
Kecoh di media sosial mengenai laporan penemuan cacing mati yang ditemui dalam produk ikan sardin tin yang diimport dari negara China. Kes yang berlaku di Indonesia itu telah menyebabkan pihak Badan Pengawas Obat dan Makanan (BPOM), Indonesia mengarahkan tiga pengimport produk ikan sardin dalam tin untuk menarik balik produk dari pasaran setelah pemeriksaan menunjukkan cacing mati ditemui dalam produk mereka yang diimport dari negara China.
Sehubungan dengan itu, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia; Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menerusi kenyataan medianya berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan sentiasa menjalankan pemantauan ke atas produk makanan import termasuk produk ikan sardin dan ikan mackerel dalam tin.
Dalam isu ini, hasil analisis mendapati Canned Sardines in Tomato Sauce berjenama TL Tan Lung keluaran syarikat Fujian Yongfa Co. Ltd dan Sardines in Tomato Sauce berjenama TLC keluaran syarikat Dongshan Dongyi Foods Co. Ltd. dari negara China tidak mematuhi Akta Makanan 1983 kerana mengandungi bendasing iaitu nematoda (sejenis cacing) daripada Genus Anisakis spp.


Sehubungan itu menurut beliau lagi, tindakan penguatkuasaan telah diambil oleh KKM di mana syarikat pengimport terlibat telah diarah memanggil balik produk-produk tersebut dari pasaran.
KKM juga akan terus menjalankan pemantauan ke atas produk ikan sardin dan mackerel dalam tin yang diimport di semua pintu masuk negara dan di pasaran dan sekiranya didapati tidak mematuhi Akta Makanan 1983, tindakan penguatkuasaan akan diambil.
Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi Jabatan Kesihatan Negeri atau Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat atau hubungi KKM melalui laman web http://moh.spab.gov.my atau laman facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan www.facebook.com/bkkmhq jika terdapat sebarang aduan berkaitan kebersihan dan keselamatan makanan.
Sumber: Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia
Tak tahu nak masak apa? Lubuk resipi RASA kini di SEENI, tak perlu susah lagi.
Download
sekarang!
Nu Ideaktiv Lancar Aplikasi seeNi & Portal Kliik

Nu Ideaktiv Sdn Bhd, syarikat tempatan yang terkenal dengan inovasi digitalnya, dengan bangganya mengumumkan pelancaran dua produk digital terbarunya iaitu aplikasi seeNi dan portal Kliik.
Pelancaran yang berlangsung di Hall 7, Kuala Lumpur Convention Centre ini telah disempurnakan oleh Naib Presiden Kanan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), Ybhg Datuk Fadzli Abdul Wahit.

Aplikasi seeNi adalah SuperApp terbaru yang dibangunkan oleh Nu Ideaktiv dengan misi mengubah cara rakyat Malaysia menikmati kandungan digital.
Aplikasi ini menyediakan pelbagai jenis kandungan termasuk artikel, video, podcast dan siri seeNi Original.

Selain menikmati konten secara percuma, aplikasi ini juga memberi peluang kepada anda untuk menjadi pencipta kandungan dan menjana pendapatan melalui platform ini. Syok kan?
Pengguna juga dapat menikmati pengalaman interaktif seperti memberi tanda suka, mengulas dan berkongsi kandungan yang mereka suka.

Lebih menarik lagi, seeNi menawarkan akses kepada jenama-jenama media terkemuka seperti Sinar Harian, Astro Awano, Amanz dan Kita Family Podcast.
seeNi juga memberi ruang kepada pencipta kandungan seperti Hazeman Huzair dan Suhaib Henshin untuk berkarya.

Kliik.je pula merupakan platform yang interaktif dan berasaskan komuniti. Portal ini bertujuan untuk mencipta keterujaan dalam kalangan komuniti dengan menawarkan pelbagai menarik dan boleh mendapat ganjaran menarik termasuk akses kepada pertandingan, sampel percuma, event, seminar dan webinar.

