Koleksi Resipi Pelbagai Jenis Laksa Sedap Ada Di Malaysia

Share

Di Malaysia ni ada pelbagai jenis laksa dan setiap satunya punya rasa dan keenakan yang tersendiri. Tidak kiralah macam mana cara pembuatan dan penggunaan bahan-bahannya, semuanya punya cara dan gaya masing-masing. Menghormati resipi yang dikongsi dan menghargai sajian warisan setiap negeri, tidak membuatkan kita rugi malah sebaliknya mampu menerbitkan rasa harmoni serta saling menghormati. Mungkin ada yang suka ubah atau ‘improvise’ resipi. Semua itu terpulang pada cita rasa masing-masing. Hari ni RASA kongsikan beberapa resipi-resipi laksa yang ada di Malaysia yang boleh anda cuba. Ada banyak lagi sebenarnya. Memang sedap! Selamat mencuba!

 

1. ASSAM LAKSA LEMAK

BAHAN-BAHAN:

  • 10 ekor ikan selayang – rebus dan kisar

BAHAN KISAR:

  • 10 biji bawang merah
  • 1 labu bawang putih
  • 1 inci kunyit hidup
  • 1 inci lengkuas
  • 1 inci halia
  • 3 batang serai
  • 1 inci belacan
  • 10 biji cili padi
  • 10 tangkai cili kering

BAHAN TAMBAHAN:

  • Laksa
  • Air asam jawa
  • 1 batang bunga kantan
  • 3 keping asam gelugur
  • 1 batang serai – diketuk
  • 1 kotak santan
  • Daun pudina
  • Sedikit air
  • Garam dan gula secukup rasa
  • Minyak masak secukupnya

CARA MEMASAK:

1. Tumis bahan kisar hingga wangi kemudian masukkan isi ikan yang telah dikisar.

2. Setelah mendidih, masukkan air asam jawa, serai dan bunga kantan.

3. Kemudian masukkan santan ikut kepekatan kuah yang disukai. Jangan terlalu pekat sangat sebab kurang sedap.

4. Bila kuah mendidih sekali lagi, masukkan garam, gula dan perasa dengan secukupnya.

5. Tambahkan daun pudina untuk mewangikan kuah laksa.

6. Angkat dan sedia untuk dinikmati bersama laksa.

Kredit resipi & foto: Ekynn Aziz

 

2. LAKSA PENANG  

BAHAN-BAHAN:

  • 1kg laksa beras @ 2 paket laksa kering siap rebus

BAHAN KUAH:

  • 2 liter air
  • 1kg ikan sardin |direbus dan ambil isinya
  • 40gm cili kering | direbus dan dikisar halus
  • 8 biji bawang besar |dikisar
  • 4sm halia |dikisar
  • 4 kuntum bunga kantan | dibelah 2
  • 1 ikat daun kesum
  • 7 keping asam keping
  • Garam secukup rasa

BAHAN SAMPINGAN:

  • 8-10 biji telur rebus
  • 1 biji timun | dihiris
  • 2 biji bawang besar | dihiris
  • Hirisan daun salad secukupnya
  • Limau kasturi secukupnya

CARA MEMASAK:

  1. Satukan kesemua bahan kuah ( kecuali daun kesum)dan biarkan masak sehingga mendidih.
  2. Perasakan dengan garam secukup rasa dan biarkan mendidih lagi sehingga mencapai kepekatan yang disukai.
  3. Masukkan daun kesum dan biarkan layu seketika.
  4. Apabila mendidih sekali lagi, angkat dan hidangkan bersama laksa dan bahan sampingan lain.
  5. Sedia dinikmati.

 

3. LAKSA ASAM NYONYA

BAHAN-BAHAN TUMISAN:

  • 1/2 kilo isi ikan kembung/ikan tenggiri
  • 2 sudu makan cili kisar
  • 1000ml air rebusan ikan
  • ½ biji nanas
  • 1 mangkuk air asam jawa
  • 1/2 inci halia
  • 1/2 inci lengkuas
  • 8 biji bawang merah
  • 4 ulas bawang putih
  • 10 keping asam gelugor
  • 2 batang serai | dititik
  • Garam secukupnya

BAHAN-BAHAN ULAM-ULAMAN:

  • Laksa rebus secukupnya
  • Telur rebus secukupnya
  • Sedikit hirisan nanas
  • Daun pudina secukupnya
  • Hirisan bawang besar secukupnya
  • Hirisan timun secukupnya
  • Cili merah secukupnya

CARA MEMASAK:

