Salah satu menu wajib ada mengisi meja pengantin makanan beradab adalah ayam golek. Ha..Memang geram melihat hidangan ni. Jika anda bakal mengadakan majlis kenduri perkahwinan, resipi-resipi ini anda boleh cuba. Mudah dan dijamin sedap!
1. AYAM GOLEK SOS THAI
BAHAN-BAHAN:
- 1 ekor ayam | bersih dan tos
- 1 sudu makan serbuk kunyit
- 1 sudu teh serbuk jintan manis
- 1 sudu teh serbuk jintan putih
- Garam secukupnya
- Minyak secukupnya untuk menggoreng
- Bahan Sos Thai::
- 4 ulas bawang putih | cincang
- 4 biji cili merah | kisar kasar
- 3 sudu makan sos cili
- 2 sudu makan cuka
- Garam dan gula secukup rasa
- Sedikit daun ketimbar | hiris
- Minyak untuk menumis
CARA MEMASAK:
- Gaulkan ayam dengan semua bahan perapan dan garam. Perapkan 30 minit.
- Panaskan minyak, goreng ayam hingga keperangan. Angkat dan ketepikan.
- Sementara itu, panaskan minyak dalam kuali lain, tumiskan bawang putih hingga wangi. Kemudian masukkan bahan kisar. Kacau hingga pecah minyak
- Seterusnya masukkan sos cili, cuka dan hirisan daun ketumbar.
- Perasakan dengan garam dan gula secukupnya.
- Tutup api, tuangkan sos ke atas ayam dan hidangkan.
INFO CHEF: Anda boleh kukus ayam yang telah digaul dengan bahan perapan, sebelum digoreng untuk mendapatkan isi ayam lebih lembut dan garing di luar apabila digoreng.
2. AYAM PERCIK
BAHAN-BAHAN:
Bahan Ayam:
- 1 ekor ayam | bersihkan
- Garam secukupnya
- Sedikit serbuk kunyit
- 1 sudu teh serbuk ketumbar
- 1 sudu teh serbuk jintan manis
- 1 sudu teh serbuk jintan putih
- 1 sudu teh lada sulah
- Minyak masak secukupnya untuk menggoreng
Bahan Sos Percik:
- 1 liter santan pekat
- 4 biji bawang besar | kisar
- 3 ulas bawang putih | kisar
- 4cm halia | kisar
- 3cm lengkuas | kisar
- 3cm kunyit hidup | kisar
- 3 biji cili merah | kisar
- 3 batang serai | kisar
- Garam dan gula secukup rasa
CARA MEMASAK:
- Untuk menyediakan ayam golek, gaulkan ayam dengan bahan perapan.
- Panaskan pengukus dan kukus lebih kurang 15 minit. Angkat dan ketepikan.
- Panaskan minyak dalam kuali (minyak mesti banyak dan panas). Goreng ayam hingga keperangan. Angkat dan letakkan di atas pinggan hidangan.
- Menggunakan kuali lain, panaskan sedikit minyak.
- Tumiskan bahan kisar hingga naik bau.
- Masukkan pula santan, garam dan gula secukupnya.
- Apabila kuah mula pekat, kecilkan api. Biar kuah mereneh hingga timbul minyak.
- Akhir sekali, tutup api dan tuangkan kuah di atas ayam sebelum dihidangkan.
INFO CHEF: Pes percik boleh disediakan awal dan disimpan dalam peti sejuk. Panaskan semula sebelum digunakan. Ia membantu kerja anda menyiapkan hidangan pengantin.
3. AYAM GOLEK SAMBAL MERAH
BAHAN-BAHAN:
Bahan Ayam:
- 1 ekor ayam | bersih dan tos
- Garam secukupnya
- Sedikit serbuk kunyit
Bahan Sambal:
- 3 biji bawang besar | kisar
- 3 ulas bawang putih | kisar
- 6cm halia | kisar
- 2 batang serai | kisar
- 3 sudu makan pes cili kering
- 100ml susu cair
- 1 sudu makan air asam jawa
- Gula secukup rasa
- Garam secukup rasa
- Minyak masak secukupnya untuk menggoreng dan menumis
Rempah penumis:
- 1 batang kulit kayu manis
- 1 kuntum bunga lawang
- 3 biji buah pelaga
CARA MEMASAK:
- Untuk menyediakan ayam golek. Gaulkan ayam dengan garam dan kunyit.