Para pengguna boleh mendaftar di Kliik.je dan memilih tugasan serta cabaran yang bersesuaian dengan minat mereka untuk menikmati ganjaran yang ditawarkan.
Dengan aplikasi seeNi, rakyat Malaysia kini mempunyai akses kepada pelbagai jenis kandungan yang bukan saja mendidi, malah menghiburkan. Portal Kliik.je pula menjadi pusat komuniti yang memperkasa pengguna dengan pelbagai ganjaran dan peluang.

Ideaktiv yakin kedua-dua platform ini akan memainkan peranan penting dalam meningkatkan literasi digital dalam kalangan rakyat Malaysia dan pada masa yang sama, menyokong ekonomi digital negara.

Encik Syamil Fahim Mohamed Fahim, Ketua Pegawai Eksekutif Ideaktiv, menyatakan kegembiraannya dengan peluang untuk membawa inovasi digital tempatan kepada masyarakat Malaysia.
Beliau turut menyatakan bahawa ini merupakan langkah awal yang mengujakan dalam usaha Ideaktiv untuk membentuk masa depan digital negara.


Encik Syamil menekankan bahawa aplikasi seeNi dan portal Kliik.je bukan sahaja membawa nilai tambah kepada pengguna, tetapi juga menyokong pertumbuhan industri kandungan tempatan.
Pelancaran kedua-dua platform ini sekali gus menunjukkan komitmen Nu Ideaktiv untuk terus berinovasi dan menyediakan pengalaman digital yang lebih baik untuk semua.
13 Resipi Sedap & Mudah, Pancing Selera Anak Musim Cuti Sekolah.

Kanak-kanak biasanya lebih gemar hidangan yang ringkas. Jika nasi dan lauk pauk, ada kalanya mereka susah untuk makan. Tapi tak mengapa, resipi-resipi di bawah ini anda boleh cuba dan pastinya boleh memikat selera si comel. Selamat mencuba!
1. PUFF BEBOLA AYAM

BAHAN-BAHAN:
- 40 biji bebola ayam
- 20 batang lidi pencucuk
BAHAN UNTUK PUFF PASTRI:
- 125gm tepung tinggi protein
- ½ sudu kecil garam
- 15gm marjerin
- 70gm pastri marjerin
- 65gm air
CARA MASAK:
- Untuk membuat puff pastri; Sebatikan tepung, marjerin dan garam menjadi seakan serbuk roti. Masukkan air dan uli menjadi doh. Rehatkan doh lebih kurang 20 minit.
- Canai pastri marjerin dengan dilapiskan dengan plastik untuk mengelakkan ia melekat pada permukaan meja dan rolling pin.
- Canai doh dan dapatkan bentuk petak. Sejukkan di dalam peti sejuk untuk menstabilkan pastri marjerin supaya tidak terlalu lembut.
- Selepas itu, canai doh yang direhatkan tadi menjadi lebar petak memanjang. Letakkan pastri marjerin di tengah doh. Pastikan pastri marjerin tidak terlalu keras dan tidak terlalu lembut. Kemudian balut/tutup kemas pastri marjerin di dalam doh.
- Canai doh pastri memanjang dan dapatkan bentuk petak supaya senang dilipat. Lipat doh pastri dengan anggaran tiga bahagian sama besar, lipat kiri kanan ke dalam (lipatan tunggal). Dan rehatkan doh di dalam peti sejuk lebih kurang 10 minit.
- Kemudian canai semula doh pastri membentuk petak memanjang dan lipat lagi sekali dengan mendapatkan empat bahagian sama besar dan lipat menjadi satu bahagian (lipatan buku). Rehatkan di dalam peti sejuk lebih kurang 10 minit.
- Canai doh pastri memanjang dan dapatkan bentuk petak supaya senang dilipat. Lipat doh pastri dengan anggaran tiga bahagian sama besar, lipat kiri kanan ke dalam (lipatan tunggal). Dan rehatkan doh di dalam peti sejuk lebih kurang 10 minit.
- Keluarkan doh pastri, canai lebar dan potong memanjang sebesar saiz bebola ayam.
- Balutkan bebola dan potong membulat dan cucukkan pada lidi.
- Goreng di dalam minyak panas hingga perang keemasan dan garing.
- Hidangkan bersama sos dan mayones.
INFO CHEF: Lapiskan cheddar pada puff pastri dan gulung pada bebola ayam untuk memberikan sedikit kelainan. Bebola ayam boleh digantikan dengan sosej ataupun udang.
2. PIZA ROTI

