Makan

Kalau Masak Lauk Kari, Buat Sekali Cucur Bantal. Memang Sedap Menyicah

Share

Kalau masak kari atau gulai ayam waktu tengah hari, elok sangat buat cucur bantal ini untuk makan petang.

Cucur bantal memang sedap kalau dicicah dengan kari ayam atau pun sambal sardin. Teksturnya yang berongga di dalam dan rangup memang kena sangat untuk menyicah. Nak buat untuk sarapan pun boleh.  Cara membuatnya dikongsi oleh Mariana Zainal.

Buat cucur bantal untuk menyicah petang-petang

Bahan-bahan
2 1/2 cawan tepung gandum
2 sudu besar Planta/ mentega
2 sudu besar gula pasir
1 sudu besar yis kering mauripan
1 sudu kecil baking soda
2 cubit garam
1 cawan air suam

 

Cara membuat

1. Dalam satu besen, satukan mauripan, gula, air suam. Kacau hingga larut. Masukkan tepung, baking soda, Planta dan garam. Uli sebati selama 8-10 minit.

2. Peram adunan selama 1 1/2 jam dalam bekas yang bertutup.

3. Selepas itu tumbuk tumbuk adunan untuk membuang angin dalam doh dan uli.

4. Tabur tepung dan letakkan doh. Gelek leper tapi jangan terlalu nipis. Tabur tepung lagi. Potong adunan menjadi segi empat tepat tidak terlalu besar dan tidak terlalu kecil.

 

5. Biarkan 10 minit dan bolehlah digoreng dalam minyak yang panas guna api sederhana. Bila warna sudah perang dan garing bolehlah angkat dan toskan. Sedia untuk dimakan bersama kari ayam, sambal bilis, sambal sardin dan kuah kacang.

Selamat mencuba.

Sumber:Mariana Zainal

 

Published by
Rose