NASI berlauknya cukup ringkas. Nasi putih dicampur gulai ayam bersama ayam goreng kecil dan dilengkapkan dengan sambal. Dibungkus pula dengan sehelai kertas makanan. Itulah identiti nasi berlauk yang sebelum ini dipopularkan oleh Kak Wook atau nama sebenarnya Allahyarham Mek Wook Hassan.

Kenapa Nasi Kak Wok Digilai Ramai? Resepi inilah Jadi Puncanya!

Biarpun serba ringkas, nasi Kak Wook yang pada mulanya bertapak di Kelantan pada 1984 mula mendapat tempat di luar negeri Cik Siti Wan Kembang.

Populariti Kak Wook ditambah dengan keenakan gulainya dan harga murah menjadi faktor makanan itu turut digemari bukan sahaja daripada kalangan penduduk Kelantan. Di atas faktor itu juga, muncul restoran-restoran yang menjual makanan seakan nasi Kak Wook di luar Kelantan sehingga membuatkan nasi berlauk itu menjadi fenomena. Ikuti kupasan Sinar Harian mengenai nasi yang menjadi sebutan orang ramai ini.

Tiada siapa tahu kisah mencabar di sebalik kesedapan nasi Kak Wook, yang diperkenalkan pada 1984 oleh Allahyarham Mek Wook Hassan.

Ia sebenarnya bukanlah satu perkara mudah untuk mula-mula menambat hati pelanggan, namun ikhtiar atas keikhlasan, akhirnya ia terkenal hingga kini.

Ads

Mendekati anak ketiganya, Maheran Ibrahim, 48, yang kini mempunyai anak yang membuka tiga lokasi menjual nasi Kak Wook original, untuk menjadi pandai dia sering dimarah arwah ibunya. Arwah Kak Wook seorang penyabar dan menjaga kesedapan rasa lauk yang dimasak olehnya atau anak-anak, malah kalau ada kekurangan rasa itu, dia segera minta ubah.

Memendam rasa terkilan sebagai pewaris perniagaan nasi Kak Wook, Maheran mengakui kini pelanggan nasi Kak Wook keliru untuk mengenali nasi hasil usaha ibunya dengan nasi Kak Wook klon, namun dia tidak menolak, semua rezeki datang daripada ALLAH SWT.

Tiga Lokasi Nasi Kak Wook Asli

Kenapa Nasi Kak Wok Digilai Ramai? Resepi inilah Jadi Puncanya!
Siti Nur Hidayah (kiri), Maheran (tengah) dan Mastura menjadi pelapis perniagaan nasi Kak Wook asli.

Meninggalkan sejarah tempat asal nasi Kak Wook di Kampung Lundang, Maheran berkata, sejak kecil, dialah anak yang selalu di sisi arwah menyiapkan nasi dan kuih setiap hari, selain arwah bapanya, Ibrahim Mamat.

Kenapa Nasi Kak Wok Digilai Ramai? Resepi inilah Jadi Puncanya!

“Dahulu saya rasa ‘derita’ sangat kerana agak terkebelakang dari segi pembelajaran, jadi arwah Mek selalu suruh membantunya di dapur, disuruhnya saya membuat gulai, menyiang ikan untuk buat nasi kerabu dan kuah laksam, juga menyediakan bahan untuk kuih. Nak menangis pun ada masa tu… tetapi saya sabar.

“Kini, apabila arwah tiada, barulah saya faham mengapa saya terpilih ‘sekaki’ memasak dan menjual nasi dengannya, malah memandangkan anak saya ramai, dari kecil mereka membantu arwah nenek menyediakan nasi Kak Wook,” katanya.

Mempunyai tiga anak menjual nasi Kak Wook asli menggunakan gambar arwah Kak Wook pada kain rentang di kedai, Siti Nur Hidayah Zulkifli, 28, menggantikan tempat lama di lokasi Jalan Telipot, manakala Rabiatul Adawiyah, 23, membuka kedainya di Pasir Tumboh dan satu lagi bersebelahan Bank Islam di Kubang Kerian dikendalikan Siti Nor Salwani, 23.

Berikut kami kongsikan resepi nasi berlauk ala kak Wok yang berasal dari Kelantan untuk anda cuba sendiri di rumah.

RESIPI NASI KAK WOOK

Gulai Ayam

Kenapa Nasi Kak Wok Digilai Ramai? Resepi inilah Jadi Puncanya!

Bahan-Bahan:

Ads
  • 1/2 ekor ayam
  • 1 kotak santan 200ml (jenama Kara)
  • 2 kiub pati ayam Knorr
  • Air perahan asam jawa
  • Air
  • Garam dan gula secukup rasa
  • Sedikit minyak untuk menumis

Bahan tumisan

  • 1 labu bawang besar, dihiris nipis
  • 1 inci halia, diracik halus
  • 4 pelepah daun kari
  • 3 bunga lawang
  • 1 kayu manis
  • 5 biji buah pelaga
  • 5 biji bunga cengkih

*Bahan dijadikan pes rempah (dibancuh dengan sedikit air)

  • 4 sudu besar serbuk kari ayam
  • 4 sudu besar serbuk cili
  • 2 sudu besar serbuk rempah briyani

Cara Memasak:

  1. Panaskan sedikit minyak dan tumiskan bahan-bahan tumisan sehingga berbau harum. Setelah naik bau wangi, masukkan pes rempah. Goreng sehingga garing dan terbit minyak. Masukkan ayam dan gaul sebati.
  2. Setelah ayam agak masak, masukkan santan. Boleh ditambah secawan air untuk kuah. (Jika suka kuah sedikit cair, boleh lebihkan air)
  3. Tambah perahan air asam jawa dan kiub pati ayam Knorr.
  4. Rasa gulai dan tambah garam atau gula mengikut citarasa.
  5. Biarkan mendidih dengan api sederhana sehingga pecah minyak. Tutup api.

Ayam goreng kunyit

Kenapa Nasi Kak Wok Digilai Ramai? Resepi inilah Jadi Puncanya!

Bahan-Bahan:

Ads
  • 1/2 ekor ayam, dipotong kecil-kecil
  • 1 sudu kecil garam
  • 1 sudu serbuk pati ayam Knorr
  • 1 sudu kecil serbuk kunyit
  • 1 cawan kacang panjang, dipoton2 satu inci
  • 1 labu bawang besar, dihiris
  • Minyak untuk menggoreng

Cara Memasak:

  1. Gaul ayam dengan garam, serbuk pati ayam dan serbuk kunyit. Perapkan selama 15 minit. Goreng ayam sehingga kuning keemasan. Setelah ayam garing, angkat ayam, tos minyak dan ketepikan.
  2. Panaskan 2 sudu besar minyak dan tumis bawang besar sehingga naik bau.
  3. Masukkan kacang panjang dan goreng seketika sehingga masak (tetapi masih mengekalkan kerangupan).
  4. Masukkan ayam yang telah digoreng tadi dan gaul rata. Siap dan bolehlah dihidangkan.

Sambal Kelantan @ Air Lada

Kenapa Nasi Kak Wok Digilai Ramai? Resepi inilah Jadi Puncanya!

  • Cili hidup
  • Cili api
  • Cuka masakan
  • Garam dan gula secukup rasa
  • Kisar semua bahan menggunakan blender (boleh juga ditumbuk menggunakan lesung batu)

Hidangkan dengan nasi putih panas-panas. Memang power!

Sumber: Sinar Harian Online / iluminasi.com

Tak tahu nak masak apa? Lubuk resipi RASA kini di SEENI, tak perlu susah lagi.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI