KKM Arah 2 Produk Ikan Sardin Tin Keluaran China Ditarik Balik Dari Pasaran Tempatan.

Share

Kecoh di media sosial mengenai laporan penemuan cacing mati yang ditemui dalam  produk ikan sardin tin yang diimport dari negara China. Kes yang berlaku di Indonesia itu telah menyebabkan pihak Badan Pengawas Obat dan Makanan (BPOM), Indonesia mengarahkan tiga pengimport produk ikan sardin dalam tin untuk menarik balik produk dari pasaran setelah pemeriksaan menunjukkan cacing mati ditemui dalam produk mereka yang diimport dari negara China.

 

Sehubungan dengan itu, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia; Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menerusi kenyataan medianya berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan sentiasa menjalankan pemantauan ke atas produk makanan import termasuk produk ikan sardin dan ikan mackerel dalam tin.

 

Dalam isu ini, hasil analisis mendapati Canned Sardines in Tomato Sauce berjenama TL Tan Lung keluaran syarikat Fujian Yongfa Co. Ltd dan Sardines in Tomato Sauce berjenama TLC keluaran syarikat Dongshan Dongyi Foods Co. Ltd. dari negara China tidak mematuhi Akta Makanan 1983 kerana mengandungi bendasing iaitu nematoda (sejenis cacing)

daripada Genus Anisakis spp.

Sehubungan itu menurut beliau lagi, tindakan penguatkuasaan telah diambil oleh KKM di mana syarikat pengimport terlibat telah diarah memanggil balik produk-produk tersebut dari pasaran. 

 

KKM juga akan terus menjalankan pemantauan ke atas produk ikan sardin dan mackerel dalam tin yang diimport di semua pintu masuk negara dan di pasaran dan sekiranya didapati tidak mematuhi Akta Makanan 1983, tindakan penguatkuasaan akan diambil.

 

Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi Jabatan Kesihatan Negeri atau Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat atau hubungi KKM melalui laman web http://moh.spab.gov.my atau laman facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan www.facebook.com/bkkmhq jika terdapat sebarang aduan berkaitan kebersihan dan keselamatan makanan.

 

Sumber: Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

Published by
Nur