
Korang dah mula mengumpul biskut raya ke? Ada yang terlebih rajin lebih suka membuatnya sendiri. Lagi puas makan katanya. Biskut Batang Buruk ini kalau buat awal pun boleh simpan buat kuih raya nanti atau mungkin juga boleh buat kudapan lepas bertarawih.

BISKUT BATANG BURUK
Bahan-bahan:
* 2 bungkus besar kulit popia
* 3 bungkus tepung kacang hijau
* 800 gram gula aising
* 2 biji putih telur – sebagai pelekat
* Straw saiz besar
* Minyak – untuk menggoreng
Cara membuat:

1. Potong kulit popia memanjang seperti didalam gambar mengikut ukuran pembaris
2. Cabut sehelai demi sehelai kemudian gulung di straw dan gunakan putih telur sebagai pelekat

3. Bila dah siap gamkan semua, jemur dengan straw yang dah dililit kulit popia tadi sekejap dalam 10 minit, kemudian boleh keluarkan popia yang dah kering tu kesemuanya
4. Seterusnya, tepung kacang hijau disangai lebih kurang 10 minit menggunakan api sederhana sehingga garing dan ringan
5. Kemudian boleh angkat dan sejukkan.
6. Bila dah sejuk, masukkan gula aising – kisar gula sampai jadi halus.
7. Gaul ratakan gula dengan tepung sampai sebati.
8. Selepas itu, goreng kulit popia dalam api yang sederhana sehingga sedikit kekuningan dan angkat
9. Akhir sekali, sumbat kulit popia yang dah digoreng tadi dengan tepung kacang hijau. Buat sampai habis.

Nota: Ada yang tak sumbat pun dengan tepung kacang hijau, hanya gaulkan bagi rata. Resipi ini dapat 2 kilo setengah, kalau nak buat sikit, boleh bahagikan 2 bahan-bahan di atas.
Kredit Ruzita Hashim
Kaswi Pandan Lemak Manis, Menggoda Sungguh Tak Sabar Nak Buat.
Tak tahu nak masak apa? Lubuk resipi RASA kini di SEENI, tak perlu susah lagi.
Download
sekarang!
3 Masakan Autentik Sedap & Rare, Orang Pahang Wajib Cuba Ni!

Orang Pahang pernah dengar atau masak tiga menu tradisional ini tak? Ketiga-tiga menu ni memang unik dan mempunyai rasa sedap tersendiri yang jarang-jarang jumpa. Rugi kalau menu ini lenyap begitu sahaja, kepada yang ingin mencuba berikut dikongsikan resipinya.

DAGING PECHOK
BAHAN-BAHAN:
- 1kg daging batang pinang
- Sedikit garam
- Sedikit halia kisar
- Sedikit bawang merah kisar
- Sedikit bawang putih kisar
BAHAN SOS:
- 1 cawan santan pekat
- 4 sudu makan kerisik
- 1 biji bawang besar | dadu kecil
- 1 sudu makan lada hitam | kisar kasar
- 1 biji cili merah | hiris halus
CARA MEMASAK:
- Potong daging kepada beberapa bahagian.
- Gaulkan daging dengan garam serta semua bahan kisar.
- Panaskan ketuhar dan bakar daging hingga masak.
- Setelah masak hiris nipis dan ketepikan.
- Untuk menyediakan bahan sos, campurkan semua bahan sos dan gaul rata.
- Panaskan atas api kecil dan sentiasa kacau.
- Perasakan dengan sedikit garam dan gula jika perlu.
- Setelah mendidih tutup api dan tuang sos di atas hirisan daging.
- Pechok Daging sedia dihidangkan.

SIPUT SEDUT GULAI ASAM ROM
BAHAN-BAHAN:
- 1 kg siput sendut | buang ekor, bersih dan tos.
- 1 cawan terung pipit | buang tangkai dan belah sedikit
- Sedikit daun pucuk paku | ambil pucuk dan daun sahaja
- 3 sudu makan Asam Rom
- Garam dan gula secukup rasa
- Air secukupnya
BAHAN KISAR:
- 20 biji cili padi
- 3cm kunyit hidup
CARA MEMASAK:
- Masukkan siput sedut yang telah dibesihkan dalam periuk.
- Tambahkan bahan kisar, terung pipit, pucuk paku dan air menutup paras siput sedut.
- Didihkan di atas dapur dengan api sederhana.
- Setelah mereneh, perasakan dengan garam dan gula secukup.
- Setelah masak dan cukup rasa. Tutup api.
- Sedia dihidangkan.

