Ini 8 Perkara Tentang Ikan Sebelum Sukses Memasaknya.

Share

Tidak kira ikan sungai atau ikan laut mahupun jenis ikan,  ia adalah sumber protein terbaik untuk tubuh. Tetapi, lecehnya ikan segar tidak lari dari bau hanyir, susah disiang dan kadang-kadang bila digoreng mudah melekat pada kuali atau hancur isinya bila digulai. Sakit hati jadinya.

Untuk semua masalah ini, anda jangan bimbang, lapan petua di bawah ini boleh mengatasi semua masalah anda berkaitan ikan.

Cara Mudah Buang Sisik Ikan:

Sesetengah ikan, sisiknya sukar untuk ditanggalkan. Cara mudah mengatasinya adalah  dengan merendamkan ikan di dalam air dan biarkan seketika. Kikis sisik ikan di dalam air. Anda akan dapai sisiknya mudah tertanggal.

Hilangkan Bau Hanyir:

Tuang lebih kurang dua sudu teh cuka atau dua sudu perahan limau nipis atau kasturi pada satu kilo ikan, Gaul dan biarkan lebih kurang 10-15 minit kemudian bilas dengan air bersih.  Untuk hilangkan rasa masam cuka, taburkan sedikit garam.  Kedua, anda boleh gunakan asam jawa, gaul rata dan selepas 10 minit cuci dengan air bersih. Ketiga, anda gunakan air basuhan beras untuk membasuh ikan, selepas dibersihkan rendam dengan air beras  beberapa minit. Kemudian dicuci dengan air.

 Ikan Garing Bila Digoreng:

Sebelum goreng, Gaulkan ikan bersama garam dan serbuk kunyit. Kemudian campurkan sedikit serbuk kunyit dalam minyak panas untuk menggoreng ikan. Goreng  ikan seperti biasa. Kedua, Campurkan serbuk kunyit, garam dan sedikit bawang putih yang telah dikisar pada ikan. Lumurkan rata dan perap beberapa minit. Kemudian goreng ikan seperti biasa.

Ikan Tidak Melekat Semasa Digoreng:

Masukkan sekeping asam gelugor dalam minyak  untuk menggoreng ikan. Setelah minyak panas, goreng ikan seperti biasa. Pasti ikan cepat garing dan tidak melekat.

Ikan Sejuk Beku Segar Semula:

Ikan sejuk beku atau yang disimpan lama dalam peti sejuk akan berasa tawar dan tidak segar. Ia boleh diatasi dengan merendamkan ikan tersebut dalam susu segar selama 15 minit. Kemudian masaklah seperti biasa. Ikan akan segar semula dan enak dimakan.

Ikan Bakar Lebih Sedap:
Jika ingin ikan bakar lebih sedap rasanya, selepas dicuci ikan tersebut hendaklah diperapkan dengan sedikit asam jawa dan air. Biarkan selama beberapa minit sebelum dibakar atau dipanggang.

Ikan Segar Walaupun Disimpan Lama:

Cara mengekalkan kesegarannya, siang kesemua ikan tetapi jangan dicuci. Masukkan ke dalam beg plastik dan simpan dalam peti sejuk. Ikan akan tetap segar walaupun di simpan lebih seminggu dalam peti sejuk.

Telur Ikan Tidak Pecah:
Masukkan telur ikan ke dalam plastik. Rebus lebih kurang lima minit. Keluarkan dari plastik dan masak seperti biasa.

 

 

Published by
Norasida Myasin