Uncategorized

Jenis-Jenis Makanan Yang Sedap Dibuat Jeruk & Cara Nak Buat Secara Homemade.

Share

Makanan jeruk adalah cara orang dahulu kala untuk menyimpan makanan agar tahan lama dan boleh disimpan berbulan-bulan. Ini kerana kemudahan peti sejuk memang tiada atau harganya mahal. Oleh itu kaedah penjerukan menerusi cara rendaman air bergaram dan rendaman berasid menggunakan cuka digunakan untuk mengawet makanan. Namun kini walaupun kemudahan dah ada, tapi makanan jeruk ni masih menjadi pilihan kerana rasanya membuka selera. Ada pelbagai jenis makanan yang boleh dijeruk antaranya daging, ikan, petai, sawi, cili dan banyak lagi. Nak cuba? Jom lihat resipi-resipinya.

 

 

1. DAGING JERUK 

BAHAN-BAHAN:

  • Daging batang pinang ( tenderloin)
  • Lemon/limau nipis atau limau Kasturi – mana-mana yang ada dan mudah diperolehi
  • Garam halus secukupnya

CARA MEMBUAT:

1. Bersihkan daging dan hiris nipis.

2. Ambil bekas berpenutup kemudian susun kepingan daging menajdi lapisan pertama.

3. Tabur garam halus secukupnya dan perah jus lemon/limau nipis atau limau kasturi secukupnya.

4. Kemudian susun daging untuk lapisan kedua. Tabur garam dan perah limau secukupnya. Ulang langkah sama hingga kepingan daging habis.

5. Tutup bekas dan simpan dalam peti sejuk di ruangan biasa selama 2-3 hari.

6. Bila daging bertukar warna pucat, dah boleh dimasak dan dinikmati.

7. Untuk menikmati daging jeruk, panaskan sedikit minyak dalm kuali dan masukkan daging jeruk. Daging tidak perlu dibasuh.

8. Bila daging hampir masak, masukkan hirisan bawang besar dan cili. Gaul rata dan masak hingga layu.

9. Angkat dan nikmati bersama nasi panas.

Kredit resipi & foto: Salimah Olie

 

 

2. IKAN TENGGIRI JERUK

BAHAN-BAHAN:

  • Ikan tenggiri – dibersihkan dan dipotong kecil
  • Cuka makan
  • Garam kasar
  • Asam keping
  • Minyak masak

CARA-CARA:

1. Bersihkan ikan tenggiri. Kemudian keringkan di bawah cahaya panas terik matahari selama 2 jam.

2. Ambil ikan, celupkan dalam bekas berisi cuka. Kemudian letak dalam bekas. Susun jadikan 1 lapisan.

3. Taburkan garam kasar diatas ikan hingga rata. Selitkan kepingan asam keping.

4. Kemudian celup lagi ikan dalam cuka dan susun menjadi lapisan kedua diikuti taburan garam dan asam keping. Ulang langkah hingga ikan habis.

5. Tutup penutup bekas berisi ikan dan balut dengan kain berwarna gelap. Simpan pada suhu bilik selama seminggu.

6. Setelah cukup 7 hari, keluarkan ikan dari bekas dan buang airnya.

7. Letak ikan dalam bekas bersih dan tuang minyak masak. Dah siap!

8. Sedia dinikmati mengikut citarasa masing-masing.

 

Kredit resipi & gambar: Suri Abdullah

 

3. JERUK KULIT CEMPEDAK @ MANDAI

BAHAN-BAHAN:

  • 1 biji cempedak bersaiz sederhana
  • Air masak suam secukupnya
  • 3 sudu makan (penuh) garam
  • Bekas atau botol bersih | untuk menjeruk mandai

CARA MENJERUK:

1. Belah buah cempedak dan keluarkan isinya.

2. Kemudian bersihkan kulit cempedak dengan membuang bahagian durinya dan hanya bahagian isi putih sahaja diambil.

3. Potong kulit cempedak berbentuk kiub dan cuci bersih. Toskan.

4. Gaul kulit cempedak dengan garam hingga rata. Kemudian masukkan ke dalam bekas atau botol bersih.

5. Tuang air masak suam hingga kulit cempedak tenggelam. Tutup botol dengan penutup.

6. Simpan jeruk mandai di tempat gelap dan terlindung dari matahari dan peram selama seminggu sebelum dinikmati.

 

