Koleksi Resipi Lauk Pauk & Kuih Yang Boleh Masak Guna Pemanggang Ajaib.

Share

Pemanggang ajaib adalah salah satu alat memasak yang sangat berguna lebih-lebih lagi jika memasak lauk bakar. Namun, bukan itu sahaja, jika nak masak lauk kukus atau kuih muih pun boleh juga. Ada pelbagai resipi kita boleh cuba masak menggunakan pemanggang ni. Fungsinya lebih kurang sahaja macam ketuhar malah lebih mudah kerana menggunakan dapur gas. Jom kita lihat senarai hidangan yang anda boleh hasilkan. Bolehlah cuba tengah hari ni.

 

1. AYAM PANGGANG MADU

BAHAN-BAHAN:

  • 1 ekor ayam saiz sederhana | dipotong empat
  • 2cm lengkuas | dikisar
  • 1cm halia | dikisar
  • 12 biji bawang merah | dikisar
  • 2 sudu makan asam jawa
  • Sedikit gula melaka
  • 4 sudu makan madu
  • 1 sudu makan garam
  • 2 sudu makan kicap
  • 2 sudu makan sos tiram
  • 1 sudu teh serbuk lada hitam

CARA MEMASAK:

  1. Satukan bahan kisar, asam jawa, gula melaka, madu, sos tiram, kicap, serbuk lada hitam dan garam. Gaul rata.
  2. Kemudian lumurkan bahan perapan pada ayam hingga sekata. Perap ayam selama dua jam.
  3. Panaskan pemanggang dan letak kepingan aluminium foil. Kemudian susun ayam. Terbalikkan-terbalikkan ayam hingga masak. Anggaran masa antara 15-20 minit.
  4. Angkat dan nikmati bersama keluarga tercinta.

Info chef: Jika menggunakan ketuhar, masa memasak yang diperlukan adalah antara 20 – 30 minit menggunakan suhu 200C.

 

2. AYAM PANGGANG HALIA

BAHAN UTAMA:

  • 4 bahagian paha saiz sederhana (whole leg)
  • 1 sudu makan kicap cair
  • 1 sudu teh gula melaka
  • 1 sudu makan  minyak masak
  • Garam secukup rasa

BAHAN KISAR:

  • 10cm halia
  • 3 ulas bawang putih
  • 3 ulas bawang merah
  • 1 sudu makan lada hitam
  • 1cm kunyit hidup
  • 3 biji cili merah

BAHAN KUAH:

  • 1 ulas bawang merah | dihiris halus
  • 1 ulas  bawang putih | dihiris halus
  • 1cm halia | dipotong julliene
  • 1 biji cili merah | dipotong serong
  • 2 sudu makan madu
  • 125ml air asam jawa

CARA MEMASAK:

  1. Bagi menyediakan kuah ayam panggang, tumis bawang merah dan bawang putih sehingga naik bau.
  2. Kemudian masukkan halia diikuti madu dan sedikit air asam jawa. Kacau sebati.
  3. Perasakan dengan garam. Ketepikan seketika.
  4. Bagi menyediakan ayam panggang halia, gaulkan kesemua bahan kisar dan bahan utama. Perapkan ayam selama lebih kurang satu jam setengah.
  5. Susun ayam dalam pemanggang yang telah disapu minyak masak dan bakar menggunakan api sederhana selama 20 minit atau sehingga ayam kelihatan masak. Balik-balikkan ayam supaya masak sekata.
  6. Angkat dan sedia untuk dinikmati bersama sos.

Info chef: Untuk memastikan ayam masak, pastikan ketebalan isi ayam sama tebal. Anda juga boleh keluarkan tulang ayam dan masak isinya sahaja.

 

3. SIAKAP BAKAR PETAI

BAHAN-BAHAN:

  • 1 ekor ikan siakap
  • 1 keping asam gelugur
  • 50gm petai
  • Garam dan gula secukup rasa
  • Sedikit air
  • Daun pisang dan aluminium foil secukupnya

BAHAN KISAR:

  • 5 ulas bawang merah
  • 1 biji bawang besar
  • 3 ulasa bawang putih
  • 2cm kunyit
  • 2cm halia
  • 2cm lengkuas
  • 1 batang serai
  • 10 biji cili kering
  • 2cm belacan

CARA MEMASAK:

  1. Tumis bahan kisar sehingga garing dan wangi.
  2. Masukkan air dan asam gelugur. Masak sehingga pecah minyak.  Perasakan dengan garam dan gula secukupnya. Angkat.
  3. Letak aluminium foil dan alaskan dengan daun pisang. Sudukan sambal yang dimasak tadi dan ratakan.
  4. Letak ikan dan sudukan lebihan sambal sehingga rata. Taburkan petai dengan secukupnya.
  5. Bungkus ikan dengan kemas dan bakar dalam pemanggang ajaib selama 30 minit atau sehingga masak. Terbalikkan agar masak sekata.
  6. Angkat dan nikmati bersama nasi putih.