BAHAN-BAHAN:
- 6 keping roti sandwic | dipotong segi tiga
- 50gm pepperoni ayam
- 50gm lada benggala merah | dihiris
- 5 sudu makan pes tomato | digaul bersama sedikit herba oregano dan basil
- 5 biji cendawan butang | dihiris
- Sedikit hirisan bawang besar
- 1/2 biji tomato | dihiris nipis
- 50gm keju mozzarella
- Sedikit keju cheddar
- Salad rocket | hiasan
CARA MEMASAK:
- Sapu pes tomato roti dipermukaan roti dan susun pepperoni, hirisan bawang, lada benggala, cendawan butang dan tomato dengan secukupnya.
- Taburkan keju mozarella dan keju parmesan dengan secukupnya.
- Bakar selama lebih kurang 10 minit sehingga keju cair.
- Hiaskan dengan salad rocket.
3. ROTI TELUR BAKAR

BAHAN-BAHAN:
- 4 keping roti sandwic
- 1/2 biji bawang besar | dicincang halus
- 4 keping salami ayam | dipotong kiub
- 4 biji telur
- Sedikit serbuk lada hitam
CARA MEMASAK:
- Gelek roti sehingga nipis dan isikan ke dalam acukan loyang mufin.
- Masukkan bawang cincang, salami ayam dan sedikit serbuk lada hitam.
- Kemudian pecahkan telur ke dalam roti dan bakar pada suhu 160C selama 15 minit.
- Angkat dan nikmati segera.
4. POPIA INTI DAGING

BAHAN-BAHAN:
- 1 biji bawang besar| dicincang halus
- 2ulas bawang putih| dicincang halus
- 200gm daging kisar
- 1 sudu teh serbuk lada hitam
- 100 gm kacang panjang | hiris halus
- 1/2 batang lobak merah | hiris halus
- 1 bungkus kulit popia
- Garam dan serbuk perasa secukupnya
CARA MEMASAK:
- Panaskan minyak. Tumis bawang merah dan bawang putih sehingga garing.
- Masukkan daging kisar. Gaul rata.
- Masukkan kacang panjang dan lobak merah. Gaul lagi dan tambahkan serbuk lada hitam dan garam secukup rasa.
- Apabila inti sejuk, boleh mulakan untuk menggulung popia.
- Panaskan minyak dan goreng sehingga kekuningan
- Popia sedia dihidangkan bersama sos cili atau mayonis.
5. SANDWICH AYAM

BAHAN-BAHAN:
- 100gm isi dada ayam
- 5 sudu makan tepung ayam goreng
- 1 sudu teh serbuk lada hitam
- 4keping roti biasa atau whole meal
- Sedikit hirisan timun, bawang holland dan salad
- Mayonis secukupnya
CARA MEMASAK:
- Keringkan isi ayam yang dah dibersihkan dengan tisu dapur atau toskan.
- Masukkan serbuk lada hitam ke dalam tepung ayam goreng. Gaul rata.
- Celupkan ayam dalam telur dan tepung ayam goreng.
- Panaskan minyak dalam kuali. Goreng ayam seperti biasa sehingga masak.
- Angkat dan ketepikan.
- Sementara tunggu ayam sejuk sediakan roti, hiris tomato, bawang, salad dan timun.
- Hiris isi ayam tadi bentuk kiub dan gaulkan dengan mayonis.
- Kemudian susunan sandwich megikut citarasa.
6. ROTI GULUNG SOSEJ PENDEK