CARA MEMASAK JERUK MANDAI

 

BAHAN-BAHAN:

  • 1 cawan mandai @ jeruk kulit cempedak yang dihiris nipis
  • 1 biji bawang besar | hiris
  • 2 ulas bawang putih | hiris
  • 1 biji cili hijau | hiris
  • 1 biji cilimerah | hiris
  • 10 biji cili padi hijau | hiris (boleh diabaikan)
  • 1 genggam ikan bilis | dibersihkan & rendam sekejap

CARA MEMASAK:

  1. Keluarkan secukupnya kulit cempedak @ mandai jeruk tadi, cuci bawah air paip dan perah airnya.
  2. Hiris nipis dan goreng hingga agak-agak garing. Ketepikan.
  3. Ikan bilis ditoskan dan goreng hingga garing. Ketepikan.
  4. Tinggalkan kurang lebih 4 sudu makan minyak dalam kuali. Tumis bawang besar dan bawang putih hingga layu.
  5. Masukkan hirisan cili merah, cili hijau dan cili padi. Kacau rata dan masak sekejap.
    Tambah mandai yang digoreng garing tadi, gaul rata dan masukkan ikan bilis goreng.
  6. Kacau dan masak sekejap hingga kering. Rasa dan jika perlu, baru tambah sedikit garam.
  7. Angkat dan boleh hidangkan dengan nasi panas.

Kredit resipi & foto: Mariana Zainal

 

4. JERUK BAWANG PUTIH

BAHAN-BAHAN:

  • 20 labu bawang putih | cuci bersih tapi jangan kopek kulitnya.Kukus hingga masak.
  • 1 cawan cuka
  • 2 cawan air
  • 1/2 cawan gula
  • 5 sudu makan garam(cm guna 4 sudu makan sahaja)

CARA MEMASAK:

1.  Satukan air,garam,gula dan garam ke dalam periuk.

2.  Masak hingga mendidih.

3.  Kemudian masukkan bawang putih dan biarkan mendidih sekejap.

4. Biarkan betul-betul sejuk baru masukkan jeruk ke dalam balang yang kedap udara.

5.  Jika simpan dalam peti sejuk, jeruk dapat bertahan selama 2 bulan tapi jika letak di luar ianya boleh disimpan selama 2 minggu.

Nota: Guna sudu yang bersih setiap kali mengambil jeruk dari balang agar jeruk bawang ini dapat bertahan lama. Selamat mencuba!

 

Kredit gambar & resipi sepenuhnya: blog cikmanggis ( http://mamakitchen-makcikmanggis.blogspot.my/2010/11/jeruk-bawang-putih.html )

 

5. CILI JERUK HOMEMADE

BAHAN-BAHAN:

  • Cili hijau segar – basuh dan lap kering-kering.
  • Balang kaca – basuh & lap kering-kering
  • Gula secukupnya
  • Garam secukupnya
  • Cuka makan

CARA MEMBUAT:

1. Pilih cili yang segar dan basuh bersih. Kemudian keringkan hingga tiada kesan air.

2. Untuk menyimpan cili jeruk, guna balang kaca. Pastikan balang juga dibasuh bersih dan di lap hingga kering.

3. Potong cili. Jangan potong terlalu tebal atau terlalu nipis. Sedang-sedang sahaja. Kemudian tampi sedikit bagi mengeluarkan bijinya.

4. Ambil cili dan masukkan separuh ke dalam balang.

5. Seterusnya masukkan 2 sudu makan gula. Kemudian masukkan lebihan cili potong tadi dan masukkan 2 sudu makan gula lagi.

