Koleksi Resipi Masak Lemak Bersantan Tapi Versi Lebih Sihat & Kurang Kolesterol.

Share

Sajian berlemak serta bersantan semestinya antara masakan kegemaran rakyat Malaysia. Macam-macam hidangan boleh disediakan. Terasa puas bila menikmatinya. Tapi kurang bagus untuk kesihatan jika dimakan selalu. Oleh itu, bagi yang memang gilakan lauk ni, RASA kongsikan beberapa resipi masak lemak tapi dalam versi yang kurang santan dan sedap. Anda boleh cuba sendiri di rumah. 

 

1. AYAM MASAK LEMAK CILI PADI

BAHAN-BAHAN:

  • 300gm ayam – potong kecil
  • 2 biji ubi kentang – potong dadu
  • 500ml susu rendah lemak atau susu sejat
  • 10 biji cili padi hijau
  • 4cm kunyit hidup
  • 1 batang serai – ketuk
  • 1 sudu makan air
  • Garam dan gula secukup rasa

CARA MEMASAK:

  1. Cili padi dan kunyit hidup dikisar halus dengan sedikit garam. Ketepikan.
  2. Sediakan sebuah periuk, masukkan bahan kisar ke dalam periuk bersama dua sudu makan air dan didihkan hingga cili masak.
  3. Setelah itu, masukkan ayam, separuh daripada susu, serai dan ubi kentang yang dipotong dadu.  Didihkan hingga semua bahan empuk.
  4. Masukkan separuh lagi susu, garam dan gula secukup rasa. Didihkan seminit dua lagi.
  5. Kemudian angkat dan sedia dihidangkan.

 

2. AYAM PERCIK BERSANTAN

BAHAN-BAHAN:

  • 300gm ayam –  bahagian paha
  • 250ml susu rendah lemak
  • 1/2 sudu teh air asam jawa
  • 3 biji merah
  • 4 biji bawang merah
  • 2 biji bawang putih
  • 2cm halia muda
  • 1 batang serai –  ketuk
  • Sedikit serbuk kunyit
  • Sedikit minyak sayur untuk menggoreng
  • Garam, gula dan lada sulah secukup rasa

CARA MEMASAK:

  1. Bersihkan ayam dan lumur dengan sedikit garam, serbuk kunyit dan lada sulah lalu bakar di atas pemanggang hingga masak. Angkat dan ketepikan.
  2. Bawang merah, bawang putih dan cili merah dikisar halus. Halia pula dimayang halus. Ketepikan.
  3. Panaskan sesudu makan minyak sayur, tumis bahan-bahan kisar, serai dan halia hingga naik bau. Jika terlalu kering, tambah sedikit air atau stok rebusan ayam/sayur.
  4. Masukkan susu, air asam jawa, garam, gula dan lada sulah secukup rasa.
  5. Didihkan seketika hingga semua bahan sebati. Bila kuah keliahtan hampir pekat, tuang ke atas ayam bakar dan sedia untuk dihidangkan.

 

3. GULAI KUNING IKAN DAN TERUNG

BAHAN-BAHAN:

  • 4-5 ketul ikan merah
  • 3 biji terung bulat –  potong dua atau empat
  • 400ml santan kotak rendah lemak – campurkan 150ml air
  • 3 biji cili merah
  • 3 biji bawang merah
  • 2 biji bawang putih
  • 3cm kunyit hidup
  • 1 batang serai – ketuk
  • 3 keping asam keping/gelugur
  • Garam, lada sulah dan gula secukup rasa

 

CARA MEMASAK:

  1. Tumbuk cili merah, bawang merah, bawang putih dan kunyit hidup hingga lumat.
  2. Masukkan bahan tumbuk ke dalam periuk bersama santan dan serai.  Didihkan hingga cili masak.
  3. Masukkan ikan, terung dan asam keping. Didihkan lagi hingga semua bahan sebati dan masak.
  4. Tambah garam, lada sulah dan gula secukup rasa.
  5. Angkat dan sedia dihidangkan.

 

4. KETAM LEMAK NANAS

BAHAN-BAHAN:

  • 2-3 ekor ketam – bersihkan dan potong dua
  • ½ biji nenas –  potong kecil
  • 1/2 tin susu sejat
  • 3 biji cili merah – kisar
  • 4 ulas bawang merah – kisar
  • 3 ulas bawang putih – kisar
  • 1 batang serai – titik
  • 1 sudu teh serbuk kunyit
  • 1 biji cili merah – hiris
  • Garam dan gula secukup rasa

 

CARA MEMASAK:

  1. Didihkan susu bersama bahan-bahan kisar, serbuk kunyit dan serai.
  2. Masukkan ketam dan nanas. Didihkan beberapa minit hingga semua bahan masak.
  3. Tambah garam dan gula secukup rasa.
  4. Masukkan hirisan cili merah dan tutup api.
  5. Angkat dan sedia dihidangkan.

 

5. LEMAK KUNING DAGING SALAI

BAHAN-BAHAN:

  • 400gm daging salai – hiris nipis
  • 600ml santan kotak rendah kolesterol
  • 10 biji cili padi  – tumbuk lumat
  • 5 biji bawang merah – tumbuk lumat
  • 3 biji bawang putih – tumbuk lumat
  • 1 batang serai – ketuk
  • 2 keping asam gelugur
  • 1 sudu teh serbuk kunyit
  • Garam dan gula secukup rasa

CARA MEMASAK:

  1. Masukkan bahan-bahan tumbuk bersama serai, serbuk kunyit dan separuh santan di dalam periuk.  Didihkan  hingga cili masak.
  2. Masukkan daging salai, asam gelugur dan separuh lagi santan.  Didihkan hingga semua bahan sebati. Jika terlalu pekat, tambah sedikit air.
  3. Tambah garam dan gula secukup rasa.
  4. Angkat dan sedia dihidangkan.

 

6. PARI BAKAR BERKUAH PEDAS

BAHAN-BAHAN:

  • 1-2 ketul ikan pari
  • 400ml susu sejat atau rendah lemak
  • 10 biji cili padi
  • 5 biji bawang merah – tumbuk halus
  • 3 biji bawang putih – tumbuk halus
  • 3cm cekur – tumbuk halus
  • 1 batang serai – ketuk
  • 2 helai daun limau purut}siat
  • 5 keping asam aur-aur (boleh ganti dengan 2 keping asam gelugur)
  • Minyak zaitun untuk menumis secukupnya
  • Garam dan gula secukup rasa

 

CARA MEMASAK:

  1. Ikan pari di tabur sedikit garam dan serbuk kunyit.  Bakar hingga masak.  Ketepikan.
  2. Di dalam kuali, panaskan 3 sudu makan minyak zaitun. Tumis bahan-bahan tumbuk dan serai hingga wangi.
  3. Tuang susu, tambah daun limau purut dan asam aur-aur.  Didihkan hingga semua bahan sebati.
  4. Tambah garam dan gula secukup rasa.
  5. Masukkan ikan pari bakar ke dalam kuah dan masak seketika hingga kuah meresap pada ikan.
  6. Angkat dan sedia untuk dinikmati.

 

 

 

 

Published by
Nur