  1. Ikan direbus dan dibuang tulangnya. Simpan air rebusan untuk dijadikan kuah. Kisar ikan sehingga halus.
  2. Kisar bahan-bahan kisar seperti bawang merah, bawang putih, halia, lengkuas dan nanas.
  3. Kemudian masukkan bahan-bahan kisar tadi, cili kisar, isi ikan, daun bunga kantan, daun kesum, air asam jawa, serai dan asam gelugur ke dalam air rebusan ikan.
  4. Biarkan ia mereneh sehingga menggelegak dan kuah masak.
  5. Setelah masak, perasakan dengan garam secukup rasa.
  6. Untuk menghidang, letak laksa di dalam mangkuk dan tambah ulam-ulaman seperti hirisan timun, hirisan nanas, hirisan bawang besar, hirisan daun kesum, hirisan bunga kantan, hirisan cili dan daun pudina.
  7. Sedia dinikmati panas.

 

4. LAKSA IKAN SARDIN TIN

BAHAN A:

  • 1 tin ikan sardin – buang sos – beli online DISINI
  • 1 paket pes asam pedas – beli online DISINI
  • 1 keping nanas masak ranum
  • Sedikit belacan – dibakar – beli online DISINI
  • 2 biji bawang merah – beli online DISINI
  • Lada kering – abaikan jika tak suka pedas

BAHAN B:

  • Bunga kantan
  • Daun kesum – beli online DISINI
  • 1-2 keping asam gelugur – beli online DISINI
  • Bebola ikan secukupnya
  • Sedikit garam dan serbuk secukup rasa
  • Air secukupnya

CARA MEMASAK:

1. Satukan bahan-bahan A dan kisar hingga halus.

2. Tuang bahan kisar ke dalam periuk. Kemudian tambahkan air mengikut kepekatan yang diingini.

3. Masukkan daun kesum, bunga kantan dan asam gelugur. Biar kuah mendidih.

4. Kemudian masukkan bebola ikan, sedikit garam dan serbuk secukup rasa. Kacau sebati dan bila sudah cukup rasa, padamkan api.

5. Untuk menikmatinya, hidangkan bersama laksa, telur, hirisan limau dan juga ulam-ulaman yang digemari.

Kredit resipi & foto: Noriza Awang Hamat

 

5. LAKSA JOHOR
BAHAN-BAHAN :

  • 400 gm satu paket spageti
  • Garam secukup rasa
  • Beberapa titik minyak zaitun atau minyak masak

BAHAN A :

  • 1 kg ikan kembung /direbus dan ambil isi
  • 500 gm ikan parang/direbus dan ambil isi
  • 500 gm udang basah/rebus dan ambil isi
  • 3 keping ikan kurau masin
  • 5 sudu makan udang kering/direbus bersama 3-4 ekor udang basah

BAHAN B :

  • 8 keping asam gelugor
  • 3 biji kelapa parut -ambil santan pekat
  • 1 sudu makan gula melaka
  • 1 mangkuk air rebusan udang dan air rebusan ikan

BAHAN KISAR HALUS :

  • 20 tangkai cili kering
  • 15 ulas bawang merah
  • 10 ulas bawang putih
  • 10 batang serai
  • 4 sm halia
  • 4 sm lengkuas
  • 2 sm kunyit hidup
  • 3 sm belacan
  • 9 sudu makan biji ketumbar
  • 3 sudu makan biji jintan putih
  • 3 sudu makan jintan putih
  • 2 biji buah keras
  • 4 sudu makan kerisik

BAHAN ULAM :

  • Limau kasturi/dipotong untuk diperah
  • Taugeh
  • Daun kesum atau daun selasih
  • Timun
  • Sambal belacan
  • Bawang besar /dipotong bulat
  • Kacang panjang
  • Lobak asin

CARA MEMASAK :
1. Lebihan air rebusan ikan dibahagi dua. Ketepikan
2. Kisar semua bahan A bersama sebahagian air rebusan ikan.Ketepikan.
3. Panaskan minyak, kemudian tumiskan bahan kisar halus sehingga wangi.
4. Masukkan bahan A dan kacau rata. Masukkan bahan B dan kacau rata.
5. Didihkan dan masak sehingga kuah pekat. Perasakan dengan garam secukup rasa.
6. Kemudian rebuskan spaghetti dalam air yang mendidih yang telah dimasukkan garam. Rebus sehingga kenyal ‘ala dente’ dan tidak terlalu lembut.
7. Toskan dan titikkan minyak zaitun agar tidak melekat.
8. Masukkan spageti dalam mangkuk dan tuangkan kuah laksa tadi.
9. Hidangkan bersama bahan ulam-ulaman dan sambal belacan.
10. Bagi memasak sambal belacan, ambil belacan bakar dan tumbukkan bersama cili hidup atau cili kering yang direbus. Tumbuk lumat dan perahkan limau kasturi.

