Juruterbang Hilang Pekerjaan, Mula Jual Biskut Dari Rumah, Kini Masuk 13 Cawangan Jaya Grocer

Share

Jika tiada wabak COVID-19, pasti tidak wujud jenama biskut Bread & Butter. Manakan tidak, jenama ini wujud selepas insan bernama Muhammad Hakim bin Azimi hilang pekerjaan sebagai juruterbang.

“Suami saya ialah juruterbang Saudi Airlines. Kebanyakan masa saya berada di Riyadh sebagai suri rumah. Saya banyak belajar memasak dan juga baking selama menjadi seorang suri rumah. Saya sangat suka buat biskut dan pastikan stok biskut sentiasa ada di rumah sebab ini kegemaran suami dan anak-anak. Boleh katakan kehidupan sewaktu ini agak senang. Kami dapat melancong apabila ada peluang dan tunaikan umrah serta haji sepanjang berada di Riyadh,” cerita Ummi Shairah bt Suhaimi, isteri kepada Muhammad Hakim.

IDEA BERNIAGA BISKUT

Kesenangan itu mulai berubah apabila kontrak suami ditamatkan pada Julai 2020. Industri penerbangan adalah antara sektor yang terawal terkesan akibat wabak menakutkan ini.

“Kami mula mencari cara untuk menambah pendapatan dengan buat pelbagai busines sampingan. Masa ni, kami tahu tak boleh berharap pada wang simpanan yang ada semata-mata disebabkan bidang aviation tidak stabil. Tak tahu bila suami boleh mula bekerja semula. Saya juga mula mendaftar untuk sambung pengajian Sarjana Undang-undang di UiTM Shah Alam,” tambah Ummi Shairah.

Packaging biskut yang menarik.

Akhirnya timbul idea untuk menjalankan bisnes biskut. Idea ini disokong oleh suami lantas menambah keyakinan Ummi Shairah untuk menjual biskut dengan serius.

“Bermula November 2020, saya buat biskut dari rumah dan alhamdulillah dapat sambutan daripada kenalan dan keluarga. Lama-kelamaan, makin banyak permintaan biskut dan saya perlu ambil pekerja untuk bantu buat biskut di rumah. Saya gunakan ruang yang ada untuk simpan bahan-bahan dan peralatan elektrik,” ceritanya lagi.

Kualiti cita rasa biskut yang tidak diambil mudah.

DARI 9 BALANG SEMINGGU, KEPADA 500 BALANG SEMINGGU

Pada April 2021, Bread & Butter berpindah dari rumah kediaman ke rumah kedai di Setia Alam. Lokasi ini dijadikan sebagai pusat produksi membuat biskut. Ternyata, rumah kediaman tidak lagi mampu menampung saiz produksi yang semakin besar kerana tempahan telah menjadi 500 balang biskut seminggu.

“Ujian datang lagi apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) muncul kembali selepas raya dan produksi biskut terpaksa ditutup pada waktu itu. Masa yang ada kami gunakan dengan melancarkan Bantuan Bendera Putih dan kami edarkan bantuan bahan makanan asas kepada yang memerlukan di sekitar Shah Alam,” tambahnya.

PELUANG MASUK JAYA GROCER

Bagi orang bisnes, peluang yang diperoleh walau sekecil manapun tetap dihargai. Apatah lagi apabila menerima peluang besar misalnya dapat memasarkan produk ke tempat yang berprestij. Kejayaan Bread & Butter dipasarkan di 13 cawangan Jaya Grocer disambut dengan lafaz syukur oleh suami isteri ini.

Seronok berniaga, berjumpa sendiri dengan pelanggan.

“Ramai percaya pada biskut kami. Sehingga ada potential buyer dan investor dari Brunei serta Singapura ingin bekerjasama pasarkan biskut di sana. Peluang pasarkan biskut di Jaya Grocer juga satu kejayaan yang besar. Ramai bangga dan suka apabila tahu Bread & Butter dipasarkan di Jaya Grocer sebab mereka ikut perjalanan bisnes kami dari mula,” kata Ummi Shairah.

Pelanggan sentiasa menyokong produk yang sedap dan berkualiti tinggi.

COVID-19 SATU UJIAN

Melalui pahit getir selepas suami hilang pekerjaan, Ummi Shairah akui bahawa kehadiran wabak ini adalah satu ujian. Kita tidak boleh duduk meratap dan menyalahkan keadaan apabila ada dugaan. Kita perlu berusaha sungguh-sungguh untuk perbaiki kehidupan.

“Saya belajar bahawa tak semestinya kita akan sentiasa ada di atas atau selamanya senang. Kehadiran covid ibarat peringatan daripada Allah yang apa yang kita ada dahulu, tak akan kekal selamanya. Semua dalam genggaman Allah jua. Bergantung kepada cara kita untuk menghadapi dugaan yang datang. Kami bersyukur atas dugaan yang datang kerana banyak mengajar dan membentuk kami dalam menghadapi cabaran,” katanya lagi.

Selain itu, Ummi Shairah turut akui bahawa dia dan suami belajar untuk mempelbagaikan sumber pendapatan berbanding sebelum ini yang hanya mengharapkan pada pendapatan suami semata-mata

“Namun suami masih menanti peluang untuk bekerja semula kerana memang minat suami dari remaja lagi untuk bergelar juruterbang,” katanya menutup bicara.

KREDIT: facebook Bread & Butter HQ

Published by
Maryam Elyas