Walau sejauh mana kita merantau dan hidup dalam dunia moden, aneka masakan kampung tentunya sentiasa menjadi pilihan. Walaupun ringkas, tapi kepuasan dalam setiap suapan tu memang sukar digambarkan. Lauk ikan masin, masak kicap dan kerabu pelbagai rasa pastinya menimbulkan rasa teruja untuk mencuba. Bagi anda yang teringin nak masak lauk kampung yang simple tetapi membuka selera, ini antara resipi yang boleh dicuba.

 

1.    GULAI LEMAK NANAS IKAN MASIN

BAHAN-BAHAN:

  • 3 biji nanas sederhana besar | kupas, belah empat, buang empulur dan hiris sederhana tebal
  • 1kg ikan masin talang | cuci dan rendam 30 minit dan toskan
  • 5 batang serai | diketuk
  • 5 helai daun kunyit | disiat
  • 2 keping asam gelugur
  • 1 liter santan cair
  • 2 kg santan pekat
  • Garam dan gula secukup rasa

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS:

  • 10 biji bawang merah
  • 5 ulas bawang putih
  • 3 biji cili merah
  • 20 biji cili api | lebihkan jika mahu pedas
  • 1 inci kunyit hidup

CARA MEMASAK:

  1. Masukkan bahan-bahan kisar halus dan serai yang telah diketuk ke dalam periuk.
  2. Tuang santan cair, kacau dan masak hingga mendidih. Tambah ikan masin dan nanas. Kacau rata dan masak hingga nanas 1/2 empuk. Tuang sedikit air jika perlu.
  3. Masukkan asam gelugur dan tuang pati santan. Kacau perlahan.
  4. Masukkan daun kunyit dan sedikit gula. Masak sekejap dan rasa, jika perlu, baru tambahkan garam secukup rasa. Biar mendidih sekejap dengan api kecil dan kacau selalu. Boleh matikan api.
  5. Sedia untuk dihidangkan

 

2. IKAN KEMBUNG GORENG CILI

BAHAN-BAHAN:

  • 6 ekor ikan kembung | dilumur garam dan digoreng
  • 4 sudu makan kicap manis
  • 2 sudu makan kicap pekat
  • 4 sudu makan sos cili
  • 5 biji cili padi | dikisar
  • 4 biji bawang merah | dikisar
  • 2 ulas bawang putih | dihiris
  • 1 biji bawang besar Holland | dihiris
  • 1cm halia | dihiris halus
  • Sedikit serbuk lada hitam
  • 8 biji cili padi | dibuang tangkai
  • Sedikit air
  • Minyak masak secukupnya
  • Garam secukup rasa

CARA MEMASAK:

  1. Panaskan minyak dan tumis bahan yang dikisar hingga garing.
  2. Kemudian masukkan hirisan bawang putih, bawang besar, halia dan cili padi. Kacau sehingga naik bau.
  3. Seterusnya masukkan kicap manis, kicap pekat, serbuk lada hitam dan sos cili. Kacau rata. Tambahkan sedikit air. Biarkan mendidih.
  4. Masukkan ikan. Perasakan dengan garam jika perlu. Gaul rata dan biarkan mendidih seketika.
  5. Sedia untuk dinikmati.

 

3. SAMBAL IKAN TONGKOL

BAHAN-BAHAN:

  • 1 ekor ikan tongkol saiz sederhana | dipotong kecil
  • 6 biji bawang merah | dikisar
  • 20 tangkai cili kering | direndam air panas dan dikisar
  • 1cm belacan | dikisar
  • 2 biji bawang besar | dihiris
  • 4 keping asam gelugur
  • Sedikit garam kasar
  • Sedikit garam halus
  • Gula secukup rasa
  • Minyak masak secukupnya

CARA MEMASAK:

  1. Bersihkan ikan dan susun di dalam periuk. Tabur garam kasar dan tiga keping asam gelugur.Rebus menggunakan api kecil sehingga ikan masak.
  2. Panaskan minyak dan goreng ikan sehingga sedikit garing. Angkat dan ketepikan seketika.
  3. Dalam kuali yang sama, tumis bahan yang dikisar sehingga wangi. Masukkan satu keping asam gelugur, garam dan gula. Gaul rata.
  4. Masukkan ikan yang digoreng tadi bersama hirisan bawang besar. Gaul sehingga semua bahan sekata dan bawang sedikit layu.
  5. Sedia untuk dinikmati.

 

4. LAWA MANGGA MUDA

BAHAN-BAHAN:

  • 5kg mangga muda | disagat halus
  • 1kg santan kelapa  | anggaran mengikut kesesuaian dan jenis manga
  • 300gm cili kisar | guna cili kering china
  • Sedikit cili padi | mengikut tahap kepedasan yang diingini
  • 60gm lada hitam kasar
  • Garam dan gula secukup rasa

CARA MEMASAK:

  1. Panaskan sekejap santan menggunakan api sederhana namun jangan sampai pecah minyak.
  2. Masukkan cili kisar dan biarkan masak lebih kurang 2-3 minit sahaja dengan api sangat perlahan. Ia bertujuan untuk memastikan lawa mangga tahan lama.
  3. Satukan mangga dan bahan-bahan lain. Perasakan dengan garam dan gula dengan secukupnya.
  4. Siap untuk dihidangkan.