INFO CHEF : Anda boleh juga menggunakan ikan selayang (sardin) menggantikan ikan kembung. Selain ikan parang anda juga boleh menggunakan ikan tenggiri.

 

6. LAKSA THAI

BAHAN UTAMA

1 peket laksa Thai

BAHAN KUAH:
*5 ekor ikan selayang / sardin rebus dengan 2 cawan air. Perisikan.
*3 biji bawang merah kecil
*2 ulas bawang putih
*5 biji cili thai (jika nak kuah pedas)
*1/2 inci lengkuas
*Sebatang akar ketumbar
*1 inci kunyit hidup / serbuk
5 pasang daun limau purut
1 batang serai – ketuk
2 keping asam gelugur
2 cawan santan segar / 1 kotak santan 200 ml.
3 sudu besar nampla (sos ikan)
Garam & gula secukup rasa

CARA MEMASAK KUAH:

  1. Bahan bertanda dikisar dengan air rebusan ikan.
  2. Masukkan dalam periuk. Masuk bahan yang tidak bertanda pula seperti daun limau purut, serai, asam gelugur, santan, sos ikan, garam dan gula.
  3. Didihkan sambil kacau perlahan-lahan.

BAHAN SAMBAL:

  • Cili Thai tumbuk
  • nampla
  • jus limau nipis

CARA MEMASAK SAMBAL:

  1. Tumbuk halus cili. Masukkan nampla dan jus limau,

BAHAN HIASAN:

  • Taugeh segar
  • Daun selasih Thai
  • Kacang panjang
  • Daun ketumbar
  • Telur dadar gulung / telur rebus
  • Daun salad dan sebagainya ikut selera anda.

Kredit resipi & foto: Yuss Aisya

 

7. LAKSA LEMAK KEDAH

BAHAN-BAHAN

1 tin sardin – dibuang sos sardin & cuci bersih kemudian blend hancur. (Boleh guna ikan jugak)
1-2 biji bawang besar- di kisar
2-3 SB serbuk kari ikan
1 ketul lengkuas besar ibu jari
1-2 batang serai dititik
5-6 tangkai daun kesum
4-5 keping asam keping
1 cawan santan pekat (kalau kurang tambah lagi)
Air
Garam gula

CARA MEMASAK:

1. Panaskan minyak & tumis bawang kisar, serbuk kari ikan & masukkan sekali serai, lengkuas. Masak sampai pecah minyak.

2. Bila bahan tumis dan rempah dah masak elok. Masukkan sardin gaul sebati kemudian masukkan santan, asam keping & tambah sedikit air.

3. Last masukkan garam, gula secukup rasa & daun kesum. Daun kesum dah layu boleh tutup api. Siap!

4. Jangan lupa rebus laksa.  Ulam-ulam boleh la letak timun, bawang, selom, cili padi yang dihiris nipis.

Kredit resipi & foto: Liyana Hassan

8. LAKSA PAHANG ‘SPECIAL’

BAHAN-BAHAN :

  • 2 paket spageti @ mi laksa | direbus masukkan sedikit garam dan tos

BAHAN A :

  • 1kg ikan tenggiri | dibersihkan dan direbus

BAHAN B :

  • 200 gram isi ikan masin kurau | bakar dalam kuali sebentar

BAHAN DIKISAR C :

  • 7 ulas bawang merah
  • 3 ulas bawang putih
  • 3 batang serai
  • 7.6 sm lengkuas
  • 7.6 sm halia
  • 25 tangkai cili kering | direbus sebelum dikisar
    (disangai sekejap dan dikisar halus):
  • 2 1/2 sudu makan serbuk ketumbar
  • 2 1/2 sudu makan serbuk jintan manis
  • 2 1/2 sudu makan serbuk jintan putih
  • 3 cawan air
  • 2 cawan santan cair

2 biji kelapa | ambil santan pekat
3 sudu makan kerisik
3-4 asam keping
Garam secukup rasa
Gula secukup rasa

BAHAN ULAM :

