Idea Penjagaan Serta Tip Penyimpanan Makanan Dalam Peti Sejuk

Share

Peti sejuk menjadi salah satu peralatan elektrik yang harus ditempatkan di ruang dapur. Ini kerana fungsinya yang bertindak memastikan makanan kekal segar dan mengelakkan pembiakan bakteria seterusnya merosakkan makanan. Oleh itu, kerja membersihkan dan menjaga peti sejuk harus bermula serta-merta selepas digunakan. Cara dan langkah yang salah dalam penjagaan peti sejuk ini bukan sahaja mengurangkan jangka hayat alat ini, sebaliknya boleh mengakibatkan kesan kepada masalah penghadaman, sakit perut dan sebagainya.

Di sini disertakan langkah-langkah penjagaan yang betul terhadap peti sejuk agar ia terus berfungsi dengan optimum.

Membersihkan

Segera lap tumpahan di dalam peti sejuk bagi mengelakkan pembiakan bakteria. Di samping itu cuci bahagian dalam peti sejuk sekurang-kurang sekali setiap minggu termasuk bahagian bawah rak. Jangan lupa semak tarikh luput makanan untuk mengelakkan dari termakan makanan tamat tempoh.

Zon makanan

Di dalam peti sejuk terdapat beberapa zon yang lebih sejuk daripada zon yang lain. Pastikan makanan yang sesuai diletakkan dalam zon yang sesuai. Misalnya tempatkan daging mentah di tempat yang dikhaskan. Ini juga bertujuan untuk mengelakkan berlaku kerosakan kepada makanan lain sekiranya adanya kebocoran pada plastik bungkusan daging tadi. Manakala pada bahagian pintu merupakan zon yang paling ‘hangat’ dalam peti sejuk. Ia sesuai ditempatkan dengan makanan yang tidak cepat rosak seperti air kotak dan telur ayam.


Periksa Suhu

Bagi mengelakkan makanan menjadi rosak atau basi, suhu harus dilaraskan antara satu hingga empat darjah celcius. Untuk memastikan suhu dilaraskan pada tahap yang sebenar, anda boleh mengukur menggunakan termometer khas untuk peti sejuk. Sekiranya bekalan elektrik terputus, elakkan membuka pintu peti sejuk dengan kerap bagi mengekalkan suhu yang rendah untuk jangka masa yang lebih lama.

Kendalikan Makanan dengan Cermat

1.Jangan sesekali meletakkan atau menyimpan makanan yang masih panas. Ini mengakibatkan suhu dalam peti sejuk terganggu sekali gus menaikkan risiko kerosakan kepada makanan di dalam peti sejuk.

2.Pastikan makanan yang disimpan ditutup dengan rapat. Ini bagi mengelakkan makanan menjadi kurang segar.

Terdapat pengguna yang lebih selesa membersihkan daging atau ikan yang dibeli sebelum menyimpannya di dalam peti sejuk. Sebaliknya lebih baik membiarkan daging tersebut di dalam bungkusan tanpa membukanya untuk mengelakkan risiko penyebaran bakteria di dalam peti sejuk.

Idea Penyimpanan Makanan
Menyimpan makanan di dalam peti sejuk mengikut zon atau susunan tertentu merupakan idea yang sangat baik. Ia memberi banyak faedah dan manfaat kepada anda. Memudahkan capaian, menjimatkan masa, tenaga elektrik dan wang anda.Walaupun anda sentiasa mengemas peti sejuk anda, namun adakah anda mengetahui di manakah tempat yang paling sesuai untuk makanan tertentu diletakkan agar kesegarannya bertahan lebih lama? Semak tip dan panduan yang disediakan ini;

1.Jangan ‘sumbat’ ruang dalam peti sejuk dengan terlalu banyak makanan. Ini mengganggu aliran udara sejuk dan menjadikan suhu makanan seperti yang tidak sepatutnya.

2.Simpan dan susun makanan yang hampir serupa di rak yang sama. Oleh itu, anda mudah mengetahui di mana ingin mendapatkan makanan tersebut nanti.
3.Tempatkan makanan yang bersaiz kecil seperti mentega, yogurt, keju, pencuci mulut dan snek di bahagian rak yang sama paras pandangan mata.
4.Letak makanan yang sudah dimasak di atas bahagian rak yang berada di atas daging mentah atau makanan laut.
5.Simpan semua makanan dari jenis daging mentah, ikan atau makanan laut di bahagian rak paling bawah. Kekalkan bungkusan asal atau di dalam beg plastik bagi mengelakkan kebocoran yang boleh menjejaskan makanan lain.
6.Simpan buah-buahan dan sayur-sayuran secara berasingan. Sayur-sayuran seharusnya disimpan di zon yang lebih ‘hangat’ di dalam peti sejuk (laci bawah). Ini kerana sayur-sayuran memerlukan penyimpanan di dalam suhu sekitar 10 darjah celcius sahaja.

7.Tempatkan minuman jus, botol dan produk dalam balang seperti sos di bahagian dalam pintu peti sejuk. Produk sebegini mempunyai ketahanan yang lebih lama dan tidak memerlukan suhu yang terlalu sejuk di dalam peti sejuk.

Sumber gambar: 123 royalty free

Nak dapatkan peralatan memasak yang baru?  Klik sini .

 

Published by
Putri Adila Saari