Daun ketumbar memang selalu kita gunakan dalam masakan. Tapi hairannya ada yang mengadu kata daun ini busuk macam bau kumbang. Sedangkan pada kita bau daun ketumbar ini wangi dan membangkitkan selera.
Kalau nak tahu sebenarnya ia ada kaitan dengan genetik kita. Mesti ramai yang tak tahu perkara ini kan. Fakta ini dikongsi di laman Ini Sains Beb .
Ketumbar (nama Inggeris: cilantro, coriander. Nama saintifik: Coriandrum sativum) adalah sejenis tumbuhan herba dari keluarga Apiacea.
Bau ketumbar mempunyai nuansa sitrus yang dipengaruhi oleh kompaun kimia linalool.
Namun, ketumbar sebenarnya memberikan persepsi bau (dan rasa) yang berbeza pada setiap orang. Ada yang mendapati bau ketumbar segar, dan rasa sitrus. Ada pula sesetengah golongan mendapati baunya seakan serangga, sabun atau sayur reput!
Ketumbar mengandungi tinggi kompaun aldehid yang juga terdapat dalam sabun dan sesetengah serangga. Contohnya seperti kompaun aroma dari kumpulan (E)-2-alkenals dan aldehid yang tidak tepu seperti decanal, decenal.
Kenapa sesetengah orang tak bau ketumbar pelik?
Sebenarnya, ia juga dipengaruhi oleh genetik kita. Terdapat kluster gen yang mengaruh persepsi rasa pada manusia. Contohnya gen OR6A2 yang mengekod reseptor yang sensitif pada kompaun aldehid.
Jadi, jika seseorang memiliki variasi gen ini mereka akan sangat sensitif dengan bau aldehid.
Contohnya pada ketumbar. Orang lain lebih bau sitrus dari linalool, orang dengan variasi genetik OR6A2 dapat lebih menghidu bau aldehid sabun dan serangga tersebut.
Terdapat 14-21% dari orang Asia Timur, Afrika, Caucasian tidak menyukai ketumbar. Manakala, hanya 3-7% saja dari populasi seperti Asia barat, Hispanic, South Asian, Timur tengah tidak sukakan bau ketumbar.
Sumber: Ini Sains Beb