Mesin jahit lama, kipas angin zaman dulu, peti televisyen yang mempunyai penutup tolak dan tarik, malah pinggan mangkuk bercorak lama. Semuanya ada di Kayo Cafe. Menjengah ke dalam kafe ini, bagi mereka yang lahir tahun 1970-an hingga 1980-an memang pasti mengimbau memori suatu ketika dulu.
Menurut empunya kafe ini, Lizawati Chekman, Kayo Cafe berkonsep suasana tahun 70-an dan 80-an. Justeru dekorasinya nampak seperti kita berada dalam satu era yang pernah kita lalui satu ketika dahulu iaitu antara 30 hingga 50 tahun yang lalu.
“Saya dan suami, Zai-Azizul Zainol lahir pada era tersebut. Jadi kami ingin sentiasa mengimbau suasana sedemikian. Apabila nampak barang-barang lama tu, kami teringat zaman kecil-kecil dulu,” ujar Lizawati.
Jika anda masih ingat dengan kemeriahan kiosk jalanan menjual kopi dengan jenama Kupi Sojuk, kini pengasasnya telah membuka sebuah kafe pula. Menggunakan nama Kayo Cafe, anda pasti tertarik dengan konsepnya yang unik.
“Sebelum wabak ini melanda, kami menjual air balang yang kami beri nama KUPI SOJUK. Maksud kupi sojuk adalah kopi sejuk atau kopi ais yang gunakan dialek Negeri Sembilan.
Menurut Lizawati, dia dan team telah bersiap siaga dengan bazar Ramadan. Namun, perancangan Allah adalah yang terbaik.
“Kami memang target untuk jana pendapatan ketika bulan puasa. Wabak ni menyebabkan segalanya berubah. Kami ingat wabak ni cuma seminggu dua saja. Kami memang tak buat apa-apa, hanya menunggu arahan. Siapa sangka segalanya terus berlalu sampai bertahun-tahun,” ceritanya.
Lizawati mencuba nasib dengan menjual spageti secara delivery. Malah dia dan suami turut menjual buah untuk mencari pendapatan.
“Kami kumpul dahulu order spageti kemudian kami hantar ke rumah-rumah. Sambutan sangat baik waktu tu kerana semua orang duduk rumah. Kedai makan pun tak buka lagi. Seminggu lepas tu kami jual buah pula. Buah import seperti anggur, oren dan strawberi. Waktu ini permintaan buah sangat banyak sampai tak cukup stok. Buah pun kami ambil preorder dahulu ikut buah yang ada dalam stok pembekal. Waktu tu kami pickup buah dari pembekal di exit tol,” kata Lizawati yang turut pernah mengambil stok buah mangga dari Thailand sebanyak setengah lori.
Daripada modal perniagaan buah, Lizawati dan suami tekad membuka Kayo Cafe. Lokasi dipilih adalah Tampin.
“Sebenarnya ada dua kedai makan kami iaitu Warung Kupi dan Kayo Cafe. Kedua-duanya konsep kafe kopi. Dua-dua ada di Tampin Negeri Sembilan. Sekarang Warung Kupi kami sedang upgrade untuk besarkan sedikit ruangnya supaya pelanggan lebih selesa. Sebelum ini pelanggan datang hanya boleh beli air kopi sahaja. Kami akan buat penambahbaikan sedikit ruang untuk makanan. So, boleh lepak minum kopi sambil makan,” katanya menutup bicara.
Lokasi Kayo Cafe: Lorong Artistik, Tampin Negeri Sembilan
Waktu operasi: 12 tengah hari hingga 8 malam (Tutup setiap Isnin)
Kredit: