Koleksi 10 Resipi Tradisi Pahang. Padu Sedapnya Makan Sampai Berpeluh-Peluh.

Share

Lain daerah lain cita rasa, itulah yang dapat digambarkan untuk masakan tradisional negeri Pahang, menu ikan sungai atau air tawar seperti Patin, Talapia dan  Lampam cukup ‘gu’ dengan tempoyak mahupun asam rom yang hanya ada di Pahang sahaja. Terutamanya daerah Kuala Lipis, Jerantut dan Temerloh. Sementara di Pekan,  Bandar Diraja Pahang, Daging Opor dan Daging Pechok lebih popular, enaknya memang lain dari yang lain. Jika anda ingin mencuba, berikut disertakan 10 masakan tradisional negeri Pahang.

 

1. OPOR DAGING PAHANG

BAHAN-BAHAN:

  • 1kg daging
  • 3 sudu makan kerisik
  • 2 sudu makan rempah opor
  • 2 sudu makan pes cili kering
  • 1/2 cawan air asam Jawa
  • 4 cawan santan
  • 3 batang serai | titik
  • 100g kerisik
  • 6 sudu makan minyak masak
  • Garam dan gula  secukup rasa

BAHAN KISAR:

  • 12 ulas bawang merah
  • 6 ulas bawang putih
  • 3cm halia
  • 2m belacan

BAHAN REMPAH PENUMIS:

  • 4sm kayu manis
  • 2 kuntum bunga lawang
  • 4 kuntum bunga cengkih
  • 4 biji buah pelaga

CARA MEMASAK:

  1. Tumis bahan rempah penumis hingga naik bau.
  2. Seterusnya, masukkan bahan kisar dan pes cili kering. Tumis sehingga wangi.
  3. Masukkan daging bersama sedikit air dan masak hingga mendidih.
  4. Setelah air kering, masukkan santan dan rempah opor yang dibancuh dengan sedikit air.
  5. Biarkan mendidih dan masak sehingga daging empuk dan kering sedikit.
  6. Masukkan air asam jawa, serai dan kerisik.
  7. Gaul mesra, Perasakan dengan garam dan gula. Biarkan reneh sebati di atas api kecil.
  8. Apabila kuah pekat dan terbit minyak.
  9. Tutup api dan opor sedia dihidangkan.

 

2. PAIS TEMPOYAK IKAN TALAPIA

BAHAN-BAHAN:

  • 1 ekor ikan Talapia | lebih kurang 300gm
  • 5 sudu makan tempoyak
  • Daun & aluminium foil secukupnya
  • Garam dan gula secukupnya

BAHAN KISAR:

  • 3 ulas bawang merah3
  • 3cm kunyit hidup
  • 10 biji cili padi

BAHAN HIRISAN:

  • 2 helai daun kunyit
  • 6 tangkai daun kesum | ambil daun sahaja
  • 1 papan petai | buang kulit

CARA MEMASAK:

  1. Bersihkan ikan Talapia kemudian toskan.
  2. Campurkan bahan kisar bersama tempoyak dan bahan hirisan. Gaul rata.
  3. Perasakan dengan garam dan jika terlalu masam tambahkan sedikit gula.
  4. Masukkan bahan campuran dalam perut ikan dan salut badannya dengan bahan campuran tempoyak tadi.
  5. Balut dengan daun pisang dan kemaskan balutan dengan aluminium foil.
  6. Bakar dalam ketuhar atau pemanggang ajaib.

 

3. DAGING PECHOK PAHANG

BAHAN-BAHAN:

  • 1kg daging batang pinang
  • Sedikit garam
  • Sedikit halia kisar
  • Sedikit bawang merah kisar
  • Sedikit bawang putih kisar

BAHAN SOS:

  • 1 cawan santan pekat
  • 4 sudu makan kerisik
  • 1 biji bawang besar | dadu kecil
  • 1 sudu makan lada hitam | kisar kasar
  • 1 biji cili merah | hiris halus

 CARA MEMASAK:

  1. Potong daging kepada beberapa bahagian.
  2. Gaulkan daging dengan garam serta semua bahan kisar.
  3. Panaskan ketuhar dan bakar daging hingga masak.
  4. Setelah masak hiris nipis dan ketepikan.
  5. Untuk menyediakan bahan sos, campurkan semua bahan sos dan gaul rata.
  6. Panaskan atas api kecil dan sentiasa kacau.
  7. Perasakan dengan sedikit garam dan gula jika perlu.
  8. Setelah mendidih tutup api dan tuang sos di atas hirisan daging.
  9. Pechok Daging sedia dihidangkan.

