Korang, kalau rasa sibuk dan tak cukup masa tapi nak juga masak sendiri. Ini ada idea bagus korang boleh cuba. Ideanya ialah campurkan lauk dengan sayur sekali dalam satu menu, contoh Gulai Ikan Masin Dengan Terung Atau Kari Daging Dengan Rebung.  Tapi kalau korang ada idea lain boleh je cuba.  Yang penting ada sayur dan lauk dalam satu menu, lauk tambahan  boleh je goreng telur dadar.  Senangkan, Kalau korang nak cuba ini ada beberapa resipi yang RASA kongsikan.

KARI TULANG BERSAMA REBUNG

BAHAN-BAHAN:

  • 1 kg tulang  | cuci bersih dan rebus hingga empuk
  • 150gm rebung jeruk | cuci bersih dan tos
  • 500ml air rebusan tulang
  • 250ml santan
  • 1/2 cawan air asam jawa
  • 2 tangkai daun kari | lurut dari tangkai
  • 4 sudu makan rempah kari daging
  • 2 sudu makan sebuk cili
  • Garam dan gula secukup rasa
  • 1/2 cawan minyak masak

BAHAN REMPAH PENUMIS:

  • 3cm kulit kayu manis
  • 2 tangkai bunga lawang
  • 6 ulas buah pelaga
  • 5 biji  bunga cengkeh

BAHAN KISAR:

  • 8 ulas bawang merah
  • 5 ulsa bawang putih
  • 4cm halia muda
  • 3 cm lengkuas

CARA MEMASAK:

  1. Panaskan minyak dalam periuk, tumiskan bahan rempah penumis hingga wangi.
  2. Masukkan bahan kisar, kacau rata hingga timbul minyak.
  3. Kemudian masukkan campuran rempah kari dengan serbuk cili yang dibancuh dengan air.
  4. Terus kacau hingga wangi dan tumisan pecah minyak.
  5. Masukkan tulang yang telah direbus bersama rebung tadi.
  6. Kacau rata dan tambah dengan air rebusan tulang.
  7. Biarkan mereneh seketika, kemudian tambahkan air asam jawa dan santan.
  8. Setelah mereneh lebih kurang 3-4 minit, perasakan dengan garam dan gula.
  9. Kecilkan api dan biarkan kari mereneh dan timbul minyak.
  10. Setelah cukup rasa, tutup api dan kari sedia dihidangkan.

GULAI REMPAH TULANG IKAN MASIN & TERUNG SIAM

BAHAN-BAHAN:

  • 1/2kg tulang ikan masih merah/kurau | rendam
  • 2 biji Terung Siam| belah dua
  • 500ml santan kelapa
  • 2 keping asam gelugor
  • 2 sudu makan rempah kari ikan
  • Garam dan gula secukup rasa

BAHAN KISAR HALUS:

  • 5 ulas bawang merah
  • 2 ulas bawang putih
  • 2cm halia muda
  • 3cm kunyit hidup

BAHAN  TUMIS DARAT:

  • 4 biji bawang merah | hiris
  • 3 ulas bawang putih | hiris
  • 1 sudu makan rempah campur
  • 1 tangkau daun kari | lurut dari tangkai

CARA MEMASAK:

  1. Masukkan santan dalam periuk bersama bahan kisar serta rempah kari, kacau rata.
  2. Masukkan bersamanya tulang ikan masin bersama terung dan asam gelugor.
  3. Renehkan atas api sederhana hingga mendidih dan terung empuk.
  4. Perasakan dengan garam dan gula secukupnya (rasa dulu, jika perlu baru masukkan garam kerana ikan masin sudah masin).
  5. Setelah cukup rasa, ketepikan periuk gulai.
  6. Sementara itu, panaskan sedikit minyak dalam kuali, goreng hirisan bawang merah, bawang putih.
  7. Bila wangi masukkan rempah campur dan daun kari.
  8. Setelah wangi, tutup api dan tuangkan dalam periuk gulai tadi.
  9. Kacau seketika, kemudian gulai sedia dihidangkan.