GULAI KULAT SISIR CAMPUR DAGING TETEL
BAHAN-BAHAN:
- 300gm kulat sisir | celur dan toskan
- 150gm daging tetel | celur dan hiris kecil
- 300ml santan
- 3 sudu makan rempah kari daging | bancuh dengan sedikit air
- 2 sudu makan pes cili kering
- 1 sudu makan air asam Jawa
- 1 batang serai | titik
- Garam dan gula secukup rasa
- 4 sudu makan minyak masak
BAHAN KISAR KASAR:
- 6 ulas bawang merah
- 4 ulas bawang putih
- 2cm halia
CARA MEMASAK:
- Panaskan minyak masak, tumis bahan kisar hingga naik bau.
- Masukkan pes cili dan serai yang telah dititik tadi.
- Setelah pecah minyak masukkan rempah kari, kacau rata.
- Setelah garing masukkan kulat sisir dan daging cincang, diikuti santan dan air asam Jawa.
- Kacau dan biarkan mereneh atas api sederhana.
- Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa.
- Setelah masak dan cukup rasa, tutup api dan sedia dihidangkan.
Goreng Dan Tumbuk, Sambal Ekspres Empat Bahan Aje

Sambal tumbuk ni tengok rupa dah tahu sedap. Dahlah sedap paling mudah dimasak. Janji semua empat bahan tu digoreng dahulu dan kemudian ditumbuk.
Resipi yang dikongsikan oleh SheilaKitchen Home Cooks ni memang senang sangat dicuba. Dahlah tu nampak sedap mengecurkan air liur . Tu baru tengok hidangannya, bila dimakan perrggh boleh bertambah pinggan nasi.
.Kalau min suka cecah roti aje. Jom cuba :
SAMBAL TUMBUK

.
BAHAN-BAHAN :

.
- 8 biji bawang kecil (merah)
- Segenggam ikan bilis
- 10 tangkai cili kering
- 6 biji cili padi
- ½ biji limau Kasturi
- Garam secukup rasa
CARA MEMASAK :
- Mula-mula gorengkan ikan bilis dan ketepikan.
- Kemudian gorengkan bawang kecil dan cili kering, ketepikan
- Mulakan dengan menumbuk bawang kecil, diikuti dengan cili kering dan cili padi. Perasakan dengan garam.

.
3. Kemudian masukkan ikan bilis dan tumbuk kasar.

.
4, Akhir sekali perahkan limau Kasturi , dan pastikan rasanya mengikut citarasa kita dan sedap. Siap untuk dihidang.

Sumber : FB SheilaKitchen Home Cooks
Datin Nor Hafizah Saad Kongsi Resipi Nasi Lemuni & Kuih Serabai Ala Kedah

Hidangan Air Tangan VIP kali ini memang ‘awesome’ resipi ori diwarisi dari ibu tersayang.. Walaupun sibuk bertugas sebagai Pengurus Grup Agensi Amanah Saham dan Usahawan Al-Quran bertanda, beliau tetap ada masa memasak untuk keluarga dan tetamu .
RASA menghurai petua dari Datin Nor Hafizah Saad ,45 tahun, yang handal memasak lauk pauk asli Kedah warisan keluarganya.

.Aktif di Instagram, rakaman photo shoot majalah RASA pada hari itu turut disiarkan secara langsung di akaun IG@ norhafizahsaad. Bagaimana cerianya kandungan instagram wanita peramah ini, begitulah dirinya bila diajak bersembang dan temuramah.
Usahawan berasal dari Lubok Buntar, Serdang Kedah ini adalah suri hati kepada Datuk Ramli Abdul Manaf , 52 tahun dan ibu kepada seorang cahaya mata Muhammad Ar-Rayyan Ramli berusia 4 tahun.