 

 4. GULAI AYAM KAMPUNG PAHANG

  • 1 ekor ayam | potong kecil, cuci dan tos
  • 3 cawan santan | 1cawan santan cair + 2 cawan santan pekat
  • 2 keping asam gelugor
  • 1 helai daun kunyit | carik-carik
  • 2 batang serai | titik
  • 1 sudu makan ketumbar biji | kisar kasar
  • 1 sudu teh jintan manis | kisar kasar
  • 1 sudu teh jintan putih | kisar kasar

BAHAN KISAR:

  • 12 biji cili padi | boleh tambah jika ingin lebih pedas
  • 6 ulas bawang merah
  • 3 ulas bawang putih
  • 3cm kunyit hidup | boleh juga guna serbuk kunyit
  • 3cm lengkuas | hiris nipis

CARA MEMASAK:

  1. Gaulkan ayam bersama bahan kisar. Perapkan lebih kurang 10 minit.
  2. Kemudian tambahkan santan cair dan masukkan ketumbar, jintan manis dan jintan putih.
  3. Gaul rata dan renehkan di atas api sederhana.
  4. Setelah mendidih dan isi ayam empuk.
  5. Masukkan santan pekat, asam gelugor,daun kunyit dan serai.
  6. Terus renehkan, kemudian perasakan dengan garam dan gula secukup rasa.
  7. Biarkan terus mereneh dalam 2-3 minit lagi baru tutup api.
  8. Gulai ayam sedia dihidangkan.

 

5. IKAN PATIN SAMBAL CILI PADI

BAHAN-BAHAN:

  • 1 ekor ikan patin | cuci bersih dan toskan
  • Sedikit serbuk kunyit
  • Sedikit garam galus
  • 2 sudu makan tepung gandum
  • 2 sudu makan air asam Jawa
  • 1 sudu makan sos tiram
  • Garam dan gula secukup rasa
  • 3 batang serai | hiris halus
  • Minyak masak secukupnya | untuk menggoreng dan menumis

BAHAN KISAR:

  • 1 biji bawang besar
  • 3 ulas bawang merah
  • 3 ulas bawang putih
  • 10 biji cili padi
  • 2 biji cili merah

CARA MEMASAK:

  1. Gaulkan ikan patin yang dibersihkan dengan garam dan serbuk kunyit. Kemudian taburkan tepung gandung.
  2. Panaskan minyak  dalam kuali, goreng ikan patin hingga garing. Angkat dan ketepikan.
  3. Keluarkan minyak, tinggalkan sedikit untuk menumis.
  4. Tumiskan bahan kisar bersama serai hingga naik bau dan pecah minyak.
  5. Masukkan sos tiram, air asam Jawa, garam dan gula secukup rasa.
  6. Kecilkan api, kemudian masukkan ikan yang telah digoreng.
  7. Gaul rata dan tutup api.
  8. Sambal ikan patin sedia dihidangkan.

 

6. SIPUT SEDUT GULAI ASAM ROM

BAHAN-BAHAN:

  • 1 kg siput sendut | buang ekor, bersih dan tos.
  • 1 cawan terung pipit | buang tangkai dan belah sedikit
  • Sedikit daun pucuk paku | ambil pucuk dan daun sahaja
  • 3 sudu makan Asam Rom
  • Garam dan gula secukup rasa
  • Air secukupnya

BAHAN KISAR:

  • 20 biji cili padi
  • 3cm kunyit hidup

CARA MEMASAK:

  1. Masukkan siput sedut yang telah dibesihkan dalam periuk.
  2. Tambahkan bahan kisar, terung pipit, pucuk paku dan air menutup paras siput sedut.
  3. Didihkan di atas dapur dengan api sederhana.
  4. Setelah mereneh, perasakan dengan garam dan gula secukup.
  5. Setelah masak dan cukup rasa. Tutup api.
  6. Sedia dihidangkan.