Info chef: Ikan hendaklah disiang dan dibelah belakangnya. Perapkan bersama 1 sudu makan serbuk kunyit dan 1/2 sudu teh garam.

 

4. KUIH BAKAR JAGUNG

BAHAN-BAHAN:

  • 200gm tepung jagung
  • 170gm gula pasir
  • 200ml santan pekat
  • 25gm tepung kastard
  • 350ml air
  • 2 sudu makan mentega
  • 4 biji telur
  • 1 tin jagung manis
  • Sedikit bijan
  • Pewarna kuning secukupnya

CARA MEMASAK:

  1. Kisar semua bahan hingga sebati kecuali jagung, mentega dan bijan di dalam pengisar.
  2. Masukkan jagung dan kisar seketika sahaja.
  3. Oles pemanggang menggunakan mentaga dan panaskan seketika.
  4. Tuang adunan yang dikisar tadi ke dalam loyang dan taburkan bijan di permukaan adunan dengan secukupnya.
  5. Bakar selama satu jam atau sehingga kuih kelihatan garing dan berwarna keemasan. Guna api kecil sahaja.
  6. Sedia untuk dinikmati.
  7. Jika guna ketuhar, masukkan mentega ke dalam loyang dan panaskan seketika di atas api sehingga mentega cair.
  8. Tuang adunan ke dalam loyang dan taburkan bijan.
  9. Bakar pada suhu 180C menggunakan api atas bawah selama satu jam atau sehingga kuih kelihatan garing dan berwarna keemasan.

Info chef: Jika guna ketuhar, untuk mendapatkan kuih bakar yang lebih berkerak, pada 10 minit terakhir, bakar menggunakan api atas sahaja.

 

5. KUIH BAKAR DAGING

BAHAN-BAHAN:

  • 375gm tepung gandum
  • 720ml santan cair
  • 720ml air
  • 5 biji telur
  • 350gm daging kisar
  • 2 sudu makan rempah kari daging
  • 1 biji cili merah | dihiris
  • 1 biji bawang besar  | dimayang
  • Garam dan gula secukup rasa
  • 1 tangkai daun bawang | dihiris halus
  • 1 sudu besar minyak masak
  • Sedikit garam
  • Sedikit pewarna kuning telur

CARA MEMASAK:

  1. Panaskan minyak dan tumis bawang besar sehingga wangi. Kemudian masukkan rempah kari dan goreng sampai naik bau.
  2. Masukkan daging kisar dan masak sampai kering. Perasakan dengan sedikit garam dan gula. Sejukkan.
  3. Seterusnya, pukul telur hingga kembang kemudian tambahkan santan dan air. Kacau rata.
  4. Kemudian masukkan tepung gandum. Kacau hingga sebati dan pastikan adunan tidak berketul. Tambahkan sedikit pewarna kuning, garam dan gula secukup rasa.
  5. Oles sedikit minyak pada pemanggangdan panaskan dengan api perlahan.
  6. Tuang adunan sehingga memenuhi 3/4 pemanggang.Biarkan seketika barulah disudukan inti daging tadi dengan secukupnya. Taburkan daun bawang dan hirisan cili. Tutup pemanggang.
  7. Masak sehingga kuih kelihatan garing dan masak sepenuhnya. Sedia untuk dinikmati.
  8. Jika bakar menggunakan ketuhar, isi adunan ke dalam acuan, masukkan intu dan masak diatas dapur seketika.
  9. Setelah kuih kelihatan garing, masukkan acuan ke dalam ketuhar yang telah dipanaskan pada suhu 160C selama 20 minit. Pastikan anda menggunakan api atas sahaja.

 

6. PAIS DAGING

BAHAN-BAHAN A:

  • 30gm daging | cincang kasar
  • 3 sudu air asam jawa
  • ½ cawan santan pekat
  • 1 helai daun kunyit |dihiris
  • Garam dan gula secukupnya
  • Daun pisang secukupnya

BAHAN B (KISAR KERING):

  • 5 tangkai cili kering |kisar kering
  • 1cm halia
  • 3 ulas bawang merah
  • 1 ulas bawang putih
  • 1 batang serai
  • 1 inci lengkuas
  • 1/2 cm kunyit hidup

CARA MEMASAK:

  1. Perap daging dengan bahan A selama ½ jam.
  2. Masukkan bahan B dan perap lagi selama ½ jam.
  3. Bungkus di dalam daun pisang.
  4. Bakar di dalam pemanggang ajaib hingga masak sepenuhnya.
  5. Keluarkan dan sedia dihidangkan.

