Sambal Garing Ikan Bilis Che’Nor seakan tidak perlu diperkenalkan lagi. Sesiapa saja pernah merasanya. Sambal garing ni ditabur atas nasi panas, memang laju menyuap. Sebelum produk ini dikomersilkan pemiliknya pernah berhadapan dengan situasi yang tidak menguntungkan. Namun berkat tekad dan usaha, dia bangkit semula dengan produk sambal yang menjadi kesukaan ramai.
Saya dah mula asah minat berniaga sejak kecil , kerana ibu bapa saya mula membesarkan kami dengan hasil perniagaan makanan sejak usia saya 12 tahun. Saya juga selalu berniaga makanan di sekolah dan akhirnya menuntut dalam bidang ekonomi di Universiti.
TONTON DAPUR RASA LIVE: Resipi Mangolian Beef
Idea bisnes sambal
Pengusaha Sambal Che’Nor, Noraida Aznita Azizan dari Jitra Kedah ini pernah bertugas sebagai pengurus sumber manusia di sebuah syarikat rangkaian Pizza dari Manila Filipina yang mempunyai empat cawangan di Malaysia.
Menurut Noraida, tercetusnya idea membuat sambal ini secara komersil semasa sedang mengusahakan perniagaan Restoran Che’Nor Cendol Madu.
Ketika itu saya berdepan dengan situasi hutang dengan supplier , akibat ada projek katering yang belum dibayar yang bernilai hampir RM100,000
Membuatkan saya memilih untuk memasarkan Sambal Garing Ikan Bilis Che’Nor untuk mendapatkan cash dengan cepat bagi selesaikan bayaran hutang sementara menunggu bayaran dari katering tersebut.
Modal permulaan hanya dengan bahan-bahan yang ada di dapur restoran , saya siapkan satu kuali lebih kurang 100 bekas. Keesokan harinya terus berganda dan dalam masa 1 minggu , kami terus melantik ejen jualan.
Tambah Noraida sejak kecil dia sering menjamah sambal garing ikan bilis. Ibu yang bekerja sebagai tukang jahit di kilang pakaian pada waktu itu sentiasa memasak sambal ini untuk bekalan kami makan selepas balik sekolah.
Disebabkan rasanya yang menyelerakan ,tahan lama tanpa perlu disimpan dalam peti ais membuatkan ibu hanya perlu memasak sambal sebulan atau dua bulan sekali.
Saya mula bawak ke asrama malah sampai ke univerisiti. Ternyata semua kawan-kawan pun sukakannya dan dari situ saya dah mula nampak potensi pasaran. Apabila saya ingin memulakan perniagaan pada tahun 2013 , saya tidak cukup keberanian untuk memulakan perniagaan kilang sambal kerana pada tahun 2013 tiada produk seperti ini yang dikomersialkan secara besar-besaran. Tiada role model yang boleh dijadikan penanda aras. membuatkan saya memilih untuk membuka restoran berbekalkan modal simpanan saya dan suami hasil bekerja selama empat tahun.
Pada tahun 2015, keinginan membuak-buak untuk komersialkan Sambal Garing Ikan Bilis Che’Nor ini dan pada waktu itu Noraida ada tempat untuk membuat validasi ( market validation ) untuk dapatkan maklum balas tentang kesedapannya dengan pelanggan-pelanggan restoran.
Ternyata hampir semua pelanggan suka dan membuatkannya semakin yakin untuk pasarkan lebih lagi apabila ada pelanggan yang berminat nak pasarkan untuk tambah pendapatan mereka.
Produk mendapat sambutan
Keistimewaan Sambal Garing Ikan Bilis Che’Nor ialah kerangupan ikan bilis nya yang luar biasa rangup dan kegaringan sambalnya yang dimasak lama tanpa meletakkan pengawet, mampu menaikkan selera makan dan sedap dimakan dengan apa-apa menu lebih-lebih lagi ketika tiada lauk.
Sangat disukai semua bangsa di Malaysia, seisi keluarga pelbagai lapisan umur lebih-lebih lagi kanak-kanak dan remaja.
Selama tiga tahun kami cuma keluarkan satu jenis sambal iaitu Sambal Garing Ikan Bilis , kemudian kami keluarkan pula Sambal Garing Udang , Sambal Garing Super Spicy dan Sambal Garing Tempe. Sekarang kami ada 20 jenis produk Sambal. Yang terbaru tahun ini kami lancarkan Sambal basah di pasaran di bawah Siri Garida untuk resipi sambal Indonesia dan Siri Malaya pula resipi sambal-sambal Malaysia. Kami juga mempunyai produk serbuk kopi yang kami import dari Acheh Indonesia.
Klien terdiri daripada usahawan kecil, stokis, ejen yang dipanggil Chenorpreneur, juga ada klien-klien pengedar yang membawa masuk sambal ke pasar raya dan pasaran luar negara.Penghantaran stok diuruskan secara percuma menggunakan logistik Noraida sendiri ke depan pintu dan gudang klien dan mereka yang bertanggungjawab untuk memasarkan terus ke tangan pelanggan setia mereka dan juga ke semua outlet-outlet di seluruh Malaysia.
Pada awalnya permintaan terlalu tinggi menjangkaui kuantiti yang mampu dihasilkan. Pembuatan Sambal Garing Ikan Bilis Che’Nor ini sangat susah dan lama. Pelanggan dan Chenorpreneur terpaksa menunggu lama dan menunggu giliran untuk dapatkan stok.
Namun kekuatannya adalah pada keinginan untuk sentiasa berkembang dan berusaha sebaik mungkin dengan pelbagai cara untuk memastikan kapasiti sentiasa dapat ditambah supaya kita dapat ikut perkembangan kenaikkan permintaan membuatkan selama enam tahun perniagaan, mereka telah pun berpindah ke lima unit kilang membuktikan Noraida sentiasa pastikan permintaan pasaran sentiasa dipenuhi.
Alhamdulillah sekarang kami berada di fasa penyediaan untuk mampu menghasilkan sehingga 30,000 bekas sehari. Dengan itu , usahawan kami tidak perlu lagi menunggu lama , kami sentiasa menyediakan readystock malah boleh memenuhi tempahan-tempahan baru oleh klien-klien baru.
Di Malaysia, kami ada 5000 outlet dan untuk pasaran luar negara kami dah eksport ke Singapura , Brunei , Laos , Myanmar , Thailand dan Arab Saudi.
Pesan Noraida terlalu banyak pilihan makanan dan pilihan bisnes yang ada sekarang membuatkan kita akan rasa keliru dan buntu untuk memilih , sebaiknya untuk mereka yang baru nak bermula , mulakan dengan menjadi ejen jualan atau stokis kepada bisnes lain.Anda timba ilmu dan pengalaman dulu untuk membuat jualan dan pemasaran , kenalpasti dulu target pasaran dan di mana anda nak berniaga.
Pilih bisnes yang anda akan perjuangkan dengan penuh semangat. Modal sebenar perniagaan bukan duit sebenarnya, tetapi adalah semangat dan perjuangan membantu orang lain dengan produk dan servis yang kita ada. Perniagaan tiru meniru biasanya tidak boleh bertahan lama kerana usahawan tersebut tiada originality dan tiada semangat juang yang sebenar, kebanyakan nya hanya mementingkan keuntungan. Apabila tak dapat untung seperti yang mereka mahu kan , mereka akan berhenti dan berpindah ke perniagaan lain yang lebih tinggi untung dan ini yang buat mereka sentiasa berubah-ubah perniagaan.