Melihat seleksi makanan yang dimuatnaik dalam instagram edafata ralit dibuatnya. Nampak sungguh menyelerakan dan nyata sekali pemiliknya Noor Sa’idah Dato Hj Abdul Fatah punyai kreativiti dan minat yang mendalam dalam hal masakan.
Buat ibu kepada tiga orang cahaya mata ini, peluang menjadi suri rumah (pernah bekerja di sebuah bank tempatan di Kuala Lumpur) sepenuh masa memberi ruang kepadanya untuk mengilhamkan resipi istimewa untuk keluarga tercinta.
Menurutnya akaun instagram dibuka dan dinamakan oleh suami pada hujung tahun 2015. “ Tak berniat untuk share apa-apa sebenarnya. Malah tak pandai gunakan ig pada mulanya cuma guna untuk pos gambar-gambar bento anak-anak sahaja. Keluarga dan kawan-kawan sering memberi galakan dan pandangan serta pendapat mengenai gambar dan resipi yang dicuba. Saya suka berkongsi apa yang saya baking dengan kawan-kawan dan jiran-jiran. Mereka sering memberi sokongan dan pendapat mengenai resipi yang dicuba. Gajet iphone xs max dan props yang sesuai banyak membantu dalam menghasilkan gambar yang cantik untuk dimuatnaik ke dalam instagram. Minat utama kini mengambil gambar-gambar masakan,”akuinya.
MINAT MEMASAK
Akui Sa’idah kecenderungan dalam hal masakan lahir sejak di usia belasan tahun dan ibu adalah orang pertama yang mengajarnya memasak dan baking. “ Ibu amat menggalakkan saya belajar baking. Menu pertama yang diajar oleh ibu ialah asam pedas utara dan kek pertama yang saya buat ialah kek coklat,” ceritanya.
Bagi memahirkan diri dalam masakan, Sa’idah banyak belajar memasak dan mencuba resipi-resipi baharu sewaktu mula berkahwin dan mengikut suami bekerja di Hong Kong. Ahli keluarganya juga ramai yang pandai memasak dan terlibat dalam bidang masakan seperti ibu-ibu saudara dan sepupu. Malah ibu mertua juga seorang yang cekap memasak.
Dalam mencetus idea untuk memasak, Sa’idah akui banyak idea didapati dari kawan-kawan di instagram juga di Pinterest, Google dan buku masakan. Malah dia juga mempunyai banyak buku memasak sebagai rujukan.
Akui Sa’idah kekuatan masakannya cenderung dalam menyediakan lauk kampung dan barat. Masakan barat lebih digemari oleh anak-anak. “Saya memasak hampir setiap hari dan menu mengikut kegemaran anak-anak dan suami. Masakan yang menjadi kegemaran keluarga dan sering diminta mereka ialah nasi ayam,udang masak kicap cabai dan tiramisu,” jelasnya.
Air tangan sememangnya dapat mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan dan melalui masakan kita juga dapat berinteraksi dengan ahli keluarga.
Tambah Sa’idah, anak-anak dan suami amat menghargai masakannya malah sering memberi pandangan masing-masing tentang menu atau resipi baru yang dicuba. Secara tidak langsung kita dapat memperbaiki lagi masakan yang bakal dihidangkan. Anak-anak juga turut belajar dan membantu memasak. Maka hubungan kekeluargaan akan menjadi lebih erat lagi. “Anak lelaki saya juga gemar mencuba resipi-resipi baru dan resipi yang dicubanya selalu menjadi seperti bread & butter pudding, cream caramel dan beberapa masakan barat.
Puyuh Goreng Berempah
Bahan-bahan:
Bahan A:
10 ekor burung puyuh dibelah dua dan dibersihkan.
Bahan B :
4 biji bawang besar
5 ulas bawang putih
1 inci halia
1/2 inci kunyit hidup
5 batang serai
Kisar kasar kesemua bahan-bahan
Bahan C:
2 sudu makan rempah kari
1 sudu teh serbuk jintan manis
1 sudu teh serbuk jintan putih
1 sudu teh serbuk ketumbar
1 sudu teh serbuk lada hitam
garam secukupnya
1 sudu teh gula (jika suka)
Cara memasak:
1. Masukkan bahan C ke dalam bahan B dan curahkan ke dalam mangkuk berisi puyuh. Gaul rata dan perap dalam sejam atau sekurangnya 1/2 jam.
