Menyediakan hidangan enak dan berkhasiat di ruang dapur anda tentu sahaja tidak lengkap tanpa adanya menu sayuran. Hidangan sayur menjadi menu wajib yang perlu diambil untuk melengkapkan keperluan pemakanan yang seimbang. Sebagai mana semua sedia maklum, sayur-sayuran mengandungi banyak zat makanan dan khasiatnya amat diperlukan oleh tubuh. Untuk itu, anda perlu bijak menguasai kaedah penyediaan hidangan agar makanan yang disajikan bukan sahaja enak malah berkhasiat. Memasak dengan menggunakan teknik yang salah akan merugikan diri anda sendiri kerana gagal mengekalkan khasiat yang terkandung di dalam sajian tersebut.
Kukus
Kaedah ini paling mudah dan pantas untuk memasak sayur. Ia mampu mengekalkan zat semula jadi sayuran pada tahap yang maksimum. Memasak dengan kaedah ini dapat memastikan kesegaran rasa sayur dapat dinikmati sepenuhnya.
Rebus
Kaedah merebus sering dipraktikkan untuk menyediakan hidangan sayur. Memasak dengan kaedah ini banyak menggunakan air. Oleh itu kebanyakan vitamin dan zat makanan akan larut di dalam air tersebut semasa proses merebus dilakukan.
Namun jika masih ingin menikmati hidangan sayur yang dimasak rebus sebaiknya celur sahaja untuk beberapa ketika. Pastikan juga sayur tersebut tidak dipotong kecil untuk membantu mengurangkan kadar kehilangan zat makanan semasa memasaknya.
Bakar
Sayur turut boleh dimasak dengan menggunakan teknik bakar atau panggang. Kaedah ini cukup mudah, ringkas dan cepat. Bagi menambah keenakan rasa sajian, gaulkan sayur tersebut dengan minyak zaitun, kisaran bawang putih, garam dan sedikit lada sulah.
Pun begitu, sayur seperti brokoli tidak sesuai untuk dibakar di dalam ketuhar gelombang mikro. Menurut kajian yang diterbitkan di dalam Jurnal Sains Pemakanan dan Agrikultur 2003, brokoli yang dibakar akan kehilangan peratusan flavanoid dan antioksidan paling tinggi iaitu sebanyak 97% berbanding 66% jika direbus. Namun, kaedah bakar ini sesuai diaplikasikan untuk sayuran lain terutamanya ubi kentang. Menerusi teknik masakan ini, ubi kentang hanya akan kehilangan 45% kandungan flavanoid berbanding 60% jika direbus.
5 tip pelihara kandungan zat sayuran
1. Jika sayur tersebut perlu dibuang kulit, pastikan anda membuang kulitnya dengan potongan paling nipis. Ini bagi mengelakkan zat makanan yang terkandung di bahagian bawah kulit turut tersingkir. Ubi kentang, lobak merah kecil (baby carrot) dan tomato adalah lebih baik dimasak bersama kulitnya setelah dicuci bersih.
2. Gunakan api yang kecil ketika memasak sayur. Ini kerana vitamin C yang ada di dalam sayur-sayuran akan mudah hilang apabila dimasak dengan haba yang tinggi.
3. Sayuran hijau mudah kehilangan vitamin C dan kandungan air di dalamnya semasa penyimpanan. Oleh itu elakkan menyimpan terlalu lama dan sekurang-kurangnya tiga hari sahaja.
4. Elakkan membeli sayuran yang telah kekuningan, lebam atau layu kerana sayuran sebegini telah kehilangan zatnya.
5. Jika anda ingin menyediakan hidangan sayur berkuah, pastikan menggunakan air yang minimum dan masukkan sayur di peringkat akhir. Masak jangan terlalu lama.
Sumber gambar: 123 royalty free
Jika anda sedang mencari FOOD STEAMER, boleh klik DISINI.