Nama Ifa Raziah memang begitu terkenal dalam industri seni hiburan. Bukan sahaja kerana bakat nyanyian dan lakonan, namun Ifa turut handal memasak. Walaupun suka masak dan suka makan, potongan badan Ifa tetap cantik sesuai dengan gelarannya Miss Diva.
Dalam rancangan RASA Nostalgia Ramadan yang bersiaran pada jam 5 petang tadi, Ifa Raziah adalah tetamu jemputan yang dijemput oleh Chef Selebriti, Chef Wan. Chef Wan akui Ifa kelihatan sangat cantik pada usianya sekarang. Kata Ifa, dia tidak amalkan senaman sebaliknya menjaga pemakanan.
“Saya suka makan hidangan sup. Kurang berminyak, kurang masin dan kurangkan manis dalam hidangan. Itu saja yang saya amalkan untuk jaga badan,” cerita Ifa.
Justeru, dalam episod kali ini, Ifa memasak Mihun Sup Utara Miss Diva. Ini adalah kegemaran Ifa Raziah tiap kali tibanya bulan Ramadan.
“Mihun sup utara tidak dimakan dengan sambal kicap. Tapi dimakan dengan sambal cili merah. Itu bezanya antara utara dan selatan. Mihun pula dimasak kuning kerana dicelur dengan air kunyit. Kalau mihun lain, biasanya warna putih saja,” cerita Ifa lagi.
Untuk hidangan pencuci mulut pula, Ifa menyediakan Kuih Jala Emas. Korang nak tahu apa sejarah kuih ni?
“Kuih jalan emas ni asal-usulnya daripada orang Portugis. Ketika mereka tu menjajah Siam dulu, mereka selalu buat kuih ni. Kemudian dibuat pula oleh orang Golok dan orang Kelantan. Sebab itulah kuih ni popular di Kelantan. Manis rasanya, orang Kelantan suka,” kata Ifa mengenai asal-usul Kuih Jala Emas.
Sesi memasak oleh Ifa Raziah dan Chef Wan sangat santai. Maklumlah mereka masak ditemani dengan penapis udara dan penapis air daripada Coway. Memasak dengan udara yang bersih. Dipermudahkan pula dengan penapis air yang ada ciri-ciri hebat. Memang semakin lincah kerja di dapur!
Nak tahu resipi yang dimasak oleh Ifa Raziah dan Chef Wan tadi? Nah, RASA kongsikan resipinya. Korang try buat tau.
BAHAN MI
1 peket bihun
Sedikit serbuk kunyit
CARA MEMBUAT
1. Rebus seketika bihun dengan air bercampur serbuk kunyit.
2. Angkat dan toskan.
BAHAN SUP
6 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
2 inci halia
Minyak masak untuk menumis
Rempah 3 sekawan
2 sudu besar rempah sup
1 sudu besar serbuk lada hitam
1 jag air panas
1 kg daging (potong dan direbus dulu)
1 batang lobak merah (dipotong besar)
3 biji kentang (dipotong besar)
Garam secukup rasa
CARA MEMBUAT SUP
1. Kisar bawang merah, bawang putih dan halia sehingga halus.
2. Panaskan minyak masak. Tumis bahan kisar tadi bersama rempah tiga sekawan.
3. Tumis sampai agak kering. Masukkan rempah sup dan lada hitam. Kacau.
4. Masukkan air panas. Masukkan juga daging dan air rebusan daging.
5. Masukkan lobak merah dan kentang. Perasakan dengan garam.
6. Biarkan mendidih.
BAHAN-BAHAN
2 biji kuning telur itik
1 jag air
2 cawan gula
CARA MEMBUAT
1. Pecahkan telur itik. Ambil kuningnya sahaja.
2. Tapis kuning telur dengan kain kasa.
3. Masukkan kuning telur dalam botol yang selalu orang buat roti jala. Ketepikan.
4. Di dalam kuali, panaskan air.
5. Masukkan gula. Biarkan gula larut.
6. Kiraikan kuning telur di atas air gula. Biarkan dia terbentuk cantik.
7. Gunakan kayu penyepit, simpulkan biar cantik. Angkat.
Jangan lupa saksikan episod seterusnya dalam rancangan RASA Nostalgia Ramadan di Astro Prima dan Prima HD sepanjang bulan Ramadan ini. Rancangan ini bersiaran setiap Isnin hingga Khamis, jam 5 petang. RASA Nostalgia Ramadan dihebatkan oleh Coway.