2. Panaskan minyak dan goreng hingga masak, angkat dan ketepikan.
3. Kemudian goreng pula bahan perapan hingga kecoklatan dan angkat, taburkan ke atas puyuh.
Kari Udang Ala Mamak
Bahan-bahan:
20 ekor udang – saiz sederhana
2 biji bawang besar – bersaiz sederhana dicincang
5 ulas bawang putih – dicincang
3 biji cili padi-dicincang (ikut kesesuaian)
1 inci halia
2 pelepah daun kari
3 sudu makan rempah kari
1 sudu makan serbuk cili
1 sudu makan gula
1 sudu makan kicap manis
1 sudu makan sos tiram
Serbuk lada putih
Perahan jus lemon
Cara memasak:
1. Tumis bawang besar, bawang putih, halia, cili padi dan daun kari.
2. Apabila sudah layu, masukkan serbuk kari dan serbuk cili. Kacau sebentar.
3. Masukkan udang yang telah dibersihkan
4. Masukkan kicap manis, sos tiram, garam, gula dan serbuk lada putih.
5. Masukkan sedikit perahan jus lemon
6. Masak sehingga kuah agak pekat dan kering sedikit. Tabur sedikit daun kari dan hidangkan.
Bread and Butter Pudding
Bahan-bahan:
80gm butter yang telah dicairkan
250gm kismis (boleh dikurangkan)
75gm gula kastor
Kulit lemon yang diparut dari sebiji lemon
1/2 sudu kecil serbuk “mixed spice”
16 keping atau lebih roti sandwic putih (dibuang kulit)
3 biji telur bersaiz besar
600 ml susu segar
2-3 sudu besar gula perang (untuk ditabur)
Cara memasak :
1. Gris loyang bersaiz 7 x 9 inci dengan sedikit butter.
2. Timbang kismis, gula kastor, parutan kulit lemon dan “mixed spice” atau serbuk rempah campuran ke dalam mangkuk dan asingkan.
3. Potong setiap keping roti kepada tiga keratan memanjang.
4. Celupkan setiap kepingan roti ke dalam butter yang telah dicairkan tadi (pada sebelah bahagian sahaja). Susun bermula dengan bahagian dasar loyang dan susun dengan bahagian yang dicelup butter menghadap bahagian bawah loyang.
5. Tabur dengan campuran kismis tadi ke atas roti . Ulang proses ini semula dengan menyusun lagi roti yang telah dicelup butter,bahagian yang dicelup butter ke arah atas dan tabur dengan lebihan campuran kismis .Susun sekali lagi lebihan roti tadi dengan bahagian yang dicelup butter menghadap ke arah atas hingga menutup semua bahagian loyang.
6. Pukul telur dan susu dan tuang ke atas puding.
7. Tabur dengan gula perang dan biarkan adunan selama 1/2 jam hingga 1 jam.
8. Bakar di dalam oven yang telah dipanaskan pada suhu 180 darjah selsius selama lebih kurang 40 minit atau sehingga bahagian atas puding keperangan dan nampak rangup.Puding pada mulanya akan mengembang dan kemudian mengecut semula apabila dikeluarkan dari oven.
Double Chocolate Banana Muffins
Bahan-bahan:
6 sudu makan butter dicairkan
3/4 cawan gula perang
1 biji telur bersaiz besar
1 sudu teh esen vanilla
1 cawan pisang yang telah dilenyekkan (gunakan pisang yang ranum untuk rasa yang lebih sedap)
1 cawan tepung serba guna (diayak)
1/2 cawan serbuk koko
1 sudu teh baking soda
1 sudu teh baking powder
1 sudu teh serbuk kayu manis (boleh ditiadakan jika tidak suka)
1/2 sudu teh garam
3/4 – 1 cawan dark chocolate chunks atau dark chocolate chips (*atau lebih sedikit untuk ditabur di atas muffin nanti)
Cara memasak :
1. Panaskan oven pada suhu 220°d selsius dan masukkan paper cups ke dalam loyang muffin atau boleh gunakan muffin cuos.
2. Dalam mangkuk besar dengan menggunakan whisk, adukkan gula, butter, telur dan esen vanilla.
3. Masukkan pisang yang telah dilenyekkan tadi
4. Tambahkan tepung, serbuk koko, baking powder, baking soda, serbuk kayu manis dan garam. Gunakan spatula atau senduk untuk mengaduk dan jangan terlebih aduk
5. Masukkan dark chocolate chunks atau dark chocolate chips
6. Sendukkan ke dalam paper cups 3/4 penuh dan tabur dengan lebihan chocolate chips tadi.
7. Bakar pada suhu 220°c selama 5 minit dan kemudian turunkan suhu kepada 180°c dan bakar lagi selama 12 – 14 minit mengikut kesesuaian oven masing-masing.