“Datuk tak makan masakan pembantu rumah. Dia nak masakan air tangan isteri sebab katanya isteri ada buat apa makan lauk air tangan pembantu rumah. Bukannya kahwin dengan ‘maid’ pun,” katanya diikuti dengan gelak ketawa.Bertemu jodoh agak lewat usia ketika berusia 40 tahun, pastinya rumahtangga yang baru terbina selama lima tahun ini cukup hangat dengan kasih sayang .
Semasa kami tiba hidangan tradisional Kedah telah pun dihidang cantik di dalam set pinggan mangkuk Port Meirion yang tekenal dari Britain dan Korea. Beliau membuat persediaan masakan seawal 6 pagi untuk menyiapkan empat menu istimewa ini iaitu Nasi Leuni , Sambal Ikan Bilis Bersama Terung Pipit, Kuih Serabai dengan kuah durian serta Mi Udang.

Ada cerita di sebalik sajian Nasi Lemuni yang berwarna hitam atau ungu tua ini. Warnanya adalah dari daun pokok lemuni yang berwarna hijau dan ungu di belakang daun. Jika di kampungnya pokok Lemuni senang didapati, bila tinggal di KL beliau mendapatkan bekalan dari rumah bapa saudaranya di Ampang yang menanam pokok ini.
“ Bila masak nasi lamuni, jangan kedekut ramuan. Bagi satu cawan beras, masukkan segenggam atau dua biar lebih berperisa rasa daunnya. Begitu juga dengan santan , sukatannya sama dengan jumlah beras. Gunakan pati santan dan kisarkan bersama daun lamuni.
Nak sedap lagi tambahkan sedikit lada hitam dan juga halia. Nasi ni juga sesuai dimakan untuk wanita dalam pantang bersalin. Tapi hati-hati lepas makan ‘angin’ terlepas keluar dari badan,” cerianya tertawa kecil.

Bercerita mengenai kuih serabai yang dimakan bersama kuah durian petuanya jika mahu lebih sedap boleh sahaja menggunakan durian Musang King dan gula Melaka. Jika gemarkan kelapa serabai juga boleh ditambahkan kelapa parut untuk menjadikannya serabai kelapa. Inilah antara sajian sarapan dan minum petang disukai keluarganya yang menetap di Pulau Pinang..
Berasal dari Kedah, Datin Fiza dan keluarga tinggal dan membesar di Pulau Pinang. Ibunya berniaga makanan di pasar malam memang handal memasak dan menjual laksa, bihun utara dan air tebu di gerai.
“Laksa mak cukup laris, sehari kami masak 30kg ikan sardin untuk laksa, boleh licin habis. Hari-hari saya tengok mak saya cukup ligat memasak. Kami empat beradik tolong aje. Dan hari-hari juga mak berpesan suruh belajar masa, sebab kalau dia ‘takde’ siapa yang nak tunjukkan cara masak. saya suka memerhatikan apa yang dimasak oleh mak,” imbaunya lagi.
Patutlah Datin Nor Hafizah cukup cekap di dapur. Beliau adalah pemerhati yang baik dan terang hati. Walaupun belajar memasak di usia 30 an, tetapi kini banyak resipi warisan ibunya telah pun ‘dikuasainya’.
NASI LEMUNI

BAHAN-BAHAN :
- 2 cawan beras | cuci dan tos
- 2 cawan santan pekat @ pati |* 1beras : 1 santan
- 2-3 genggam pucuk daun lamuni | dikisar dan tapis , ambil airnya. Pekat .
- 4.5 sm halia muda | dihiris dan cincang halus
- 1 sudu teh lada hitam
- 2 1/2 biji bawang besar | dikisar
- Garam secukup rasa
CARA MEMASAK :
1. Masukkan semua bahan dan beras ke dalam periuk nasi
2. Tutup periuk dan biarkan hingga masak.
SAMBAL IKAN BILIS TERUNG PIPIT