BAHAN-BAHAN:
- 12 biji sosej koktel
- 6 keping roti putih
- 200gm serbuk roti
- 1 biji telur ayam
- Secubit garam
CARA MEMASAK:
- Roti putih dibuang bahagian tepi kemudian digelek sehingga nipis dan dipotong dua.
- Gulungkan sosej koktel dengan roti yang telah digelek tadi. Sapukan telur di bahagian hujung untuk melekatkan roti tersebut.
- Celupkan gulungan tadi ke dalam telur kemudian ke dalam serbuk roti.
- Goreng sehingga kuning keemasan.
- Sedia untuk dihidangkan bersama sos cili atau mayones.
7. POTATO & LEEK CASSEROLE

BAHAN-BAHAN:
- 100gm kentang | dipotong dadu
- 60gm whipping cream
- 30gm krim masam
- 50gm bawang holland |dihiris
- 40gm leek | dihiris
- 30gm mentega
- 50gm Shredded Cheddar Cheese
- Garam jika perlu
- Lada hitam jika perlu
CARA MEMASAK:
- Panaskan ketuhar pada suhu 180C.
- Cairkan mentega dalam kuali atas api sederhana, tumis bawang hingga layu dan masukkan leek sehingga wangi.
- Masukkan pula kentang, kacau hingga kentang keperangan, lengkapkan rasa dengan lada hitam dan garam secukup rasa.
- Panaskan whipping cream di dalam periuk, masukkan krim masam biarkan sehingga pekat.
- Masukkan tumisan kentang dan leek dalam mangkuk casserole, tuangkan sos dan taburkan cheddar cheese di atasnya.
- Bakar selama 15-2 minit atau hingga bahagian atasnya kelihatan perang keemasan.
8. SWEDISH MEARBALL PASTA WITH CHEESE SAUCE

BAHAN-BAHAN:
- 150gm pasta bentuk reben | rebus dan tos
Bahan untuk bebola daging:
- 300gm daging cincang
- 1 cawan serbuk roti
- 1 pokok daun bawang | cincang halus
- 1 biji telur
- Sedikit garam
- Sedikit lada sulah
- Sedikit minyak untuk menggoreng
Bahan Sos Keju:
- 150gm krim keju
- 100 susu segar
- 1 keping keju cheddar
- Sedikit garam
CARA MEMASAK:
- Untuk menyediakan bebola daging, campurkan semua bahan kecuali serbuk roti.
- Bentukkan bulat-bulat, kemudian gaulkan dengan serbuk roti dan ketepikan.
- Panaskan sedikit minyak dalam kuali, goreng hingga bebola berwarna keperangan. Angkat dan ketepikan.
- Untuk sediakan sos keju: Campurkan krim keju bersama susu, panaskan di atas api sederhana.
- Kemudian masukkan keju cheddar. Kacau sehingga keju cair. Masukkan sedikit tepung untuk pekatkan sos. Angkat dan ketepikan.
- Sediakan pasta di dalam pinggan, kemudian hiaskan dengan bebola daging di atasnya.
- Akhir sekali tuangkan sos keju di atas hidangan ini.
- Enak dihidangkan panas-panas.
9. POTATO DUMPLINGS