6. Masukkan sedikit garam dan tuang cuka mengikut jumlah yang dikehendaki. ( empunya resipi letak cuka pada paras cili.)

7. Tutup penutup balang dan goncangkan. Ia bertujuan untuk melarutkan gula dan garam yang dimasukkan tadi.

8. Simpan semalaman dan cili jeruk ni boleh dinikmati pada keesokan harinya.

 

INFO RASA:

  1. Cili dan balang perlu kering dan tidak ada air supaya cili yang dijeruk tahan lama.
  2. Cili jeruk ini boleh tahan berbulan-bulan.
  3. Boleh disimpan dalam peti sejuk atau letak dekat meja dapur sahaja pun boleh.

Kredit resipi & foto: Noriffah Mohd Hassan

 

6. SAYUR JERUK

BAHAN-BAHAN:

  • 1 besen sayur Kai Choy
  • 2 sudu makan gula merah
  • 1 genggam nasi sejuk
  • 1 sudu teh garam

CARA PENYEDIAAN:

1. Buka daun sayur sehelai demi sehelai dan jemur di abwah matahari supaya layu. Jangan jemur hingga kering pula.

2. Angkat daun dan basuh bersih-bersih. Masukkan dalam bekas untuk merendam.

3. Kemudian masukkan air secukupnya, gula merah, nasi sejuk dan garam. Jika suka rasa sayur jeruk yang masin, boleh tambah jumlah garam.

4. Rendam selama 2-3 hari. Boleh tindih sayur guna lesung batu supaya sayur tenggelam dan betul-betul layu.

5. Untuk menyimpan sayur jeruk, ambil sayur dan masukkan dalam bekas bertutup. Kemudian simpan dalam peti sejuk. Nak masak, baru bilas dah masak ikut selera anda.

Kredit resipi & foto: Sharinaz Redwan

 

7. JERUK BELIMBING BULUH

BAHAN-BAHAN:

  • Buah belimbung buluh
  • Garam kasar secukupnya
  • Gula ikut jumlah air & buah
  • Air secukupnya

CARA MEMASAK:

1. Bersihkan buah belimbing dan potong hujung & pangkalnya.

2. Rendam buah dengan air garam selam 1-2 hari. Jumlah garam agak-agak sahaja. Tak nak masin sangat sebab tujuannya hanya nak kurangkan rasa masam belimbing.

3. Toskan air garam dan bilas sedikit buah belimbing dengan air bersih.

4. Masak air gula dan biarkan suam.

5. Susun buah dalam balang dan tuangkan air gula yang hampir sejuk.

6. Letak sedikit cuka dan garam. Nak abiakan pun boleh.

7. Biarkan belimbing mesra dengan air gula anggaran 1-2 hari. Kemudian bolehlah dinikmati. ( empunya resipi peram 1 jam dah boleh makan.)

Kredit resipi & foto: Iti Hassan

 

8. PETAI JERUK

BAHAN-BAHAN
  • Petai
  • Garam
  • Asam gelugor
  • Cili padi (pilihan)
CARA MENYEDIAKANNYA:
1. Kopek petai dan untuk mengelakkan petai kecut rendamkan dalam air panas dalam 5-10 minit.
2. Toskan petai dan masukkan dalam botol atau bekas kosong.
3. Masakkan air kosong bersama garam dan tambahkan asam gelugor sekeping. Biarkan air garam sehingga mendidih dan tutupkan api.
4. Biarkan air garam sejuk. Bila sudah sejuk masukkan ke dalam botol berisi petai tadi.
5. Jika suka boleh masukkan cili padi. Tutup rapat bekas dan letakkan dalam peti sejuk.
Kredit resipi & foto: Zaidah Zainal

9. JERUK MAMAN

BAHAN-BAHAN:

  • Daun maman
  • 1 cawan nasi | dikisar kasar
  • 1 sudu makan garam kasar
  • Air bertapis | jumlahnya sama paras dengan daun maman
  • Cili padi | ikut citarasa

CARA MEMBUAT:

1. Daun maman dicuci bersih bagi membuang pasir. Kemudian potong kecil dan dijemur seketika supa sedikit layu.

2. Ambil botol bersih. Masukkan daun maman dan juga air. Jumlah air perlulah sama paras dengan daun maman tadi.

  

3. Seterusnya masukkan nasi, garam kasar dan cili. Gaul rata dan tutup botol.

4. Tunggu selama 2 @3 hari sebelum jeruk maman ini boleh dimakan. Setelah cukup masa peraman, simpan jeruk di dalam peti sejuk supaya tahan lebih lama.

 

Kredit resipi & gambar: Chikta Karim

 

10. JERUK MANGGA EPAL

BAHAN-BAHAN:

  • 1 plastik buah mangga epal ( RASA: Anggaran dalam 15-20 biji)
  • 2 genggam garam kasar
  • 1 sudu makan kapur makan – dibancuh dengan air
  • 1 kg gula
  • 3 cawan air
  • 2 balang plastik besar

CARA PENYEDIAAN:

1. Basuh buah mempelam dan potong ikut kreativiti. Lebih sedap jika dikupas kulit. Basuh sekali lagi dan toskan airnya.

2. Isi hirisan mempelam dalam balang dan masukkan garam kasar anggaran 1 genggam untuk satu balang besar seperti dalam gambar. Peram semalaman dalam peti sejuk. Esoknya, sejatkan air.

3. Isikan kembali mempelam dalam balang. Buat air kapur. Ambil 1 sudu makan kapur dan bancuh dengan air. Jumlah air anggaran tenggelam buah. Tuang dalam balang. Peram selama 6- 12 jam.

4. Untuk kuantiti mempelam sebanyak 1 plastik tadi, guna 1 kg gula dan masak dengan 3 cawan air. Jika nak lebih air pun boleh. Setelah gula larut, sejukkan.

5. Ambil mempelam yang direndam air kapur, basuh bersih dan toskan airnya. Isikan ke dalam balang dan masukkan air gula. Tidak mengapa jika mempelam tidak tenggelam kerana nanti buah tadi akan berair sendiri.

6. Hasil mempelam yang direndam dengan air gula. Simpan dalam peti sejuk semalaman sebelum boleh dinikmati pada keesokan harinya.

7. Jeruk mangga yang telah sedia untuk dinikmati.

Kredit resipi & foto: Nor Shakinah Md Zainal

 

11. JERUK LIMAU KASTURI ASAM BOI

BAHAN-BAHAN:

  • Limau Kasturi
  • Asam boi putih
  • Candy brown sugar- boleh beli di pasaraya

CARA MEMASAK:

1. Cuci bersih limau kasturi.

2. Rebus air hingga mendidih. Pastikan kuantiti air dapat menenggelamkan Masukkan limau ke dalam periuk dan biar mendidih 8-9 minit. Kacau sekali sekala supaya masak sekata. Kemudian toskan. Biar kering, tiada air di kulit luar limau. Nak lagi mudah, ambil tisu dan golek limau sambil keringkan dengan kipas.

3. Bila kulit limau sudah kering,ambil pisau tajam dan potong limau seperti dalam gambar. Jangan sampai putus.

4. Ambil penapis dan mangkuk kemudian picitl limau sampai habis jus. Buang semua biji yang ada. 


5. Hasil jus limau yang diperah tadi.

6. Kemudian, ambil asamboi dan sumbat masuk dalam limau. Lebih mudah jika beli limau kasturi bersaiz besar.


7. Hasil limau kasturi yang telah disumbat dengan asam boi.

8. Seterusnya, tumbuk Candy Brown Sugar sampai hancur.

9. Ambil balang kaca dan letak limau asam boi di bahagian dasarnya. Kemudian masukkan candy brown sugar yang sudah ditumbuk tadi. Lakukan secara berselang seli.

10. Setelah siap dilapis, beginilah rupanya nanti. Lapisan paling atas tu haruslah gula.

11. Akhir sekali, tuang jus limau kasturi yang telah diperah tadi.

12. Tutup balang kaca tdan simpan di tempat redup dan kering. Perap selama 3 bulan supaya limau dan asam boi menjadi lembut dan manis. Dalam 2-3 hari sekali, goncangkan balang agar jus terkena pada limau yang dibahagian atas.

13. Setelah cukup tempoh pemeraman, limau dan asam boi akan menjadi lembut macam ni. Untuk menikmatinya, ambil limau dan tambahkan air sejuk. Ubah suai rasa ikut selera.

Kredit resipi & foto: Sue Bertley

 

Published by
Nur