  • Tauge | dicelur sebentar dalam air panas
  • Daun kaduk | dihiris
  • Daun kunyit | dihiris
  • Kobis | dihiris
  • Daun kesum | dihiris
  • Daun selasih | dihiris
  • Bawang besar | dihiris nipis
  • Kacang panjang | dihiris
  • 2 biji limau kasturi | diperah
  • Sambal belacan | cili kering ditumbuk dengan belacan dan air sedikit

BAHAN SAMBAL BELACAN:

  • 2 tangkai cili merah
  • 15 tangkai cili padi
  • Sebesar ibu jari belacan
  • 1 sudu kecil garam halus
  • 2 biji limau kasturi untuk perahan
  • Sedikit gula

CARA MEMASAK :

Cara masak sambal belacan :


1. Boleh nak tumbuk atau masuk dalam blender kering.
2. Tumbuk dulu cili merah dan belacan.
3. Kemudian baru masuk dan tumbuk kasar cili padi

Cara masak Kuah :
1. Rebuskan ikan tenggiri, dan air rebusan digunakan untuk kisar tulang dan juga isi ikan, asingkan isi dan tulang.
2. Kisar tulang dan tapiskan serta ambil airnya
3. Kemudian kisar pula isi ikan menggunakan air kisaran tulang tadi. Ketepikan bahan A ini.
4. Selepas ikan kurau masin dibakar dalam kuali, rendam ikan masin dalam air dan dikisar halus menggunakan air rendaman tadi. Buangkan kulit ikan kurau masin. Ketepikan bahan B ini.
5. Bahan C dikisar halus.
6. Campurkan bahan A,B, C masak hingga mendidih dengan api yang perlahan.
7. Setelah mendidih masukkan santan pekat, biarkan mendidih dan kacau selalu.
8. Masukkan pula kerisik, asam keping, garam dan gula
9. Masak lama lebih kurang 7 jam hingga pecah minyak dan kacau selalu.
10. Tuangkan kuah atas spageti, dan letakkan bahan ulaman dan sambal belacan.

INFO: Anda boleh juga menggunakan mi laksa yang biasa selain spageti. Ikan selayang juga boleh digunakan selain ikan tenggiri.

9. LAKSA KUAH MERAH TERENGGANU

BAHAN-BAHAN :

BAHAN KUAH :

  • 1500 ml santan pekat
  • 10 ekor ikan kembong atau ikan selayang/ direbus, dibuang tulang dan kisar
  • 4 sudu makan rempah kari ikan
  • 3 sudu makan kerisik
  • 2 sudu makan cili boh
  • 3 biji bawang besar /dikisar
  • 1 labu bawang putih /dikisar
  • 2 sm halia /dikisar
  • 4 sm lengkuas /dikisar
  • Sedikit serbuk kunyit
  • 2 sm belacan / dikisar45 gm ikan bilis /dikisar
  • 3 sudu makan udang kering /dikisar
  • 2 ketul gula Melaka
  • 3 sudu makan gula
  • 4 keping asam keping
  • 6 gelas air (220 ml satu gelas)

LAKSA:
1 kg laksa kering
*Direbus hingga lembut dan toskan

BAHAN ULAM: (dihiris halus kecuali taugeh)

  • 150 gm kacang panjang
  • 1 kuntum bunga kantan
  • 100 gm taugeh
  • 60 gm daun kemangi/selasih
  • 200 gm kubis (jika suka)

BAHAN SAMBAL:

  • 100 gm cili merah
  • 20 gm belacan /dibakar
  • Garam secukup rasa
  • *Tumbuk sekali hingga lumat

CARA MEMASAK;
1. Panaskan minyak di dalam periuk. Tumis bahan kisar bawang , belacan dan rempah kari ikan dan masukkan cili boh sehingga naik minyak.
2. Bila agak garing masukkan santan dan air.
3. Masukkan pula gula Melaka dan asam keeping.
4. Apabila hampir mendidih, masukkan ikan kembong/selayang, bilis dan udang kering yang dikisar tadi bersama gula dan garam secukup rasa.
5. Mendidih tutup api dan kuah siap dihidangkan bersama laksa, ulaman dan sambal belacan.

INFO : Laksa Terengganu ada dua jenis. Laksa kuah merah dan laksa kuah putih. Laksa kuah putih lebih rasa lemak, Laksa kuah merah bagi mereka yang sukakan rasa masam dan manis yang enak.

