Aneka agar-agar, puding dan jeli sering mengoda selera. Lembut, sejuk selain warna warni dan kepelbagai rasa menjadikan ia sesuai dijadikan juadah pencuci mulut dan menjadi pilihan untuk dihidangkan di majlis-majlis kenduri serta rumah terbuka.  Bagi anda yang cuba hasilkan sendiri manisan buat tetamu yang datang berkunjung, resipi-resipi yang RASA kongsikan ini memang sangat sesuai. Selamat mencuba!

 

1. PUDING ROTI COKLAT SUSU 

 BAHAN-BAHAN:

  • 8 keping biskut jagung
  • 2 keping roti
  • 300ml susu cair
  • 2 biji telur
  • 1/2  cawan susu pekat
  • 2 sudu besar serbuk koko

CARA MEMASAK

  1. Kisar roti, biskut jagung dan susu cair.
  2. Masukkan telur dan susu pekat. Kisar  lagi hingga licin.
  3. Bahagi kepada dua bahagian. Satu bahagian dimasukkan serbuk koko dan satu bahagian dibiarkan warna asal.
  4. Panaskan kukusan dan kukuskan bahagian serbuk koko.
  5. Bila sudah masak, tuangkan pula bahagian yang bewarna asal.
  6. Kukus hingga masak.
  7. Angkat dan sejukkan.

INFO CHEF: Puding ini enak dihidangkan dengan sirup strawberi.

 

2. PUDING MANGGA

BAHAN-BAHAN:

  • 1 liter susu segar
  • 10gm agar-agar
  • Sedikit perisa mangga
  • Sedikit pewarna kuning
  • 200gm gula
  • 1 biji buah mangga | isinya dipotong dadu

CARA MEMASAK:

  1. Masukkan agar-agar , gula, susu dan masak hingga gula larut.
  2. Masukkan perisa mangga dan pewarna. Kacau perlahan hingga mendidih.
  3. Sediakan acuan dan tuangkan agar-agar di dalam.
  4. Taburkan buah mangga yang telah dipotong dadu.

INFO CHEF: Selain mangga anda boleh tukar buah lain yang bersesuaian atau masukkan nata de coco.

 

3. AGAR-AGAR RINTIK PANDAN

BAHAN A:

  • 1/2 sudu makan agar-agar serbuk
  • 250ml santan cair
  • 1 sudu makan gula pasir
  • Sedikit pewarna hijau

BAHAN B:

  • 1/2 sudu besar agar-agar
  • 500ml air
  • 100gm gula merah
  • 1 sudu makan tepung kastard campur 2 sudu makan  air
  • 2 helai daun pandan

CARA MEMASAK:

  1. Untuk  menyediakan bahan A. Campurkan semua bahan dan masak sehingga mendidih.
  2. Tuangkan ke dalam loyang dan biarkan keras.
  3. Potong kecil-kecil dan biarkan sebentar.
  4. Untuk menyediakan bahan B. Masak air, daun pandan, gula merah dan agar-agar hingga larut. Masukkan tepung kastard.
  5. Masak hingga mendidih.
  6. Angkat dan tuangkan ke dalam loyang yang telah berisi dengan potongan agar-agar tadi.

INFO CHEF: Bahagian A boleh diwarnakan ikut citarasa anda.

 

4. AGAR-AGAR ABC

IKLAN

BAHAN A:

  • 10gm agar-agar
  • 700ml air
  • 180 gm gula merah
  • 2 helai daun pandan

BAHAN B:

  • 30gm agar-agar
  • 1600ml air
  • 1 tin susu cair
  • 300gm gula
  • 1/2 tin krim jagung campur sedikit pewarna kuning
  • 100gm kacang merah campur sedikit pewarna merah jambu
  • 100gm cendol campur sedikit pewarna hijau

CARA MEMASAK:

  1. Satukan bahan A, masak hingga mendidih.
  2. Tapiskan dan tuang ke dalam loyang. Biarkan sejuk.
  3. Satukan bahan B(air, agar-agar dan gula),masak sehingga larut.
  4. Kemudian, masukkan susu, kacau rata.
  5. Angkat dan bahagikan kepada tiga bahagian(satu bahagian campurkan dengan krim jagung, satu bahagian kacang merah dan satu bahagian dengan cendol).
  6. Cakarkan permukaan A, tuangkan campuran jagung. Biarkan beku.
  7. Tuangkan pula lapisan cendol di atasnya dan biarkan beku.
  8. Akhir sekali, tuangkan lapisan kacang merah di atas lapisan jagung dan biarkan beku.

INFO CHEF: Campuran sedikit warna pada lapisan jagung, cendol dan kacang merah untuk memberikan seri warna pada agar-agar.

 

5. PUDING JELLY POLKADOT

BAHAN-BAHAN:

  • 10gm agar-agar
  • 500ml air
  • 1/2  tin susu cair
  • 100gm gula
  • 1 sudu makan tepung kastard
  • 1 1/2 sudu besar pati buah
  • Fruity jelly secukupnya

CARA MEMASAK:

  1. Masak agar-agar dengan air hingga larut.
  2. Masukkan gula dan masak hingga larut.
  3. Angkat dan masukkan bancuhan susu cair dan tepung kastard. Masak seketika.
  4. Susun jelly di dalam acuan dan tuangkan agar-agar perlahan-lahan.

