Ramai orang yang menyukai durian dan tak kurang juga sebaliknya. Namun begitu, ada juga yang suka makan durian tapi tak makan tempoyak. Ini kerana bau tempoyak yang dah di peram tak sama dengan durian segar yang baru di kopek. Loya dibuatnya tetapi pada peminat tegar durian, tempoyak merupakan makanan pembuka selera dengan ulam-ulaman tak pun bila dimasak ikan patin tempoyak memang tak pandang mak mertua lalu.
Apa Itu Tempoyak
Tempoyak ini adalah sejenis makanan yang popular di Malaysia dan Indonesia. Isi-isi durian yang dikumpul dan kemudian diperam selama tiga ke lima hari pada suhu bilik sebelum dimakan.
Penduduk kampung khususnya mereka yang mempunyai kebun durian biasanya membuat tempoyak untuk mengatasi masalah durian banyak.
Tempoyak biasanya tidak dimakan begitu sahaja tetapi dimasukkan ke dalam hidangan sebagai penambah selera dan aroma. Hidangan yang sering menjadi kegemaran ramai adalah ikan patin masak tempoyak cili padi atau sambal tempoyak.
Sebenarnya menghasilkan tempoyak sendiri tidak sukar. Cuma untuk memastikan tempoyak yang dihasilkan itu sedap, segar dan tahan lama itulah yang sedikit sukar. Namun, jika tahu caranya, tempoyak yang dibuat sendiri jauh lebih enak dan terjamin rasanya.
Cara Buat Tempoyak
Tip Buat Tempoyak
Berikut 9 tip tentang tempoyak buat sendiri. Rugi kalau tak cuba!
1. Untuk membuat tempoyak, guna isi durian yang masih elok. Elak menggunakan durian yang hampir buruk, busuk atau kurang sedap rasanya. Nanti tempoyak juga akan menjadi kurang sedap.
2. Pilih isi durian yang sedikit lembik. Selalunya jenis durian kampung.
3. Tempoyak asli, hanya isi durian sahaja. Tidak perlu ditambah apa-apa bahan lain seperti garam atau asam. Hanya isi durian sahaja yang diperam.
4. Asingkan isi daripada biji dan kumpulkan dalam penapis untuk keluarkan air durian. Tujuannya untuk tempoyak tahan lebih lama.
5. Isi durian tak perlu dikisar atau dilenyek (sebab durian yang diguna sudah lembik). Kumpulkan, tapis dan masukkan ke dalam balang/bekas.
6. Tempoyak tidak semestinya berwarna kuning. Durian yang berisi lembik ini kadang kala warnanya kuning pucat sahaja tapi rasanya sedap.
7. Hati-hati jika tempoyak mempunyai warna kuning terang, ada kemungkinan dicampur pisang emas. Namun ini hanyalah kemungkinan saja ya, tidak semua penjual melakukan demikian.
8. Tempoyak asli yang tidak dicampur apa-apa bahan akan tahan lebih lama (setahun jika disimpan dalam peti sejuk). Jika tempoyak sudah rosak atau berubah rasa dalam tempoh dua ke tiga bulan, berkemungkinan ia dicampurkan dengan bahan-bahan lain. Sebaiknya dibuang.
9. Satu lagi cara untuk pastikan tempoyak asli adalah dengan melihat ‘urat-urat’ atau serabut durian pada tempoyak. Ini menandakan isi durian tersebut tidak dikisar atau dicampur dengan bahan-bahan lain untuk ‘nampak banyak’.
Mudah sahaja bukan, untuk hasilkan tempoyak sendiri?
Sumber: www.thevocket.com
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI