam tubuh manusia. Pengambilan  halia dalam jumlah tertentu, sehari-hari  boleh membantu mengurangkan risiko strok dengan menghalang lemak melekat pada arteri.

Halia juga membantu penghadaman dan memanaskan badan. Ia juga dikatakan mampu melegakan rasa loya, penyakit sendi dan membantu pengedaran darah.

Ia dikatakan dapat merawat penyakit banyak angin dalam badan, sakit kepala, sistem pencernaan bermasalah, sakit jantung, muntah, cirit-birit, disentri, asma, sakit perut, reumatisme, pengaliran darah bermasalah, mati pucuk, lemah tenaga batin, badan kesejukan, sakit pinggang, urat saraf  lemah, mabuk kenderaan, batuk kering, kejang, buang air berlendir dan darah haid berbau hamis.

Dek kerana khasiatnya, kini di pasaran terdapat banyak produk-produk yang dihasilkan menggunakan herba ini. Antaranya ialah minuman sedia minum, serbuk halia, teh pra campuran, gula-gula dan banyak lagi. Anda nak cuba makan halia dalam versi sedap? Ini resipi yang boleh  anda nikmati. Selamat mencuba.

 

RESIPI MENGGUNAKAN HALIA

1. DAGING GORENG HALIA

BAHAN-BAHAN:

  • 500 gm daging batang pinang | hiris nipis, cuci dan tos
  • 6cm halia muda | hiris nipsis
  • 3 pokok daun bawang | potong 3cm
  • 2 biji bawang besar | hiris
  • 5 ulas bawang putih | cincang halus
  • 10 biji cili padi | titik
  • 1 sudu makan sos tiram
  • 1 sudu teh serbuk lada sulah
  • Garam dan gula secukup rasa
  • Minyak masak secukupnya | untuk menumis

CARA MEMASAK:

  1. Panaskan minyak, tumiskan bawang merah, bawang putih dan halia hingga wangi.
  2. Masukkan daging, kacau rata hingga daging berubah warna.
  3. Setelah air daging kering masukkan sos tiram, kacau rata.
  4. Kemudian perasakan dengan garam dan gula secukup rasa.
  5. Sebelum angkat masukkan daun bawang dan tabur serbuk lada sulah, kemudian kacau  rata dan tutup api.
  6. Daging Halia sedia dihidangkan.

INFO CHEF: Sesetengah orang suka sedikit berkuah. Oleh itu anda boleh tambahkan sedikit air yang dicampurkan dengan sedikit tepung jagung di dalam daging ini sebelum diangkat.

 

 

2. SUP HALIA DAN LOBAK MERAH

BAHAN-BAHAN:

  • 3 sudu makan unsalted butter
  • 6-7 batang lobak merah |kupas kulit dan hiris nipis
  • 2 cawan bawang besar yang dicincang
  • 1 sudu teh halia yang dicincang
  • 2 cawan stok ayam
  • 2 cawan air
  • 3 keping parutan kulit oren
  • Garam secukupnya

CARA MEMASAK:

  1. Cairkan mentega di dalam periuk dengan menggunakan api yang sederhana. Masukkan hirisan bawang besar dan lobak merah dan sentiasa kacau kira-kira lapan minit atau sehingga bawang lembut. Pastikan bawang atau lobak merah tidak bertukar warna coklat.
  2. Kemudian masukkan stok ayam, hirisan halia dan kepingan kulit oren. Kacau perlahan dan perasakan dengan garam secukup rasa. Kacau lagi.
  3. Biarkan ia mereneh kira-kira 20 minit atau sehingga lobak lembut.
  4. Kemudian, keluarkan kulit oren dan tuang sup tadi ke dalam pengisar makanan. Kisar sehingga ia menjadi puri dan halus. Memandangkan sup masih panas, berhati-hati dan jangan tuang sup sehingga penuh. Sebaliknya kisar sedikit demi sedikit sehingga selesai. Boleh tambah garam lagi jika perlu.
  5. Sedia untuk dihidang.

INFO CHEF: Boleh gantikan stok ayam dengan stok sayur-sayuran jika suka.

 

 

 

 

 

Published by
Nur