Sup Cendawan Berkrim
Bahan -bahan untuk stok ayam :
5 ketul ayam dan bahagian tulang ayam secukupnya.
2 biji kentang | didadu
1 biji bawang Holland | dibelah 4
Daun thyme
Air secukupnya
Garam
Serbuk lada hitam kasar
Serbuk lada putih
Cara memasak:
1. Rebus kesemua bahan -bahan hingga mendidih dan hanya asingkan ayam dari sup apabila sudah masak.
2. Simpan sup berserta kentang dan bawang yang telah direbus untuk dibuat sup cendawan nanti.
Bahan -bahan untuk sup cendawan :
Extra virgin olive oil atau minyak zaitun
2 sudu makan butter
2 biji bawang Hollang | dipotong dadu
5 ulas bawang putih | dicincang halus
2 sudu makan tepung gandum
200gm cendawan Shitake | dihiris
200gm buttton mushroom berwarna coklat-dipotong nipis
200gm button mushroom berwarna putih | dipotong nipis
200ml whipping cream atau cooking cream (sesuaikan mengikut kepekatan yang disukai, boleh ditambah atau dikurangkan mengikut selera masing -masing)
Daun thyme
Garam
Serbuk lada hitam kasar
Serbuk lada putih
Stok ayam yang telah disediakan awal tadi.
Cara memasak :
1. Panaskan minyak zaitun dan butter, kacau sebentar dan masukkan bawang besar dan bawang putih.
2. Masukkan cendawan yang telah dihiris tadi dan kacau hingga layu (boleh simpan sedikit cendawan yang digoreng untuk hiasan di atas sup nanti jika suka)
3. Masukkan daun thyme, lada hitam dan lada putih.
4.Masukkan tepung gandum dan kacau sebentar
5. Masukkan stok ayam beserta kentang dan bawang yang diasingkan tadi.
6. Masukkan krim secukupnya.
7. Masukkan garam.
8. Kisar menggunakan hand blender atau pengisar biasa dan kisar hingga halus atau agak kasar mengikut selera masing-masing
Roti Kerca Dan Kari Daging Cincang
Bahan – bahan untuk roti kerca :
3 cawan air
1 biji telur saiz besar
3 cawan tepung gandum
2 sudu besar minyak masak atau butter yang telah dicairkan
Garam
1 sudu makan gula (jika suka)
1 sudu makan susu tepung (jika suka)
2 sudu makan santan Kara (jika suka)
Sedikit serbuk kunyit untuk warna
Cara memasak:
1. Kisar kesemua bahan -bahan dan tapis . Biarkan sebentar sebelum digunakan.
2. Panaskan kuali yang kecil dan sapu dengan sedikit minyak.Tuangkan satu senduk campuran tepung tadi dan lenggangkan seperti membuat lempeng.
3. Setelah masak angkat dan gulungkan.
4. Gunting menyerong dan hidangkan bersama kuah kari daging tadi .
Bahan -bahan untuk kari daging cincang :
250gm daging cincang
2 biji kentang dipotong dadu
2 biji bawang besar -saiz sederhana
5 ulas bawang putih
Halia (Kisar halus kesemua bawang besar, bawang putih dan halia)
2 paket kecil rempah kari daging
1 sudu teh serbuk cili (jika suka pedas)
2 pelepah daun kari
Sedikit kulit kayu manis, bunga lawang, buah pelaga dan bunga cengkih
3 sudu besar tomato puri atau 1/2 tin sup tomato atau lebih (mengikut selera masing-masing.
Santan
Gula sedikit sahaja
Garam secukup rasa
Cara memasak:
1. Tumis bawang-bawang, daun kari, kayu manis, bunga lawang, buah pelaga dan bunga cengkih.
2. Masukkan serbuk kari dan serbuk cili, goreng sebentar dengan api perlahan dan masukkan daging cincang juga kentang yang dipotong dadu tadi.
3. Masukkan santan.
4. Masukkan tomato puri, gula, garam dan sesuaikan mengikut selera.
5. Masak perlahan -lahan hingga kuah agak pekat sedikit jika suka.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI