Jenis-Jenis Makanan Yang Tidak Patut Masak Guna Slow Cooker.

Share

Memang benar Slow Cooker ni kita boleh masak macam-macam hidangan seperti stew, sup, bubur nasi dan sebagainya. Memang memudahkan kerana anda perlu masukkan segala bahan ke dalam periuk, set masa dan biarkan sahaja masak. Jika anda seorang yang gemar bawa bekal ke pejabat, masak lauk guna periuk ni memang bagus. Esok pagi, bila bangun, lauk anda dah tersedia. Namun kena ingat, tidak semua makanan sesuai dimasak menggunakan periuk ni. Antara yang TAK SESUAI ialah:

 

1. Santan & Tenusu

foto: beyonddiet.com

Jika lauk anda mengandungi bahan seperti santan atau bahan tenusu seperti susu, krim, keju, yogurt dan sebagainya, agak tidak sesuai masak menggunakan periuk ini kerana ia hanya akan membuatkan masakan anda pecah minyak serta bahan-bahan tenusu tu berketul. Tak sedap la nanti. Hmm…

2. Kuskus

foto: americastestkitchen.com

Kuskus ni masak guna periuk biasa pun mudah masak. Tak perlu guna slow cooker. Jika anda masak juga, hasilkan nanti hidangan kuskus anda akan menjadi lembik dan tidak menyelerakan. Membazir tau.

3. Nasi

Kalau periuk nasi anda rosak, adalah lebih baik masak nasi dengan menggunakan dapur gas atau microwave sahaja. Masak nasi dengan slow cooker memang tak menjadilah melainkan anda nak masak bubur. Jangan cuba-cuba. Menyesal nanti tau.

4. Pasta

foto: 12tomatoes.com

Jika anda suka layan resipi mat salleh, pasti pernah jumpa resipi Lasagna yang dimasak menggunakan slow cooker. Memang menjadi namun teksturnya tidak seindah dan secantik lasagna yang dimasak menggunakan ketuhar. Lasagna slow cooker

kelihatan lebih lembap dan berkuah. Nampak macam kurang sedap je.

5. Isi Dada Ayam

Periuk jenis ini juga tidak sesuai untuk memasak isi dada ayam kerana proses memasak yang lama hanya akan menjadikan isi ayam keras, kering dan pejal. Jika ingin memasak hidangan isi ayam jenis ini adalah lebih baik menggunakan teknik goreng, panggang atau rebus. Pilihan terbaik adalah menggunakan bahagian ayam bertulang yang telah dibuang kulitnya. 

6. Daging Mentah

Sebaiknya, panggang atau rebus seketika kepingan daging mentah sebelum dimasukkan ke dalam periuk slow cooker bagi mendapatkan hidangan yang enak, berperisa dan tidak hamis. Ia berbeza dengan isi ayam yang anda boleh masukkan terus sahaja ke dalam periuk ini.

7. Sayuran Lembut

Jangan sesekali memasukkan sayur-sayuran lembut seperti sayuran berdaun, tomato, kacang, asparagus dan sebagainya diawal masakan. Ini kerana proses memasak menggunakan periuk ini adalah lama. Haba yang terhasil pastinya akan menjadikan sayuran anda lembik dan hancur. Jika perlu menambahkannya,masukkan sayur-sayuran disaat-saat akhir proses memasak supaya khasiat serta bentuk sayuran boleh dikekalkan. Hanya sayur-sayuran yang keras seperti ubi kentang, lobak merah dan kubis adalah antara yang sesuai jika dimasukkan awal.

8. Makanan Laut

Makanan laut ni tak lama pun masa penyediaannya. Jika anda ingin menyediakan Sup Udang, Asam Rebus Sotong atau Asam Pedas Salmon, sebaiknya guna sahaja periuk dan dapur gas biasa. Kerana jika dimasak lama, dikhuatiri udang, sotong dan salmon akan menjadi keras, liat dan kurang enak.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Published by
Nur