BAHAN-BAHAN:
- 200gm isi ayam | potong dadu kecil
- 1 biji bawang merah | cincang halus
- 1 1/2 cawan kentang lecek
- 1 biji telur ayam
- 1 sudu teh garam
- 1/2 sudu teh serbuk lada hitam
- 1/2 sudu teh serbuk lada sulah
- 1/2 sudu teh serbuk buah pala
- 200gm tepung gandum
- Air secukupnya
- Sedikit minyak
CARA MEMASAK:
- Goreng ayam dengan bawang sehingga perang keemasan.
- Campurkan kentang lecek, telur, garam lada hitam, lada sulah, serbuk buah pala dalam mangkuk. Kacau rata.
- Tambahkan tepung dalam adunan dan uli sehingga menjadi doh.
- Bentukkan doh menjadi beberapa bahagian dumpling
- Ambil dumpling yang telah dibentuk, tekan tengah dan masukkan isi ayam sebagai inti.
- sambil itu panaskan air, apabila mendidih masukkan dumpling sehingga masak.
- Angkat, tos dan hidangkan.
10. TAGLIATELLE CARBONARA BERKARI

BAHAN-BAHAN:
- 250gm pasta tagliatelle | direbus hingga lembut
- 1 ulas bawang merah | hiris halus
- 1 ulas bawang putih | hiris halus
- 1 sudu kecil rempah kari daging
- 5 biji cendawan pilihan | dihiris
- 3 sudu makan minyak masak | untuk menumis
- 1 sudu teh serbuk lada hitam
- 1/2 cawan stok ayam
- Garam secukup rasa
- 125ml krim masakan
- Sedikit lada benggalam merah/kuning/hijau | dipotong dadu
CARA MEMASAK:
- Panaskan minyak dan tumis bawang merah serta bawang putih hingga wangi.
- Masukkan rempah kari dan masak garing. Tambahkan cendawan, stok ayam, lada benggala, serbuk lada hitam dan garam secukupnya.
- Biarkan mereneh sehingga kandungan stok ayam tinggal separuh dari kuantiti asal.
- Masukkan krim masakan. Kacau lagi hingga sebati.
- Masukkan pasta yang telah dimasak dan gaul hingga rata.
- Sedia untuk dihidangkan.
11. MUFIN BAYAM BERLEMAK

BAHAN-BAHAN:
- 25gm mentega
- 200ml susu
- 100gm bayam
- 1 2/3 cawan tepung gandum | diayak
- 1 sudu makan serbuk penaik
- 1 sudu teh soda bikarbonat
- 1 sudu teh serbuk buah pala
- 1/3 cawan keju parmesan | diparut
- 1 biji telur
- 120gm keju krim
- 8 biji tomato ceri
CARA MEMASAK:
- Panaskan mentega dan susu di dalam periuk. Masukkan bayam dan layurkan.
- Kisarkan campuran bayam dan susu sehingga halus. Biarkan sejuk.
- Di dalam mangkuk besar, ayak tepung gandum, serbuk penaik, soda bikarbonat dan serbuk buah pala. Adun rata.
- Masukkan kisaran bayam, telur, keju parmesan dan krim keju ke dalam bancuhan tepung. Gaul hingga sebati.
- Tuang adunan ke dalam acuan. Letakkan tomato ceri dan bakar dalam ketuhar pada suhu 190C selama 20 minit atau sehingga masak.
- Hidangkan.
Info chef: Bagi memudahkan proses mengadun, krim keju hendaklah dipecah-pecahkan menggunakan tangan kepada ketulan kecil.
12. QUICHE BAYAM BERKRIM

BAHAN-BAHAN A (PASTRI):
- 300gm tepung gandum
- 120gm shortening
- 120gm mentega
- 1 biji telur
- 2 sudu makan air sejuk (berais)
- Sedikit garam
BAHAN-BAHAN INTI:
- 150gm bayam | bersihkan dan celur
- 1 cawan krim masakan
- 1 sudu makan mentega
- 1 labu bawang besar | cincang dadu
- 2 ulas bawang putih | cincang halus
- ½ sudu teh oregano kering
- ½ sudu teh basil kering
- Garam, serbuk lada hitam dan lada sulah secukup rasa
- Parutan keju parmesan/cheddar secukupnya | pilihan
CARA MEMASAK:
- Satukan kesemua bahan A dan uli hingga sebati.
- Simpan doh di dalam peti sejuk selama 30 minit. Ketepikan.
- Sementara itu, buat inti quiche. Panaskan mentega di dalam kuali, tumis bawang besar dan bawang putih hingga wangi. Masukkan bayam celur yang dicincang sedikit, krim masakan dan kacau rata. Tambah oregano, basil, lada hitam, lada sulah dan garam secukup rasa. Tutup api. Ketepikan.
- Keluarkan doh dari peti sejuk. Canaikan doh dan letak doh di dalam acuan tart/pai.
- Tuang inti ke dalam acuan doh dan kemaskan keliling acuan.
- Tabur parutan keju secukupnya jika suka.
- Bakar dalam ketuhar yang telah dipanaskan pada suhu 170-180C hingga keperang-perangan.
- Angkat dan sedia dinikmati.
13. SALAD PASTA PELANGI

BAHAN A:
- 250gm pasta spiral | dimasak mengikut arahan pada paket
- 1/2 tin jagung dalam tin
- 200g dada ayam | direbus dan dicarik
- 1 biji lada benggala kuning| dihiris
- 1 biji cili hijau| dihiris
- 2 biji tomato | dipotong dadu
- 3 helai daun salad | dihiris halus
- 1/4 cawan daun ketumbar
- 1 biji bawang merah | dihiris
BAHAN B:
- 5 biji limau nipis | diambil jus dan parutan kulit
- 1 sudu makan madu
- Garam dan lada sulah secukupnya
- 2 sudu makan minyak zaitun
CARA MEMASAK:
- Dalam mangkuk kecil, campurkan kesemua bahan B sehingga sebati. Ketepikan.
- Kemudian masukkan bahan A ke dalam mangkuk besar. Gaul rata. Tuang bahan B dan gaul sekali lagi.
- Masukkan ke dalam peti sejuk selama 30 minit sebelum sedia untuk dinikmati.
Selamat mencuba!
COVID-19: Amalan Sunat Yang Boleh Dilakukan Di Hari Jumaat

Sejak kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac yang lalu, sebarang perhimpunan dan aktiviti yang melibatkan orang ramai telah dilarang. Malah Solat Jumaat juga turut tidak diadakan bagi memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19.
Esok merupakan Jumaat ketiga selepas PKP dilaksanakan dan digantikan dengan solat Zuhur. Walaupun begitu, masih ada lagi amalan-amalan sunat yang boleh dilakukan bersama keluarga. Antaranya ialah:
1. MEMOTONG KUKU

Selain sebagai amalan sunat, memotong kuku juga dapat membersihkan tangan kerana kuku yang panjang boleh menyebabkan kekotoran terkumpul di celah-celah kuku.
Lagikan pula, makan menggunakan tangan antara amalan Sunnah dan menjadi keperluan untuk kita menjaga kebersihan tangan bagi mengelakkan tangan yang kotor memasuk makanan ke dalam mulut.
2. MANDI SUNAT HARI JUMAAT

Sunat mengelokkan rupa paras dan membersihkan anggota tubuh badan sebelum keluar solat seperti memendekkan atau mencukur misai, bulu ketiak, bulu pada kemaluan, menggosok gigi dan sebagainya.
Dalam sebuah hadis pernah dinyatakan bahawa:-
“Tidak mandi seorang lelaki pada hari Jumaat dan membersihkan dirinya setakat yang termampu, seterusnya beliau meminyakkan rambut, mengenakan wangi-wangian harum yang dimilikinya di rumah, lantas dia keluar (ke masjid) dan dia tidak mencelah di antara dua orang (di dalam masjid), lalu dia bersolat apa yang diwajibkan ke atasnya. Dan sesudah itu duduk diam sewaktu imam sedang berkhutbah, melainkan diampunkan segala dosanya dari Jumaat tersebut hinggalah ke Jumaat yang akan datang.” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)
3. BACA SURAH AL-KAHFI