 

7. SIAKAP STIM CENDAWAN

BAHAN-BAHAN:

  • 1 ekor ikan siakap |bersihkan
  • 100gm cendawan tiram |carik kasar
  • 100gm lada benggala |potong
  • 40gm bawang besar |belah enam
  • 5 ulas bawang putih |belah dua
  • 2 inci halia  |hiris halus
  • 50ml sos ikan
  • 5gm serbuk perasa

BAHAN SOS:

  • 100ml kicap cair
  • 10gm cili padi |hiris halus
  • 5gm air perahan limau kasturi

CARA MEMASAK:

  1. Letakkan ikan ke dalam loyang/aluminium foil. Taburkan kesemua bahan di atas ikan. Balut ikan tersebut. Jangan terlalu kemas. Biarkan ada ruang sedikit.
  2. Kemudian masukkan ikan ke dalam pemanggang ajaib. Masukkan air anggaran satu cawan. Tutup pemanggang dan buka api.
  3. Kukus ikan tadi selama 15 minit atau lebih bergantung pada saiz ikan.
  4. Sementara itu, untuk membuat sos; Satukan kedua bahan sos dan tuang ke atas ikan ketika menghidang.

 

 

8. AYAM BAKAR BERKUAH

BAHAN-BAHAN:

  • 1 ekor ayam | belah empat
  • 2 sudu makan cili kisar
  • 2 sudu makan sos soya pekat
  • 1 sudu makan kicap pekat
  • 1 sudu makan air asam jawa
  • 8 biji bawang merah | kisar
  • 5 biji bawang putih | kisar
  • 2 biji buah keras | kisar
  • 1 batang serai | kisar
  • 2cm halia | kisar
  • Minyak untuk menumis secukupnya
  • Garam, gula, lada sulah dan serbuk kunyit secukupnya

CARA MEMASAK:

  1. Lumur ayam dengan sedikit garam, lada sulah dan serbuk kunyit. Bakar dalam pemanggang selama 20-25 minit atau hingga ayam masak. Angkat dan ketepikan. Api jangan terlalu besar kerana dikhuatiri ayam akan hangus diluar tetapi di dalamnya tidak masak.
  2. Untuk membuat kuahnya; Panaskan dua sudu makan minyak di dalam kuali, tumiskan bahan-bahan kisar hingga masak.
  3. Masukkan air asam jawa, sos soya pekat, kicap pekat manis dan didihkan semua bahan sebati. Biarkan kuah mereneh menjadi agak pekat. Tambah garam dan gula mengikut cita rasa.
  4. Untuk menghidang; ambil ayam dan letakkan di dalam pinggan hidang.  Tuang kuah di atas ayam dan ia sedia dihidangkan.

 

9. CENCARU BELAH BELAKANG BAKAR

BAHAN-BAHAN:

  • 2-3 ekor ikan cencaru | belah bahagian belakang
  • ½ biji kelapa parut | ambil putihnya
  • 4 biji cili merah | tumbuk
  • 6 biji bawang merah | tumbuk
  • 4 biji bawang putih | tumbuk
  • 1 batang serai | mayang halus
  • 1 sudu teh air asam jawa
  • Garam, gula dan serbuk kunyit secukupnya
  • Daun pandan secukupnya

CARA MEMASAK:

  1. Lumur sedikit garam dan serbuk kunyit pada ikan.
  2. Di dalam mangkuk, satukan bahan-bahan tumbuk dengan air asam, kelapa parut dan serai. Gaul rata.
  3. Tambah garam dan gula secukup rasa.
  4. Sendukkan campuran kelapa ke dalam ikan dan balut dengan daun pandan.
  5. Bakar hingga ikan masak. Lapik dengan aluminium foil di dasar pemanggang jika perlu.Setelah masak, angkat dan sedia dihidangkan.

Info chef: Boleh juga dimakan bersama dengan sambal kicap jika suka.  

 

10. SOTONG BAKAR PAPRIKA

BAHAN-BAHAN:

  • 6-8 ekor sotong saiz besar
  • 1 sudu makan serbuk paprika
  • 1 sudu makan sos tiram
  • 1 sudu teh serbuk hitam
  • Garam dan lada sulah secukup rasa

CARA MEMASAK:

  1. Sotong dibersihkan dan dikelar-kelar sedikit tanpa putus. Jika gun sotong saiz sederhana, tidak perlu kelar.
  2. Lumur sotong dengan serbuk paprika, sos tiram, serbuk lada hitam, garam dan lada sulah secukup rasa.
  3. Panaskan pemanggang ajaib dan susun sotong. Bakar hingga masak.
  4. Angkat dan sedia dihidangkan

Info chef: Jangan terlebih bakar untuk menggelakkan sotong menjadi liat.

 

 

Published by
Nur