Kek Fruits Pastry Yang Dulu Viral Kini Kembali Trending, Sibuk Semua Nak Buat!

Share

Kek Fruits Pastry menjadi trending di media sosial sekarang. Pernah viral suatu masa dahulu ketika tahun 2010 kini resipi ini seperti membuat ‘comeback’ mengejutkan semua yang gemar mem’baking’. Rugi jika kamu tidak mencuba resipi ini memang mudah dibuat dan sedap! Selamat mencuba.

Resepi adalah dari gabungan dari Glazed, Kak Rima dan juga Kak Azlita Aziz. Sebenarnya bila tengok balik resepi ketiga tiga ni lebih kurang sama. Beza 10 – 20 gram saja.

 

RESIPI KEK FRUITS PASTRY

BAHAN-BAHAN:

  • Butter 100 gram. Boleh pakai apa saja brand butter / spread. Tolong jangan bergaduh isu Buttercup kat sini. Haha.
  • Gula Caster 160 gram. Guna gula pasir halus. Mur sikit.
  • 3 biji Telur Ayam saiz A atau B saja. Saiz Z kecil sangat.
  • Tepung Gandum 210 gram + baking powder 1tsp. Diayak bersama. Kalau rajin ayak 3 kali. Kalau malas tak payah ayak langsung.
  • Vanilla Flavor 1tsp. Tapi sebab saya guna Premium Silky Vanilla by Chef Amer, guna half saja. Sebab bau dia mengaum. Nak beli roger tepi. ( taktik iklan secara halus).
  • Lemon Zest / kulit orange 1tsp.
  • Sourcream / Greek Yogurt 100 gram
  • Buah buahan yang masam. Kalau rasa diri tu masam pun boleh letak juga. Saya guna Strawberry, Blueberry, dan Peach dalam tin. Kalau nak beli Peach yang segar, harga nya mahal nak arwah.
  • Daun Keladi sekadar hiasan. RM 4 sehelai tu.

 

CARA MEMASAK:

LANGKAH 1 : Pastikan butter berada dalam suhu bilik. Tapi bukan lembik. Dan bukan juga keras kejong. Yang sedang sedang saja . Pukul bersama dengan gula caster sehingga menjadi creamy.

LANGKAH 2: Okay, cun dah. Adunan menjadi creamy, dan bertukar warna menjadi sedikit putih.

LANGKAH 3: Masukkan telur satu persatu. Sambung pukul perlahan lahan. Sampai telur hilang dari pandangan saja. Jangan over beat masa ni.

LANGKAH 4: Masukkan campuran bahan kering yang sudah diayak tadi. ( ayat buku resepi)

LANGKAH 5: Kau orang pun mesti hampir hampir terlupa pasal dua benda alah ni kan. Haha. Sepatutnya kena masuk masa selepas masuk telur tadi. Layan Tik Tok la ni sampai lupa.

LANGKAH 6: Terakhir sekali, masukkan Greek Yogurt atau Sourcream. Beli dah lama dah Yogurt ni tapi baru kesempatan nak buat. Expired date pun di saat hari kek ini dibuat. Haha.

LANGKAH 7: Ini adunan yang dah sebati serasi bersama. Wangi sungguh. Bau Vanilla, bau masam lemon zest, bau butter lagi.

LANGKAH 8: Masukkan ke dalam loyang bersaiz 8inc yang telah diglis dan dilapik dengan parchment paper. Pastikan oven dah dipanaskan terlebih dahulu. Basic baking tu kan.

LANGKAH 9: Maka susun lah buah buahan mengikut kreativiti masing masing ya. Seeloknya cari buah yang masam masam dan tidak ‘watery’. Tapi kalau nak rare, letak buah tembikai pun boleh.

LANGKAH 10: Sedia untuk diseksa didalam oven selama 45 minit. Suhu 160c atas bawah.

 

TIP:

Cucuk dengan lidi / cake tester untuk pastikan kek dah betul masak. Nak cucuk dengan jari pun boleh kalau kebal. Sejukkan kejap baru diletakkan diatas papan.

Untuk dekorasi, boleh dust dengan snow powder atau icing sugar. Kalau nak buat jual, seeloknya guna snow powder, ianya tahan lama berbanding icing sugar. Tak larut dalam kek.

Potong siap siap. Buat minum petang ibu ibu di taman petang ini sambil membawang.

Jika diikutkan resepi nya seakan Sourcream Buttercake saja, kemudian diletakkan buah buahan diatas adunan sebelum dibakar. Maka terhasil lah satu gabungan rasa masam manis kehidupan.

NOTA: Ini adalah Vanilla Flavour jenis oil based. Banyak brand dijual. Antara nya brand Chef Amer. Beza antara Vanilla Essence kebanyakkan ialah jenis water based. Bau nya akan hilang akibat dari sejatan semasa proses pembakaran kek.  Jadi bertukar lah pada Vanilla jenis oil based, bau tetap kekal dalam produk sekalipun diseksa berjam jam di dalam oven.

 

Kredit Resipi: Baking room Ainie Syeema

 

CUBA JUGA RESIPI KEK VIRAL NI:

 

 

 

Published by
Mastura Abu Kassim