Ini 7 Cara Buat Telur Dadar Yang Nipis & Cantik

Share

 

Telur dadar nipis adalah telur dadar yang selalu kita jadikan hiasan di atas nasi goreng. Selalunya telur dadar macam ni, digulung dan ditabur.

Nak buat telur dadar nipis macam ni, tak semudah disangka. Memang semua orang boleh  buat telur dadar kerana nampak macam mudah, tetapi untuk mendapatkan telur dadar yang dinipis dan tidak koyak bila digulung, ini caranya:

1. Gunakan Kuali  Tidak Melekat (Non Stick)

Membuat telur dadar menggunakan kuali non stick adalah pilihan terbaik, terutama anda yang jarang membuat telur dadar kerana kuali jenis ini menjadikan telur dadar tidak melekat  pada kuali, mudah diterbalikkan dan tidak terkoyak. Sebagai saranan  gunakan kuali yang tidak terlalu besar atau kecil seperti kuali dengan ukuran 22 cm adalah lebih sesuai.

2. Gunakan Sekurang–Kurangnya Dua Biji Telur

Dengan dua biji telur ini akan menjadikan kerja mendadar telur lebih mudah. Dengan dua  biji telur anda boleh buat tiga keping telur dadar yang nipis. Kalau guna satu biji ia terlalu sedikit .

3. Oleskan Kuali Dengan Sedikit Minyak

Walaupun menggunakan kuali antilekat, anda masih perlu oleskan sedikit minyak di seluruh permukaan dalam kuali. Gunakan lebih kurang satu sudu kecil minyak masak, kemudian ratakan dengan tisu dapur. Tindakan ini membantu telur dadar lebih mudah diterbalikkan. Jika terlebih minyak boleh tekap dengan tisu dapur. Olesan minyak perlu dilakukan setiap kali menbuat telur dadar.

4. Guna Api Kecil

Cara paling selamat untuk mendapatkan telur dadar nipis, tidak hangus dan masak sekata, anda perlu gunakan api. Telur dadar yang cantik berwarna kuning cerah.

5. Ukuran Untuk Sekeping Telur Dadar

Sangat penting anda tahu berapa banyak telur yang diperlukan untuk satu keping telur dadar nipis. Anda boleh gunakan senduk gulai bulat sebagai ukuran. Agar hasil telur dadar adalah sama.  Selepas itu, anda hanya perlu tuangkan telur dalam kuali kemudian perlahan-lahan layang ke kiri dan ke kanan kuali supaya telur merata nipis dengan cantik.

6. Goreng Sekejap

Selain menggunakan api perlahan, telur dadar juga mesti digoreng sekejap sahaja. Elak goreng telur dadar terlalu lama sehingga menjadi terlalu garing. Warnanya akan berubah  menjadi kuning keperangan.  Sebaiknya, bila kuali panas atas api perlahan, terus masukkan telur. Apabila telur sudah kering, terbalikkan sebelah lagi. Selepas 30 saat angkat segera telur.

7. Gulung Dan Hiris Nipis

Apabila telur dadar telah siap dan kurang panas, gulung telur dan hiris nipis-nipis seperti hirisan mi. Atau gunakan telur dadar sebagai wrap  makanan lain. Selain boleh digunakan sebagai hiasan, ia juga sesuai dijadikan lauk dimakan dengan pulut kuning, nasi goreng atau diratah begitu sahaja.

 

Selamat mencuba!

 

 

Published by
Maryam Elyas