Beroperasi sejak 25 Jun 2019, Iman Cafe menawarkan makanan barat kepada penduduk sekitar. Pun begitu ada juga beberapa menu Korea disediakan. Menu sebegini dipilih kerana ingin memberi peluang masyarakat untuk menikmati hidangan barat pada harga mampu milik.
Menurut Rashidah Yusoff, makanan barat di sekitar kawasan Kota Bharu agak mahal. Jadi mereka yang ingin makan makanan barat dengan cara yang santai boleh cuba di gerai mereka.
Ads
“Antara sebab kafe kami menjadi pilihan pelanggan adalah kerana hidangan yang kami sediakan harganya berpatutan. Kami amat menitikberatkan kreativiti pada setiap menu yang dihidangkan. Ini supaya makanan nampak menarik dan menyelerakan. Ada pelanggan terkejut bila ingin membuat pembayaran, harga yang dikenakan murah. Tidak sepadan dengan gaya hidangan yang nampak macam konsep hidangan di restoran mewah,” ujar Rashidah.
“Komen pelanggan juga sangat positif. Alhamdulillah kami menerima komen yang sangat positif melalui komen di Facebook dan komen di Food Panda. Kafe kami pernah viral di medium Twitter dan sejak itu kami mula dikenali,” katanya lagi.
Resipi yang digunakan untuk memasak hidangan di kafe ini dipelajari daripada seorang sahabat. Menurut Rashidah, sahabatnya itu telah lama bekerja sebagau chef di sebuah restoran hidangan barat terkenal.
Ads
“Di samping itu saya juga menyertai pelbagai kelas masakan barat. Dengan cara ini saya dapat menambah baik resipi sedia ada. Saya juga membuat R&D resipi yang paling menepati cita rasa penggemar makanan barat. Setiap hidangan kami, kami perap dengan sos khas sebelum dibakar untuk dihidangkan. Salah satu keunikan dan keistimewaan menu kami dengan makanan barat yang lain adalah kesedapan sos kami,” ujarnya menutup bicara.
Ads
INFO KEDAI Nama kedai: Iman Cafe Pemilik: Muhammad Farid Mustafa dan Rashidah Yusoff Lokasi: Kg. Chempaka Kota Bharu Waktu operasi: 12.30 tengah hari – 11malam Wajib Cuba: Chicken Grilled, Lamb Grilled, Talam Western
Tak tahu nak masak apa? Lubuk resipi RASA kini di SEENI, tak perlu susah lagi. Download seeNI sekarang!
Beijing adalah salah satu kota yang sering dikunjungi pelancong kerana memiliki lokasi pelancongan yang indah dan eksotik. Selain itu kota ini banyak mempunyai bangunan bersejarah yang masih berdiri tegap hingga saat ini. Oleh itu, Beijing juga sangat wajib anda kunjungi.
Buat Rozelinda Mustapha, kenangan melancong bersama keluarga merupakan saat terindah yang sukar dilupakan biarpun telah setahun berlalu.
Kenangan melancong ke Beijing semasa musim sejuk sungguh mencabar kerana ketika kami ke sana suhunya sangat sejuk di antara 1°C hingga -3°C. Bertahan saja. Hah! Rasakan dah nak sangat ke tempat sejukkan.
Persediaan
Sebelum bertolak ke Beijing pastinya pelbagai persediaan dibuat. Perkara yang paling penting ialah menyediakan beberapa bekalan makanan untuk dimakan sepanjang berada di sana. Bagi saya memang perlu back up makanan kerana makanan di Beijing hanya boleh layan untuk dua ke tiga hari.
Lepas itu tekak sudah mula mengada ngada.Mr Hubby pun memang sudah berpesan untuk bawa makanan dari Malaysia. Pengalaman suami yang sering travel ke luar negara banyak membantu di dalam persiapan penyediaan makanan, pakaian serta ubat-ubatan. Mujur ada konsultan yang boleh nasihat itu dan ini sebelum, semasa dan selepas setiap kali melancong ke luar negara.
Antara bekalan makanan yang disiapkan sebelum berangkat adalah lasagna sejuk beku, sambal Ikan Bilis, pes sambal, dan juga pes-pes segera dari Brahim yang sangat membantu sepanjang tempoh berada di sana.
Perjalanan dari KLIA ke Beijing mengambil masa enam jam. Sementara menunggu tiba, apa lagi asyik layan makan dan layan movie saja. Memang tak tidur sebab hati sangat teruja, tak sabar mahu cepat tiba.
Oh Beijing aku tiba!
Tiba di Beijing seawal jam 2.00 pagi. Suhu di sana memang sangat sejuk, boleh dikatakan ekstrem. Sejuk di sana sangat kering yang boleh menyebabkan kulit kering dan luka. Maka perlu sentiasa memakai losyen supaya kulit sentiasa lembap. Pakaian dipakai perlulah berlapis-lapis, semua berbungkus dari atas hingga bawah.
Bila sudah berada di dalam cuaca sejuk memang perut terasa lapar Sbelum keluar bilik hotel setiap seorang dibekalkan cookies, sandwic dan milo 3in1 beserta air panas dalam bekas thermos buat alas perut sementara menunggu waktu makan tengah hari dan makan malam. Masing-masing ada bekalan makanan dalam bag pack.Itulah untungnya bawa ‘mama’ pergi travel.Semua sedia teratur.
Pelbagai makanan tempatan dapat kami merasa di sana kerana tidak sukar untuk mencari restoran Muslim yang halal.Makanan di sana agak sedap bila sesekali merasa masakan orang Cina di sana. Nama pun travel jadi perlulah merasa dan alami perkara-perkara dan pengalaman yang baru.
Makanan tempatan di sana banyak terdiri daripada hasil tanaman dan ternakan. Namun untuk makanan laut agak sukar untuk di dapati dan harganya agak mahal berbanding dengan hasil ternakan daging dan tanaman. Ini adalah kerana bekalan ikan agak sukar kerana keadaan faktor geografi negara berkenaan yang jauh daripada laut. Namun kalau nak merasa masakan laut tetap ada kerana banyak juga hasil laut daripada sumber tasik dan kolam-kolam belaan.Tetapi rasanya, tepuk dada tanya selera.
Selain menikmati makanan, ini antara tempat menarik dan bersejarah yang dikunjungi;
GREAT WALL CHINA
Ini salah tempat idaman yang sangat ingin dikunjungi. Saat menjejak kaki ke sini hanya tuhan sahaja yang tahu betapa terujanya rasa.Melihat dari mata sendiri akan keindahannya membuatkan diri terfikir adakah benar ini hasil binaan oleh tangan-tangan manusia. Ia termasuk salah satu daripada tujuh benda ajaib dunia.
FORBIDDEN CITY
Istana Terlarang sering disebut juga dengan the Forbidden City. Istana ini adalah peninggalan dari Dinasti Ming dan Qing, dua dinasti paling besar yang ada di Cina. Lokasinya mempunyai keluasan lebih kurang70 hektar dengan jumlah ruangan mencapai 9900. Ruangan sebanyak itu punya fungsi masing-masing.
SUMMER PALACE
Salah satu bangunan paling megah yang ada di Beijing adalah Istana Musim Panas. Lokasi ini pun telah diakui sebagai satu warisan dunia yang harus dilindungi (UNESCO). Wilayah istana yang terdiri dari bukit-bukit hijau, luasnya mencapai 300 hektar. Mirip dengan Taman Beihai, Istana Musim Panas pun dikelilingi danau yang memiliki pulau kecil di tengahnya. Konon, pulau itu adalah tempat di mana dewa naga yang melindungi warga berada.
NEUJIE MOSQUE – Masjid tertua di bina pada tahun 996 semasa pemerintahan Dynasty Liao. Kami berkesempatan untuk solat Jumaat di masjid ini. Berpeluang mendengar khutbah Jumaat walaupun tidak memahami apa yang Imam katakan. Apa-apa pun jelas ternampak perpaduan umat Islam di dalam masyarakat China di sini. Di samping itu dapat juga pengalaman bermain salji di Taman Salji.
