Apa bezanya rempah ratus dan herba masakan? Bunyi macam sama, kadang-kadang kita guna kedua istilah ini untuk maksud yang sama, rempah ratus disebut bahan penumis dan begitu juga sebaliknya. Tapi bila diteliti semula baru sedar bahawa ia dua perkara yang berbeza kalau dilihat jenis dan fungsinya dalam masakan. Bagi mengetahui perbezaan ini dengan lebih jelas, anda perlu baca penjelasan di bawah ini.
Istilah
Bahan ramuan masakan atau disebut juga bumbu, adalah seperti bawang merah, bawang putih, halia, lengkuas, kunyit hidup, serai, cili daun kunyit, daun kari dan daun limau purut. Ia dikenali juga sebagai bahan asas dalam masakan dan diguna sebagai penyedap masakan. Sementara rempah ratus adalah bahan yang mempunyai aroma yang kuat, contohnya kulit kayu manis, cengkih, bunga lawang, ketumbar, jintan, lada hitam dan beberapa lagi. Ia tidak termasuk sebagai bahan asas dalam masakan kerana masakan tertentu sahaja ,menggunakan rempah ratus. Selain digunakan untuk tujuan masak, sebahagian rempah ratus juga boleh digunakan sebagai ubat untuk tujuan kesihatan.
Jenis:
Ramuan masakan ada dua jenis iaitu yang basah dan kering. Yang dikatakan bahan basah termasuklah bahan segar, sama ada yang dikisar atau dihiris halus dan sifatnya tidak tahan lama. Ia boleh tahan hingga seminggu jika disimpan dalam peti sejuk. Sementara jenis kering adalah segar yang telah dikeringkan dan dikisar halus seperti serbuk kunyit dan boleh disimpan lebih lama, daun kari atau salam yang dikeringkan. Berbeza dengan bahan penumis, rempah ratus dijual dalam bentuk kering dan juga telah dijadikan serbuk untuk memudahkan penggunaannya.
Penggunaan
Ramuan masakan sangat penting dalam masakan kerana ia adalah bahan asas yang memberikan rasa pada makanan dan wajib ada dalam masakan. Sementara rempah ratus dimasukkan dalam masakan tertentu seperti kari dan sebahagian masakan yang bertumis dan memerlukan rempah ratus untuk membangkitkan aroma. Ia juga boleh digabungkan dengan bahan ramuan masakan dalam mendapatkan rasa yang lebih sedap.