Kenali Perbezaan Soda Bikarbonat, Baking Powder & Baking Soda.

Share

Bagi yang selalu membuat kek dan biskut, pastinya pernah jumpa penggunaan bahan seperti Soda Bikarbonat, Baking Powder ( serbuk penaik) dan Baking Soda. Bahan-bahan ini digunakan untuk menjadikan kek dan biskut naik, ringan, lembut dan gebu. Nama seakan-akan dan fungsinya kelihatan sama. Tapi ada juga bezanya. Silap guna, kek, biskut atau pau anda tak akan jadi segebu yang diimpikan. Jom kita lihat perbezaannya.

 

1. SODA BIKARBONAT

Soda bikarbonat adalah bahan penaik yang biasa, mudah didapati dan digunakan secara meluas dalam penghasilan kek, roti

dan kuih. Ia adalah bahan alkali yang menghasilkan karbon dioksida apabila bercampur dengan asid seperti jus lemon atau cream of tartar. Fungsinya adalah untuk menaikkan kek atau kuih apabila dimasak.

Biasanya soda bikarbonat sering digunakan dalam penghasilan kek, roti dan kuih yang ada unsur asid didalamnya seperti yang menggunakan yogurt, susu masam, jus buah-buahan, serbuk koko, gula hangus, puri buah-buahan dan sebagainya. Soda bikarbonat bersifat alkali. Oleh itu ia akan bertindak meneutralkan asid yang terdapat dalam adunan kek atau kuih. 

Adunan soda dan bahan asid apabila disatukan akan menghasilkan karbon dioksida. Maka apabila dibakar, doh akan mengembang. Oleh sebab itu bila hasilkan kek atau roti, mesti guna bahan ini. Jika tidak, pasti hasilnya padat dan tidak gebu.

 

2. BAKING POWDER (SERBUK PENAIK)

foto: seriouseats.com

Selain Soda Bikarbonat, serbuk penaik atau Baking Powder juga adalah bahan yang wajib ada jika nak masak kek dan kuih. Biasanya ramai yang keliru diatara dua bahan ini.

Baking Powder adalah agen penaik kimia yang mengandungi campuran asid (biasanya cream of tartar), alkali (soda bikarbonat) dan tepung. Bila diadun dengan bahan lembap, ia akan menghasilkan gas yang membantu kek dan kuih menjadi kembang, lembut dan gebu.

Di pasaran, terdapat dua jenis serbuk penaik yang biasa dijual iaitu yang biasa dan berganda (double-action baking powder). Baking Powder biasa digunakan dalam menghasilkan kebanyakkan kek manakala jenis berganda pula digunakan untuk memasak aneka kek dan kuih kukus seperti apam, pau, kek kukus dan sebagainya. Ia bertindak dua kali lebih kuat dari Baking Powder biasa bagi menjadikan kek atau kuih muih lebih gebu dan kembang.

 

3. BAKING SODA

Baking Soda. Yang ni paling mudah. Baking soda adalah nama lain bagi Soda Bikarbonat. Jadi bila ada resipi yang tertulis baking soda @ soda bikarbonat, jangan pening-pening. Ia adalah merujuk kepada benda yang sama.

 

Carta ini mungkin boleh bantu anda untuk faham antara kedua-dua bahan ni.

Published by
Nur