Koleksi Resipi Lauk Berkari Paling Mudah & Buka Selera.

Share

Serbuk dan daun kari biasanya banyak digunakan dalam masakan India. Selain kaya nilai khasiat, rempah ni bukan sahaja menyedapkan masakan malah boleh menaikkan selera. Bagi anda yang sukakan lauk pauk berempah yang kaya dengan bau wangi kari, menu-menu ni boleh dicuba.

 

1. UDANG GORENG KARALA

BAHAN-BAHAN:

  • 200gm udang segar saiz XL | buang kepala
  • 1 sudu teh serbuk kunyit
  • 1 sudu teh serbuk lada sulah
  • 4 sudu makan minyak masak
  • 1 sudu teh mustard
  • 1 tangkai daun kari
  • 1 sudu teh serbuk cili
  • 1 biji cili merah| cincang kasar
  • 1 biji bawang besar| hiris bulat
  • 1 biji limau nipis | ambil jus
  • Sedikit daun ketumbar | cincang

 

CARA MEMASAK:

  1. Gaulkan udang bersama serbuk kunyit, serbuk lada sulah, garam dan sedikit air. Gaul rata.
  2. Seterusnya panaskan kuali dan masukkan udang yang telah diperap tadi, kacau rata lebih kurang tiga minit. Angkat dan ketepikan.
  3. Panaskan sedikit minyak dalam kuali lain, masukkan daun kari, kemudian masukkan campuran serbuk kunyit, serbuk cili, garam dan lada sulah, kacau rata.
  4. Masukkan udang, gaul rata lebih kurang tiga minit lagi, kemudian tutup api dan masukkan udang dalam pinggan.
  5. Untuk hiasan, gunakan kuali yang sama, masukkan sedikit minyak, tumiskan bawang dan cili merah cincang.
  6. Setelah layu,tutup api dan taburkannya di atas udang tadi, kemudian perahkan jus limau nipis dan taburkan hirisan daun ketumbar.
  7. Sedia dihidangkan.

 

2. KETAM KARI CILI

BAHAN-BAHAN:

  • 3 ekor ketam | bersih dan potong dua
  • 1 sudu makan rempah kari
  • 1 sudu makan serbuk cili
  • 1 biji bawang besar hiris
  • 1 tangkai daun kari | lurut dari tangkai
  • 1 sudu makan air asam
  • Garam dan gula secukup rasa
  • Minyak masak secukupnya

 

BAHAN KISAR:

  • 4 ulas bawang merah
  • 3 ulas bawang putih
  • 2cm halia muda
  • 2 biji buah keras
  • 1 batang serai

 

CARA MEMASAK:

  1. Gaulkan ketam dengan garam dan serbuk kunyit, ketepikan.
  2. Panaskan minyak,  goreng ketam hingga kemerahan kulitnya. Angkat dan ketepikan.
  3. Keluarkan sedikit minyak, tumiskan bahan kisar hingga naik bau, kemudian masukkan  air asam, kacau rata.
  4. Setelah pecah minyak, masukkan ketam yang telah digoreng, gaul rata, kemudian perasakan dengan garam dan gula secukup rasa.
  5. Tutup api, ketam sedia dihidang panas-panas

 

3. KARI MAMAK IKAN JENAHAK

BAHAN-BAHAN:

  • 1kg ikan Jenahak
  • 4 sudu makan rempah kari ikan
  • 1 sudu makan serbuk cili
  • 1 sudu makan halba campur
  • 1/2cawan air asam Jawa
  • 250ml santan kotak
  • 8 ulas bawang merah | hiris
  • 5 ulas bawang putih | hiris
  • 3cm halia muda | hiris memanjang
  • 1 tangkai daun kari
  • Garam dan gula secukup rasa
  • Minyak masak secukupnya

 

BAHAN ISIAN:

  • 5 biji bendi
  • 2 biji terung panjang
  • 2 biji tomato
  • 2 biji cili hijau
  • 1 tangkai daun kari | lurutkan dari tangkai

 

CARA MEMASAK:

  1. Panaskan minyak dalam periuk atau kuali besar.
  2. Tumiskan bahan hirisan bersama halba campur dan daun hingga wangi.
  3. Seterusnya masukkan pula campuran rempah dan serbuk cili yang dibancuh dengan sedikit air.
  4. Kacau rata hingga pecah minyak, masukkan air asam Jawa.
  5. Setelah mereneh, masukkan  ikan, diikuti dengan santan yang dicampur dengan sedikit air. Biarkan kari terus menereh.
  6. Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa.
  7. Setelah timbul minyak, masukkan bahan isian. Biarkan 2-3 minit.
  8. Tutup api dan kari sedia dihidangkan.

 

4. ACAR NANAS BEREMPAH

BAHAN-BAHAN:

  • 1 biji nanas | buang mata dan hiris kecil
  • 2 biji cili merah | hiris memanjang
  • 2 biji cili merah | hiris memanjang
  • 10 ulas merah kecil | belah dua
  • 5 ulas bawang putih| hiris
  • 2cm halia muda | hiris memanjang
  • 1 sudu besar udang kering
  • 1 sudu teh biji sawi
  • 1 sudu makan serbuk kari
  • 1 sudu teh serbuk kunyit
  • 1 sudu makan cuka makan
  • Garam dan gula secukup rasa
  • 3 sudu makan minyak masak

 

CARA MEMASAK:

  1. Panaskan air dalam periuk, kemudian celur nanas seketika, Angkat dan tos.
  2. Seterusnya panaskan minyak dalam kuali, tumiskan bawang merah, putih dan halia hingga wangi.
  3. Kemudian tambahkan udang kering, diikuti dengan rempah kari yang dibancuh bersama serbuk kunyit.
  4. Tumis hingga pecah minyak.
  5. Masukkan biji sawi, hirisan cili merah, cili hijau dan nanas.
  6. Gaul rata, dan perasakan dengan cuka, garam dan gula secukup rasa.
  7. Setelah cukup rasa dan masak, tutup api.
  8. Sedia dihidangkan.
Published by
Nur