BAHAN-BAHAN :
- 200gm ikan bilis | digoreng dan toskan
- 2 cawan terung pipit, dibuang tangkai dan bersihkan
- 1/2 biji bawang besar, hiris nipis
- 3 sudu besar air asam jawa
- 2-3 senduk besar minyak
- Garam dan gula secukup rasa
- Bahan untuk kisar halus:
- 10-15 biji cili kering, dibuang biji dan rebus
- 4 ulas bawang merah
- 3 ulas bawang putih
- 1 inci halia
- 1 biji bawang besar, potong 4
CARA MEMASAK :
1. Goreng ikan bilis separuh masak. Asingkan.
2. Panaskan minyak, tumis bawang besar sehingga kekuningan.
3. Masukkan bahan kisar dan masak sambal di atas api perlahan sehingga pecah minyak. Masukkan ikan bilis, sos tiram, air asam jawa, garam dan gula secukup rasa.
4. Kemudian masukkan terung pipit dan masak sehingga terung lembut. Angkat dan hidang.
KUIH SERABAI DAN KUAH DURIAN

BAHAN-BAHAN:
- 2 cawan tepung gandum.
- 1/2 cawan tepung beras
- 1/2 cawan santan pekat.
- 1 sudu kecil yis segera.
- 2 sudu teh gula.
- 1 1/2 cawan air.
- 2 biji telur
- 1 sudu kecil garam atau secukup rasa.
- Bahan kuah :
- 1 cawan gula perang.
- 1 cawan santan.
- 1/2 cawan air
- 4 ulas durian
- 1 cawan santan pekat dan masukan 1 sudu besar tepung jagung | dibancuh
- 2 helai daun pandan di simpul.
CARA MEMASAK:
1. Masukkan gula dalam sebuah cawan diisi 1/2 cawan air suam dan masuk yis. Biarkan selama 10 minit or sehingga naik kembang
2. Masukkan tepung gandung dan tepung beras dengan santan dan digaul masukan juga garam
3. Masukkan yis yang sudah kembang bersama tepung yang dah di bancuh 4. 4. Panaskan acuan serabai (kalau tak ada gunakan kuali dalam bersaiz 20cm – 8 inci kuali biasa atau kuali non-stickable).
4. Sapukan minyak dengan sehelai daun pandan yang celup dengan minyak. Biarkan minyak dalam acuan panas betul-betul panas. Sederhanakan api dapur dan tuangkan adunan tepung serabai 3/4 penuh.
5. Masak dengan apai perlahan sehingga masak.
Cara masak kuah durian :
1. Masukkan gula dan air
2. Masukkan bahan bancuhan ke dalam kuali yang sedang panas sederhana. Masak dan kacau sebatian ini. Bila mula didih, masukkan bancuhan santan dan tepung jagung dan juga durian
3. Masak hingga tepung jagung dan santan berubah warna kepada keemasan. Kepekatan terpulang pada berapa lama anda masak. perlu ingat. Bila sejuk kuah ini akan pekat dua kali dari masa panas. maka tentukan ia jangan terlalu pekat.
MI UDANG ISTIMEWA

BAHAN-BAHAN :
- 500gm udang laut
- 500gm ATAU 1 bungkus mi kuning, celur
- 2 sudu besar sos cili
- 1 sudu besar sos tomato
- 8-10 tangkai cili kering | buang biji dan rebus kemudian kisar halus
- ATAU 3 sudu besar cili giling
- 1/2 senduk minyak masak
- Bahan untuk kisar halus:
- 5 biji bawang merah
- 4 ulas bawang putih
- 1 sudu besar udang kering, rendam dalam air sehingga lembut
- Bahan untuk rebus dan lenyek halus:
- 3 ketul ubi kentang
- Bahan untuk hiasan atau taburan:
- 3 biji telur, rebus dan belah dua
- cili merah, hiris nipis
- sayur sawi, potong dan celur
CARA MEMASAK :
1. Bersihkan udang laut dengan cara belah belakang dan buang tali hitam di belakang, dan potong janggut. tak buang kepala dan kulit Udang.
2. Panaskan minyak dalam periuk dan tumis bahan kisar halus sehingga naik bau.
3. Masukkan cili kisar dan kacau sehingga garing dan pecah minyak.
4. Masukkan kentang lenyek diikuti air secukupnya. Anda perlu agak-agak kuantiti air, jangan kuah terlalu pekat.
5. Masukkan sos cili ,masak sehingga kuah mendidih.
6. Kemudian masukkan udang, dan perasakan dengan garam dan gula secukup rasa.
7. Hidang dengan cara tuang kuah dan udang di atas mi dan taburkan dengan bahan hiasan.