Melancong ke sini anda perlu menyediakan toilet travel kit di dalam bag pack masing-masing. Botol air untuk bersuci wajib kena penuh dan harus dibawa kemana-mana kerana di tandas mereka tidak akan berjumpa paip air.
Apa-apapun, orang-orang di sana sangat peramah dan mereka suka akan orang Malaysia kerana kata mereka orang Malaysia semua cantik-cantik belaka dan bermata besar.
Itulah serba sedikit pengalaman ketika di sana yang boleh dikongsikan.Kalau nak diceritakan semua pengalaman di sini memang tak cukup. Saat yang paling berharga adalah di mana sentiasa bersama keluarga tercinta.
Disyorkan kepada sesiapa yang merancang untuk pergi melancong, masukkan Beijing di dalam senarai antara tempat-tempat yang wajib untuk dikunjungi.Rugi kalau tak sampai ke sini taw!!
Tak dinafikan lagi nasi lemak merupakan antara hidangan ‘signature’ dan menjadi kegemaran kebanyakan rakyat Malaysia. Nasi yang dimasak bersama santan dan dihidangkan bersama sambal, telur, hirisan timun dan ikan bilis goreng ini memang punya keistimewaannya yang tersendiri. Mana tidaknya, dari pagi hingga ke larut malam, hidangan ini sentiasa dijual dan mudah didapati.
Malah, hidangan ini juga diangkat ke kelasnya yang tersendiri dimana ia telah dijadikan tema bagi baju yang bakal diperagakan oleh Samantha Katie James; Miss Universe Malaysia di pertandingan Miss Universe 2017 yang bakal berlangsung di Amerika Syarikat pada penghujung bulan ini. Baju yang direka oleh Brian Khoo ini memang unik. Agaknya berapa banyak manik lah yang digunakan untuk menghasilkan ‘effect’ seperti butiran nasi lemak ni kan?
Sebut pasal nasi lemak ni, rasa laparlah pula. Jom lihat lokasi-lokasi nasi lemak best di sekitar Lembah Klang ni yang boleh anda cuba. Mungkin ada dalam senarai ni yang anda belum ‘test’ lagi.
1. Nasi Lemak Wak Wanjor
Nasi lemak Wak Wanjor adalah nasi lemak yang popular di kalangan warga kota yang mana difahamkan telah dibuka sehjak tahun 80an lagi. Terletak di Kampung Baru, nasi lemak ini memang menjadi pilihan ramai. Nasinya dijual dengan harga serendah RM3 dan terdapat pelbagai pilihan lauk pauk lain seperti lauk sotong, ayam, daging, paru, limpa dan banyak lagi.
Lokasi : Jalan Raja Muda Musa (Kampung Baru), 50300 Kuala Lumpur, Kuala Lumpur
Biarpun pelbagai kuih-muih ‘hybrid’ telah banyak diperkenalkan ketika ini, namun keenakan kuih-muih tradisional tetap menjadi pujaan dan pembuka selera buat sesiapa sahaja yang menjamahnya.
Itulah yang cuba dikekalkan oleh pemilik Popia Kuih Che Abang, Mohammad Akbar Ramli,54 dan isterinya Norizah Hasan@Aziz,48 yang telah mengusahakan perniagaan aneka kuih-muih Melayu sejak 11 tahun yang lalu.
Bermula dengan hanya menjual dua jenis kuih, Popia Basah dan Popia Goreng sekitar tahun 2011, kini menjual hampir 30 aneka kuih-muih pada setiap hari. Selain di Bazaar Bulatan Uniten, mereka turut mempunyai sebuah lagi cawangan di Cheras Jaya, Selangor.
Menurut Akbar, resipi Popia dan aneka Tepung Talam merupakan resipi turun-temurun.Sejak mula bertapak, resipi asli ini berjaya memikat selera pelanggan mereka. Selain beberapa orang pekerja, pasangan suami isteri ini turut dibantu oleh anak sulung mereka, Muhammad Aiman Mohamad Akbar,22.
