Lazimnya apabila berbicara tentang serat dalam diet, ramai yang mula memikirkan tentang manfaatnya terhadap kesihatan sistem penghadaman. Ya, serat membantu dalam meningkatkan kesihatan sistem penghadaman. Namun, ramai yang tidak mengetahui manfaat lain yang dimiliki serat. Ia lebih daripada sistem penghadaman sahaja.
Menurut pakar diet Karen Ansel yang juga merupakan pengarang dalam bukunya, “The Calendar Diet: A Month by Month Guide to Losing Weight While Living Your Life”, banyak kelebihan lain yang boleh didapati daripada pengambilan serat dalam diet. Ini termasuklah rasa kenyang yang lebih lama dan membantu pesakit diabetes dalam mengurangkan kadar gula dalam darah.
Oleh itu, kepekaan terhadap pengambilan serat dalam diet tidak harus diabaikan. Pengambilan serat ini seharusnya dipelbagaikan sumbernya. Mungkin ada yang terlepas pandang atau masih tidak mengetahui beberapa sumber serat yang mungkin mengejutkan anda ini. Boleh lihat senarai yang disediakan.
Mungkin ramai yang mula mengaitkan pelbagai jenis sayur-sayuran atau buah-buahan apabila memikirkan tentang makanan tinggi serat. Namun, ramai yang tidak mengetahui bahawa kekacang turut memiliki impak yang tersendiri dalam menjadi sumber serat yang baik. Sebagai contoh,suku cawan badam memiliki empat gram serat.
Biji chia didapati daripada pokok chia yang merupakan tumbuhan dari keluarga pudina. Ia berasal dari Mexico dan Amerika Tengah. Lazimnya dimasukkan ke dalam minuman seperti biji selasih. Namun, ramai yang tidak mengetahui bahawa biji chia selain mengandungi protein, kalsium, vitamin dan antioksidan, ia juga menjadi sumber serat yang sangat baik. Biji chia mengandungi kedua-dua jenis serat larut air dan serat tidak larut air. Bagi anda yang ingin menikmati kesegaran biji chia boleh memasukkan ia ke dalam minuman seperti sirap dan teh o ais, biarkan selama setengah jam untuk ia mengembang. Anda juga boleh memanfaatkan khasiat biji chia dengan mengambil ia bersama yogurt, bijirin oat, salad dan sebagainya.
Siapa sangka bawang besar juga merupakan sumber serat dalam diet. Kajian mendapati setiap sebiji bawang besar yang bersaiz sederhana memiliki dua gram serat. Mungkin dari segi nilainya tidak terlalu besar namun fakta ia mempunyai kandungan serat begitu mengujakan. Bukankah bawang besar digunakan dalam hampir semua masakan? Bawang besar mempunyai serat larut air yang membantu menurunkan paras kolesterol.
Bagi anda yang inginkan pilihan serat yang lebih manis dan enak, apa kata mencuba buah kiwi untuk diet anda. Mengandungi vitamin C yang lebih tinggi daripada buah oren, buah yang sinonim dengan negara New Zealand ini memiliki rasa yang tersendiri. Gabungan rasa masam strawberi dan manis tembikai, buah kiwi mempunyai rasa unik yang sangat enak pada isinya yang berwarna hijau. Pelbagaikan cara menghidangkan buah ini seperti dalam bentuk jus segar, salad buah-buahan dan sebagainya. Setiap biji kiwi mengandungi dua gram, juga sangat manis dinikmati begitu sahaja.
Tahukah anda setiap cawan pasta gandum penuh seperti spageti mengandungi 6.3 gram serat. Untuk mendapatkan sumber serat yang baik pada hidangan pasta, pastikan anda memilih label “whole grain” atau “gandum penuh”. Menariknya, apabila anda menambah secawan pes tomato dalam hidangan pasta, anda baru sahaja menambah jumlah serat kepada 10 gram.
Sumber gambar: 123 royalty free
Nak dapatkan peralatan memasak yang baru? Klik sini .