INFO CHEF: Semasa masak bancuha susu cair dan tepung kastard gunakan api sederhana dan kecil agar tidak berketul.

 

6. PUDING JAGUNG MANIS

BAHAN-BAHAN:

  • 15gm agar-agar
  • 700ml air
  • 150gm gula
  • 200ml susu cair | dikisar halus
  • 1 tin kecil jagung | dikisar halus
  • 1 sudu makan tepung kastard |dikisar halus

CARA MEMASAK:

  1. Masak agar-agar hingga hancur dan masukkan gula.
  2. Masukkan susu cair, jagung dan tepung kastard. Sebatikannya, tuangkan ke dalam agar-agar dan masakkan seketika.
  3. Tuangkan dalam acuan kemudian sejukkan.

INFO CHEF:  Selain jagung anda boleh menggunakan laici dalam tin untuk resipi ini.

 

7. PUDING BUAH

BAHAN-BAHAN:

  • 20gm agar-agar
  • 1 liter air
  • 1 tin susu cair
  • 200gm gula
  • 200ml sirap buah koktel
  • 2 sudu makan tepung kastard

CARA MEMASAK:

  1. Masak agar-agar hingga larut.
  2. Masukkan gula dan biarkan ianya mendidih.
  3. Masukkan sirap, susu cair dan tepung kastard.
  4. Masukkan buah koktel. Biarkan sebentar.
  5. Tuangkan ke dalam acuan.

INFO CHEF: Untuk hidangan lebih sedap hidangkan puding ini bersama aiskrim vanilla

 

 8. AGAR-AGAR KACANG MERAH

BAHAN-BAHAN:

  • 10gm agar-agar
  • 250ml air
  • 750ml susu cair
  • 200gm gula pasir
  • 100gm kacang merah (rendam dan rebus hingga empuk)
  • Sedikit pewarna (jika suka)

CARA MEMASAK

  1. Kisar kacang merah yang telah di rebus. Ketepikan.
  2. Masak agar-agar, susu cair, air dan gula sehingga mendidih. Masukkan kacang merah.
  3. Masak hingga mendidih dengan api perlahan.
  4. Angkat dan tuangkan ke dalam acuan.

INFO CHEF: Anda boleh tukarkan susu dengan santan untuk rasa yang lebih lemak.

 

 9. AGAR-AGAR BUAH NAGA

BAHAN-BAHAN:

  • 200gm buah naga |ambil isi dan blend
  • 10gm agar-agar serbuk
  • 125 gm gula pasir
  • 900ml air
  • Sedikit esen ros

CARA MEMASAK:

  1. Masak agar-agar, air dan gula hingga mendidih. Masukkan isi buah naga yang di blend dan biarkan ianya mendidih seketika.
  2. Angkat dan masukkan esen ros. Tuangkan ke dalam acuan.

INFO CHEF: Selain buah naga, anda boleh gunakan buah-buahan lain.

 

10. AGAR-AGAR KELAPA MUDA

BAHAN-BAHAN:

  • 10gm agar-agar
  • 1 cawan air
  • 4 1/2  cawan air kelapa muda
  • 3/4 cawan gula
  • Isi kelapa muda yang dipotong halus.

CARA MEMASAK:

  1. Masak agar-agar dan 1 cawan air hingga hancur.
  2. Masukkan gula dan masak hingga gula hancur.
  3. Campur air kelapa dan masak sebentar.
  4. Tuangkan ke dalam bekas yang telah diisikan dengan kelapa yang dipotong halus.

INFO CHEF: Masukkan jeli ini dalam peti sejuk, keluarkan bila ingin menghidangkannya.

 

11.  AGAR-AGAR CENDOL

BAHAN A : LAPISAN CENDOL

  • 750ml air
  • 170gm gula
  • 10gm agar-agar
  • 250ml santan
  • 1 sudu makan tepung jagung
  • Cendol secukupnya

BAHAN B: LAPISAN GULA MELAKA

  • 750ml air
  • 250gm gula melaka | diracik halus
  • 10gm agar-agar
  • 250ml santan

CARA MEMASAK:

  1. Untuk menyediakan bahan A.Masak air, gula dan agar-agar hingga larut.
  2. Satukan santan dan tepung jagung, kacau agar tidak bergentel.
  3. Tapiskan dan tuangkan ke dalam agar-agar.
  4. Masak sebentar hingga mendidih.
  5. Angkat dan biarkan suam baru masukkan cendol.
  6. Biarkan ianya keras.
  7. Untuk menyediakan bahan B.Masak air, gula melaka dan agar-agar hingga larut.
  8. Masukkan santan, kacau sebentar.
  9. Akhir sekali, tuangkan keatas lapisan cendol yang telah keras.

INFO CHEF:  Selain cendol anda boleh tukar dengan bahan lain seperti kacang merah atau jagung ikut citarasa ahli keluarga anda.