 

7. ASAM  TEMPOYAK KELADI KEMAHANG DAUN KESUM

BAHAN-BAHAN:

  • 3-4  pokok Keladi Kemahang muda
  • 3 sudu makan tempoyak
  • 6 pucuk daun kesum
  • 1 kuntum bunga kantan
  • Air secukupnya
  • Garam dan gula secukupnya
  • 1 keping asam gelugor | jika tempoyak kurang masam
  • Sedikit ikan bilis

BAHAN KISAR:

  • 10 biji cili padi
  • 3cm kunyit hidup

CARA MEMASAK:

  1. Buangkan kulit ari batang keladi dan potong 4cm. Isi keladi buang kulit dan potong dadu.
  2. Masukkan dalam periuk bahan kisar, asam tempoyak dan air, kemudian kacau rata.
  3. Masukkan batang keladi, ikan bilis dan renehkan di atas api sederhana.
  4. Setelah isi keladi empuk dan batangnya layu, masukkan asam keeping jika kurang masam.
  5. Seterusnya masukkan daun kesum, bunga kantan dan perasa dengan garam dan gula secukup rasa.
  6. Tutup api dan sedia dihidangkan panas-panas.

 

8. GULAI KULAT SISIR CAMPUR DAGING  TETEL

BAHAN-BAHAN:

  • 300gm kulat sisir | celur dan toskan
  • 150gm daging tetel | celur dan hiris kecil
  • 300ml santan
  • 3 sudu makan rempah kari daging | bancuh dengan sedikit air
  • 2 sudu makan pes cili kering
  • 1 sudu makan air asam Jawa
  • 1 batang serai | titik
  • Garam dan gula secukup rasa
  • 4 sudu makan minyak masak

BAHAN KISAR KASAR:

  • 6 ulas bawang merah
  • 4 ulas bawang putih
  • 2cm halia

CARA MEMASAK:

  1. Panaskan minyak masak, tumis bahan kisar hingga naik bau.
  2. Masukkan pes cili dan serai yang telah dititik tadi.
  3. Setelah pecah minyak masukkan rempah kari, kacau rata.
  4. Setelah garing masukkan kulat sisir dan daging cincang, diikuti santan dan air asam Jawa.
  5. Kacau dan biarkan mereneh atas api sederhana.
  6. Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa.
  7. Setelah masak dan cukup rasa, tutup api dan sedia dihidangkan.

 

9. AYAM GULAI ASAM TEMPOYAK

BAHAN-BAHAN:

  • 1 kg ayam  | potong kecil, cuci dan tos
  • 2 sudu makan tempoyak
  • 2 batang serai | titik
  • 5 tangkai daun kesum | ambil daun sahaja
  • 1 kuntum bunga kantan | jika suka
  • 1 keping asam gelugor | jika tempoyak kurang masam
  • Garam dan gula secukup rasa

BAHAN KISAR:

  • 15 biji cili padi
  • 3cm kunyit hidup

CARA MEMASAK:

  1. Campurkan bahan kisar bersama tempoyak dan ayam.
  2. Gaul rata dan tambahkan sedikit air.
  3. Renehkan di atas dapur menggunagakan api sederhana.
  4. Setelah mendidih, masukkan serai, daun kesum, bunga kantan.
  5. Jika kurang masak, tambahkan asam gelugor.
  6. Kemudian perasakan dengan garam dan gula secukup rasa.
  7. Setelah ayam empuk, tutup api dan sedia dihidangkan.

 

10. RENDANG  PAHANG

BAHAN-BAHAN:

  • 1kg daging | hiris nipis lebar
  • 1 liter santan pekat
  • 1/2 cawan air asam Jawa
  • 1 helai daun kunyit | siat-siatkan
  • 4 helai daun limau purut | siat-siatkan
  • 3 batang serai | titik
  • 3 sudu makan kicap pekat manis
  • Garam dan gula secukup rasa
  • 1/2 cawan minyak masak

BAHAN HIRIS:

  • 5 ulas bawang merah
  • 4 ulas bawang putih

BAHAN KISAR:

  • 10 tanagkai cili kering
  • 8 ulas bawang merah
  • 4 ulas bawang putih
  • 3cm lengkuas
  • 3cm kunyit hidup
  • 2cm halia
  • 4 biji buah keras

CARA MEMASAK:

  1. Cuci daging kemudian tos dan ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam kuali, tumis hirisan bawang merah dan putih.
  3. Kemudian masukkan bahan kisar, kacau hingga pecah minyak.
  4. Seterusnya masukkan daun kunyit, daun limau purut dan serai.
  5. Kacau lagi dan masukkan daging. Gaul rata dan biarkan mereneh hingga air kering.
  6. Masukkan santan dan air asam Jawa, biarkan hingga daging empuk dan kuah pekat.
  7. Perasakan dengan kicap pekat manis, garam dan gula secukup rasa.
  8. Kecilkan api apabila kuah pekat dan sentiasa kacau hingga rendang sedikit garing.
  9. Tutup api, rendang sedia dihidangkan.

 

 

 

 

Published by
Norasida Myasin