- Panaskan pengukus, kukus ayam lebih kurang 15 minit, angkat dan toskan.
- Panaskan minyak dalam kuali (pastikan minyak banyak dan panas), goreng ayam hingga keperangan. Angkat dan siapkan dalam pinggan hidangan.
- Untuk menyediakan sambal, keluarkan minyak, tinggal sedikit untuk menumis, tumis bahan kisar hingga wangi, masukkan pes cili. Kacau rata.
- Selepas beberapa minit, masukkan air asam jawa, susu cair, garam dan gula secukup rasa.
- Kecilkan api, biarkan kuah sambal mereneh seketika dan timbul minyak.
- Tutup api, dan tuangkan sambal di atas ayam golek yang telah digoreng tadi.
INFO CHEF: Jika tidak mahu menggunakan cili kering boleh tukar dengan cili merah. Atau ingin lebih pedas boleh campur cili padi.
4. AYAM PANGGANG KETUHAR
BAHAN-BAHAN:
- 1 ekor ayam saiz sederhana
- 1 batang seleri |potong empat
- 1 sudu teh herba thyme
- 1 sudu teh rosemary
- 1 biji bawang besar |belah dua
- Beberapa tangkai daun parsli
- 1 helai daun bay
- 1 sudu makan serbuk lada hitam
- 2 sudu makan sos tiram
- 1 sudu makan sos Lea & Perrins
- 4 ulas bawang putih |tumbuk halus
- 1-2 sudu teh serbuk brown sauce (untuk membuat sos)
- Sedikit tepung jagung/ gandum (untuk membuat sos)
CARA MEMASAK:
- Perapkan ayam bersama rosemary, thyme, sos tiram, sos Lea & Perrins, lada hitam, bawang putih dan garam.
- Sumbatkan hirisan seleri, parsli, separuh daripada bawang besar di dalam perut ayam. Perap di dalam peti sejuk selama 2-3 jam.
- Kemudian, keluarkan ayam dan bakar selama 1 jam atau lebih mengikut cita rasa pada suhu 200 C. Sapukan mentega dua atau tiga kali di permukaan ayam sehingga masak dan kulitnya garing.
- Apabila ayam masak, rehatkan buat seketika. Ketepikan.
- Untuk membuat sos; lebihan jus ayam yang dipanggang tadi diambil dan campurkan bersama baki bawang besar yang dihiris, seleri, parsli yang telah dipanggang dan daun bay.
- Masak kesemua bahan di dalam kuali dan campurkan brown saucedan sedikit tepung untuk memekatkannya. Boleh juga ditambahkan sedikit air mengikut cita rasa anda.
- Angkat dan tapis, ambil jusnya sahaja.
- Hidangkan bersama kentang rebus dan sayur-sayuran mengikut cit rasa masing-masing.
INFO CHEF: Selepas sos ditapis, masukkan sedikit mentega ke dalam sos agar lebih sedap dan sos nampak berkilat cantik.
5. AYAM BARBEQUE MADU
BAHAN-BAHAN:
- 1 ekor ayam | saiz sederhana | bersih dan toskan
- 1 biji bawang besar | kisar
- 3 ulas bawang putih | kisar
- 3cm halia muda | kisar
- 1 sudu makan serbuk jintan manis
- 1 sudu makan serbuk jintan putih
- 1 sudu makan serbuk ketumbar
- 1 sudu makan serbuk kunyit
- 3 sudu makan madu
- 1 sudu makan kicap pekat manis
- Garam secukup rasa
CARA MEMASAK:
- Gaulkan bahan kisar dan semua rempah ratus, madu, kicap pekat manis dan garam pada keseluruhan bahagian ayam termasuk bahagian dalam.
- Masukkan dalam bekas dan perapkan satu malam dan simpan dalam peti ais.
- Kemudian bakar atau panggang dalam ketuhar setelah separuh masak sapukan lagi dengan bahan rempah barbeque agar ayam tidak terlalu kering.
- Setelah masak boleh hidangkan dengan sos cili atau sos lada hitam.
INFO CHEF: Jika suka, keluarkan ayam dari ketuhar, masukkan tomato ceri dalam dulang pembakar bersama hirisan lemon untuk penambah rasa.