Membaca surah al-Kahfi ini antara surah yang menjadi pilihan kerana mempunyai pelbagai kelebihan yang boleh kita dapati, antaranya ialah dapat menghindarkan diri kita daripada fitnah Dajal dan pelbagai lagi.
Tambahan pula, surah ini terdiri daripada kisah penduduk gua, pemilik dua kebun, Nabi Musa dan Nabi Khidir serta kisah Zul Qarnain yang mengandungi teladan dan pengajaran yang banyak.
Rasulullah bersabda,
“Sesiapa yang membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat nescaya akan diterangkannya dengan satu cahaya di antara dua Jumaat.”(Hadis riwayat al-Nasaei, al-Baihaqi dan al-Hakim)
4. MEMAKAI PAKAIAN YANG ELOK

Memakai pakaian yang elok sangat dituntut terutamanya pada ketika hendak menunaikan solat. Tambahan pula, pakaian yang elok akan memperlihatkan identiti dan peribadi sesorang Muslim terhadap orang lain.
Cukup sekadar memakai pakaian yang bersih dan nampak cantik. Tidak perlu sentiasa membeli pakaian baru sedangkan pakaian lama masih elok kerana takut berlaku pembaziran.
5. MEMAKAI BAU-BAUAN

Memakai wang-wangian antara amalan sunat yang digalakkan sebelum solat seperti bau di syurga juga adalah wangi.
Akan tetapi, wangian yang dipakai hanya cukup sekadar keperluan kerana jika berlebihan dikuatiri akan menganggu jemaah lain yang turut sama menunaikan solat.
6. BANYAKKAN ZIKIR & DOA
Berzikir dan berdoa tidak terhad ketika selepas solat sahaja, malah amalan ini juga sangat digalakkan ketika memulakan pekerjaan dan menyudahinya.
Pada hari Jumaat terdapat waktu mustajab untuk berdoa berdasarkan pendapat majoriti ulama iaitu makbulnya doa yang dibaca di antara dua khutbah, iaitu ketika imam sedang duduk antara khutbah pertama dan khutbah kedua.
7. BERSELAWAT
Setiapkali khutbah Jumaat, khatib akan mengingatkan para jemaah untuk berselawat ke atas Rasulullah kerana terdapat kelebihan berselawat dan juga salah satu tanda kecintaan kita kepadanya.
Rasulullah s.a.w bersabda,
“Perbanyakkanlah membaca selawat padaku pada malam dan hari Jumaat, maka siapa yang membaca selawat untukku satu kali, Allah akan berselawat kepadanya 10 kali (Allah akan memberinya rahmat 10 kali).” (Hadis Riwayat Al-Baihaqi)
8. BANYAKKAN SOLAT SUNAT

Selain solat fardu yang diwajibkan, kita digalakkan untuk menunaikan solat-solat sunat seperti solat Dhuha dan solat sunat Rawatib.
Digalakkan juga untuk bangun sepertiga malam untuk menunaikan solat sunat tahajud dan lain-lain bagi menambahkan amalan sebagai tanda kwtakwaan kita kepada Allah S.WT.
Sangat rugi jika kita tidak mengambil kelebihan ini untuk kita perbanyakkan amalan semasa hari Jumaat. Jangan disebabkan terlalu sibuk dengan pekerjaan, kita terlupa dan terlepas untuk memperbanyak beribadah.
Sumber: Al-Kafi li al-Fatawi Mufti Wilayah Persekutuan & Alaf21
IKUTI INFO MENGENAI COVID-19:
Covid-19: Fikir Positif, Terus Berdoa & Jangan Putus Berharap – Chef Suhaili
Covid-19: FAMA Bakal Buka Pusat Jualan Barangan Segar Terkawal & Buat Jualan Secara ‘Online’