 

10. LAKSA LEMAK PANTAI TIMUR

BAHAN-BAHAN:

  • 2kg laksa basah
  • 8 ekor ikan selayang | direbus dan ambil isinya
  • 2 cawan santan pekat
  • 2 cawan air untuk tambahan | untuk sesuaikan pekat/cair
  • 1 labu bawang besar | kisar
  • 8 ulas bawang merah | kisar
  • 1 ulas bawang putih | kisar
  • 1 inci halia | kisar
  • ½ sudu teh lada hitam | tumbuk halus
  • 2 keping asam gelugor
  • Garam dan gula secukup rasa
  • serbuk perasa

BAHAN SAMBAL LADA:

  • Cili padi
  • Garam
  • Belacan

BAHAN ULAM-ULAMAN/HIASAN:

  • Tauge
  • Kacang panjang | hiris halus
  • Timun | hiris halus
  • Bunga kantan | hiris halus
  • Kubis| hiris halus

CARA MEMASAK KUAH:

  1. Kisar isi ikan bersama air hingga halus.
  2. Masukkan semua bahan di atas ke dalam periuk dan kacau hingga sebati.
  3. Jerang atas api dan hendaklah sentiasa dikacau sehingga mendidih untuk dapatkan tekstur kuah yang halus.
  4. Pastikan api tidak terlalu besar dan tidak terlalu kecil. Kacau hingga mendidih.
  5. Sesuaikan rasa dan tutup api.

CARA BUAT SAMBAL LADA:

  1. Satukan semua bahan dan kisar sehingga halus.
  2. Sesuaikan rasanya.

Info chef: Jika kuah terlebih pekat boleh masukkan sedikit air panas.

 

11. LAKSA SARAWAK

 BAHANBAHAN PES LAKSA SARAWAK (200gm)

  • 8 biji bawang merah | kisar halus
  • 4 ulas bawang putih | kisar halus
  • 10-12 tangkai cili kering | kisar halus
  • 1 inci lengkuas | kisar halus
  • 1 sudu teh ketumbar | kisar halus
  • 1 sudu teh jintan manis
  • 1 sudu teh jintan putih
  • 3 biji buah keras | kisar halus
  • 2-3 batang serai  | kisar halus
  • 1 inci belacan bakar  | kisar halus
  • 1/4 cawan kacang tanah | digoreng dan dikisar halus
  • 1/4 cawan bijan | digoreng tanpa minyak dan dikisar halus
  • Sedikit garam
  • Sedikit minyak untuk menumis

BAHAN-BAHAN KUAH:

  • 200gm pes laksa
  • Isi ayam secukupnya | direbus dan dicarik halus
  • 1/2 kilo udang basah
  • 1 bungkus bihun | direndam dan dicelur
  • 4 biji telur | didadarkan dan dihiris halus
  • 2 batang serai | diketuk
  • 250ml santan pekat
  • Garam dan gula secukup rasa
  • Taugeh | dicelur
  • Sedikit daun ketumbar | diracik
  • Limau kasturi secukupnya | dibelah dua

BAHAN SAMBAL UDANG KERING :

  • 6 biji bawang merah | dikisar
  • 2 ulas bawang putih | dikisar
  • Sedikit belacan bakar | dikisar
  • Segenggam udang kering | dikisar halus
  • 4-5 sudu makan cili kisar
  • Sedikit air asam jawa
  • Garam dan gula

CARA MEMASAK PES:

  1. Satukan semua bahan yang telah dikisar halus.
  2. Panaskan minyak. Tumis bahan-bahan tadi sehingga keperangan. Tambah garam dan sedikit gula. Kacau rata-rata.

CARA MEMASAK KUAH LAKSA:

  1. Panaskan 2 liter air dalam periuk. Kemudian masukkan udang yang sudah dibersihkan bersama serai. Rebus hingga udang masak. Kemudian toskan udang.
  2. Masukkan pes laksa ke dalam air rebusan udang tadi dan kacau menggunakan api perlahan. Boleh tambah air jika perlu.
  3. Masukkan santan dan perasakan dengan garam dan sedikit gula.
  4. Masukkan mihun ke dalam mangkuk, letakkan bahan-bahan seperti taugeh, telur, daun ketumbar, isi ayam dan telur. Tuangkan kuahnya dan perahkan dengan limau kasturi. Hidangkan panas-panas.

CARA MEMASAK SAMBAL UDANG KERING: 

  1. Tumiskan bahan-bahan kisar dan cili kisar tadi hingga pecah minyak.
  2. Perasakan dengan garam dan gula dan masukkan air asam jawa. Kacau hingga pekat.

Info chef: Simpan pes di dalam bekas yang bertutup dan masukkan ke dalam peti sejuk untuk menyimpan dalam tempoh lama.

 

Published by
Nur