Jelas bekas anggota Tentera Laut ini, anaknya mula menunjukkan minat untuk berniaga sejak dahulu lagi. Menariknya,menu seperti Popia Sira yang mendapat sambutan menggalakkan di kalangan pelanggan juga merupakan cetusan cinta hati mereka itu sendiri.
Kongsi Norizah pula yang merupakan seorang bekas guru, setiap hari seawal pagi dia akan menyediakan kulit popia dan kuih Tepung Talam sebelum sedia untuk dijual bermula jam 11 pagi hingga 6 petang. Bagi memastikan kualiti dan rasa asli pada setiap menu tersebut, ibu kepada 5 orang cahaya mata ini hanya akan menggunakan bahan-bahan yang bermutu tinggi selain mendapatkan bekalan bahan mentah yang segar.
“Setiap hari saya akan menyediakan kulit popia dan kuih-muih yang lain seperti Tepung Talam seawal 7.30 pagi. Semua bahan yang digunakan adalah segar dan diambil dari pemborong setiap hari. Ianya bertujuan untuk mengekalkan rasa serta membuatkan kuih-muih kami tidak mudah basi” kata Norizah
Mengikut rekod jualan,setiap hari mereka mampu menghasilkan 8 hingga 10 kilogram tepung bagi kulit Popia manakala bagi kuih Tepung Talam pula tersedia hampir 23 talam bersaiz besar.
Penangan keenakan kuih-muih Che Abang, tidak hairanlah ia sentiasa mendapat sambutan dan permintaan yang menggalakkan daripada para pelanggan pelbagai latar belakang dan kaum. Dedah Akbar, kuih-muih mereka sering kali ditempah untuk pelbagai acara termasuklah menyediakan kuih Kole Kacang di Dewan Parlimen yang menjadi kegemaran ramai ahli politik negara sejak bertahun-tahun dahulu.
Selain itu, menu seperti Seri Muka Durian turut mendapat permintaan tinggi kerana menggunakan isi durian asli dan kaya dengan rasanya. “Sebenarnya kuih Seri Muka Durian tidak putus-putus orang membelinya kerana kami hanya menggunakan isi durian sebenar. Menu ini ada pada setiap masa dan isi durian pula kami telah dapatkan dari pembekal” kata Akbar
Menjelang Ramadan yang bakal tiba,gerai Popia Kuih Che Abang turut teruja untuk kembali berniaga di bulan yang penuh keberkatan ini. Pada tahun lalu, mereka turut mengalami nasib sama seperti kebanyakan peniaga lain selepas tidak dibenarkan beroperasi berikutan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) .
“Kami berterima kasih kepada Majlis Perbandaran Sepang kerana mengizinkan kami untuk terus bertapak di sini. Harapan kami bukan sahaja ingin menaikkan kembali kuih-kuih tradisional malah mengharapkan generasi-generasi muda kenal akan aneka kuih-muih yang pernah menjadi kegemaran nenek moyang mereka” tambah Akbar lagi
Pada bulan Ramadan, gerai kuih-muih melayu ini bakal beroperasi bermula jam 1 petang hingga 7.30 malam dan sentiasa mengalu-alukan kedatangan para pelanggan.
Antara Kuih-Muih Di Popia Kuih Che Abang ialah Popia Basah, Popia Goreng/Sira,Seri Muka Pandan, Seri Muka Durian, Kole Kacang, Sagu Merah,Kaswi,Bingka Ubi Kayu,Lompang,Lopez, Talam Suji, Talam Pandan,Talam Ubi Kayu,Talam Berlauk Ayam,Talam Cendol, Talam Keladi,Tauhu Sumbat,Tauhu Bergedil dan banyak lagi.
Anda yang mengidam kuih muih melayu dan popia, memang wajib datang ke sini. Kuih muih di sini dijamin sedap belaka.
POPIA KUIH CHE ABANG Lot 20 Bazaar Bulatan Uniten Jln Uniten, 43009 Kajang, Selangor Facebook: https://www.facebook.com/ProdukCheAbang/ #popiakuihcheabang Waktu perniagaan : 11.30 pagi – 6.30 petang (TUTUP SETIAP AHAD)