ASAM PEDAS BEREMPAH IKAN JENAHAK BERSAMA BENDI & TERUNG

BAHAN-BAHAN:

  • 500gm ikan jenahak  (lebih kurang 3 keping) | cuci bersih dan tos
  • 3-4  batang kacang bendi | buang pangkal dan hujung
  • 1 biji terung bulat | belah empat
  • 1 kuntum bunga kantan | belah dua atau empat
  • 1 sudu makan rempah campur
  • 1 sudu teh serbuk lada hitam
  • 4 sudu makan pes cili kering
  • 1/2 cawan air asam jawa
  • Garam dan gula secukup rasa
  • 5 sudu makan minyak masak | untuk menumis

BAHAN KISAR:

  • 1 biji bawang besar
  • 4 ulas bawang merah
  • 3 ulas bawang putih
  • 3cm halia
  • 2cm kunyit hidup

CARA MEMASAK:

  1. Panaskan minyak, tumis bahan kisar bersama rempah campur hingga wangi.
  2. Masukkan pes cili, kacau lagi hingga tumisan pecah minyak.
  3. Seterusnya masukkan air asam dan air secukupnya. Biarkan mereneh.
  4. Masukkan ikan dan terung, kacau sekali sekala.
  5. Setelah ikan masak dan terung empuk, masukkan kacang bendi, daun kesum dan bunga kantan.
  6. Perasakan dengan serbuk lada hitam, garam dan gula secukup rasa.
  7. Apabila kuah sudah pekat dan cukup rasa. Tutup api.
  8. Asam pedas sedia dihidangkan.

ASAM REBUS BATANG KELADI & UDANG

BAHAN-BAHAN:

  • 2 pokok batang keladi | buang kulit ari dan potong 3-4 cm
  • 4-5 ekor udang
  • 3-4 keping asam gelugor
  • 2 batang serai | titik
  • 3-4 pucuk daun kesum
  • Garam dan gula secukup rasa

BAHAN KISAR:

  • 10 biji cili padi
  • 2 biji cili merah
  • 4 ulas bawang merah
  • 1 ulas bawang putih
  • 1 hirisan halia
  • 3cm kunyit hidup

CARA MEMASAK:

  1. Panaskan air dalam periuk, setelah air mendidih masukkan batang keladi dan celur seketika.
  2. Selepas 2-3 minit angkat dan tos airnya.
  3. Dalam periuk lain, masukkan air lebih kurang dua cawan kemudian campurkan dengan bahan kisar.
  4. Kacau rata, renihkan di atas dapur. Setelah mendidih masukkan asam keping, sarai titik dan daun kesum.
  5. Seterusnya masukkan batang keladi yang telah dicelur tadi bersama udang.
  6. Setelah udang bertukar warna kemerahan, perasakan garam dan gula secukup rasa.
  7. Setelah cukup masak dan rasa. Tutup api.
  8. Asam rebus batang keladi sedia dihidangkan.

LOKAN MASAK LEMAK CILI PADI DAUN PEGAGA

IKLAN

BAHAN-BAHAN:

  • 1 kg lokan | cuci bersih dan toskan
  • Secekak daun pegaga | ambil daun sahaja
  • 1 batang serai | titik
  • 500 ml santan
  • 1 keping asam gelugor
  • Garam dan gula secukup rasa

BAHAN KISAR:

  • 15 biji cili padi
  • 3cm kunyit hidup
  • 3 ulas bawang merah
  • 1 hirisan halia

CARA MEMASAK:

  1. Masukkan santan dalam periuk bersama bahan kisar, asam gelugor dan serai titik.
  2. Renehkan di atas dapur menggunakan api sederhana.
  3. Setelah mendidih, masukkan lokan dan daun pegaga.
  4. Kacau rata, kemudian perasakan dengan garam dan gula secukup rasa.
  5. Setelah masak, tutup api dan hidangkan.

 GULAI MINANG NANGKA BERSAMA BABAT

BAHAN-BAHAN:

  • 500gm nangka muda | potong dadu dan rebus
  • 300gm babat | cuci bersih, rebus dan hiris kecil
  • 500 ml santan
  • 3-4 helai daun limau purut
  • 2 batang serai | titik
  • 2 keping asam gelugor
  • Garam dan gula secukup rasa
  • 3 sudu makan minyak masak

BAHAN KISAR:

  • 5 ulas bawang merah
  • 3 ulas bawang putih
  • 2cm halia
  • 2cm lengkuas
  • 3cm kunyit hidup
  • 6 biji cili padi
  • 2 biji cili merah
  • 4 biji buah keras

CARA MEMASAK:

  1. Panaskan minyak dalam periuk, tumiskan bahan kisar hingga wangi.
  2. Masukkan serai, daun limau purut dan kacau lagi.
  3. Seterusnya masukkan bahat, kacau seketika baru masukkan santan.
  4. Setelah mendidih masukkan nangka, asam gelugor.
  5. Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa.
  6. Setelah cukup rasa, tutup api.
  7. Gulai nangka, sedia dihidangkan.

IKAN PARI ASAM TUMIS BEREMPAH BERSAMA TERUNG

BAHAN-BAHAN:

  • 500gm ikan pari | cuci bersih dan tos
  • 5-6 biji terung siam (warna unggu kecil) | buang tangkai
  • 3 sudu makan  pes cili kering
  • 1/2 cawan air asam jawa
  • 4 helai daun limau purut
  • 1 sudu makan rempah biji
  • 1/2 sudu teh serbuk jintan manis
  • Garam dan gula secukup rasa
  • 3 sudu makan minyak masak | untuk menumis

BAHAN KISAR:

  • 5 ulas bawang merah
  • 3 ulas bawang putih
  • 2cm halia
  • 2cm lengkuas

CARA MEMASAK:

  1. Panaskan minyak dalam periuk, tumiskan rempah campur, daun limau purut bersama bahan kisar.
  2. Selepas naik bau, masukkan air asam jawa.
  3. Kacau rata hingga pecah minyak, baru masukkan ikan pari.
  4. Tambahkan sedikit air, setelah mendidh, masukkan terung.
  5. Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa.
  6. Kecilkan api, biarkan mereneh seketika baru tutup api.
  7. Asam Tumis Ikan Pari sedia dihidangkan.

KARI PISANG MUDA BERSAMA DAGING

BAHAN-BAHAN:

  • 500gm pisang berangan muda| buang kulit ari
  • 250gm daging | hiris nipis dan cuci bersih
  • 200ml santan pekat
  • 300 ml air
  • 2 keping asam gelugor
  • 3 sudu makan rempah kari daging
  • 2 sudu makan serbuk cili
  • Garam dan gula secukup rasa
  • 3 sudu makan minyak masak | untuk menumis

 CARA MEMASAK:

  1. Panaskan minyak dalam periuk, tumiskan bahan kisar hingga wangi.
  2. Masukkan rempah kari yang dibancuh bersama serbuk cili.
  3. Kacau rata hingga timbul minyak, baru masukkan daging.
  4. Setelah air daging kering, masukkan santan, jika agak pekat tambah sedikit air.
  5. Biarkan mereneh atas api sederhana, kemudian masukkan pisang dan asam gelugor.
  6. Setelah pisang empuk, perasakan dengan garam dan gula secukup rasa.
  7. Setelah cukup rasa. Tutup api.
  8. Kari pisang sedia dihidangkan.

 GULAI LEMAK CILI PADI UDANG & PERIA

BAHAN-BAHAN:

  • 500gm udang   | bersihkan dan tos
  • 500 ml santan
  • 1/2 biji peria gambas | buang biji , hiris serong
  • 1 keping asam gelugor
  • 2 batang serai titik
  • 1/2 helai daun kunyit | hiris
  • Garam dan gula secukup rasa

BAHAN KISAR:

  • 3cm kunyit hidup
  • 10 biji cili padi
  • 3 ulas bawang merah
  •  Hirisan halia

CARA  MEMASAK:

  1. Masukkan santan dalam periuk bersama bahan kisar. Kacau rata.
  2. Renehkan atas api sederhana.
  3. Apabila mendidih, masukkan peria, udang, serai dan asam gelugor.
  4. Biarkan mereneh lebih kurang lima minit atau hingga udang masak dan peria empuk.
  5. Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa.
  6. Akhir sekali sebelum tutup api masukkan hirisan daun kunyit.
  7. Gulai udang sedia dihidangkan.