Koleksi Resipi Telur Dadar Sedap, Pelbagai Rasa & Mudah Dimasak.

Share

Semua orang suka menu telur dadar ni. Sedap malah sangat mudah nak masak. Bagi yang terasa nak makan telur dadar panas-panas, ni ada resipi yang diolah menjadikan menu ini lebih menarik dan lebih sedap! Anda boleh cuba.

 

1. TELUR DADAR TERUNG BAKAR

BAHAN-BAHAN:

  • 2 biji terung
  • 2 biji telur
  • Garam dan perasa secukupnya
  • Minyak masak secukupnya

CARA MEMASAK:

  1. Bakar terung atas api sekali dengan kulit hingga warna ungu bertukar hitam.
  2. Biarkan sejuk dan buang kulit terung yang kehitaman tadi.
  3. Pecahkan telur dalam bekas dan pukul sekejap. Masukkan garam dan perasa tambahan lain. Boleh juga tambah lada sulah atau lada hitam.
  4. Masukkan terung dalam bekas berisi telur tadi, lenyekkan pakai garpu.
  5. Masukkan dalam kuali yang berisi minyak panas. Goreng macam buat telur dadar biasa tu.
  6. Siap! Sedia untuk dinikmati.

Kredit resipi & foto: Jastia Taza

 

2. TELUR DADAR DAUN MERUNGGAI

BAHAN-BAHAN:

  • 3 biji telur itik
  • 4 ulas bawang merah | tumbuk
  • 1 ulas bawang putih | tumbuk
  • Cili kering secukupnya | tumbuk
  • 3 cekak daun merunggai
  • Garam dan perasa secukupnya

CARA MEMASAK:

  1. Pecahkan telur dan masukkan bahan tumbuk. Gaul rata.
  2. Masukkan daun merunggai dan perasakan secukupnya.
  3. Goreng hingga masak.

Kredit resipi & foto: Noor Hafiza Mohamad

 

3. MASAK LEMAK TELUR DADAR

BAHAN-BAHAN:

  • 4 biji telur | campur garam dan goreng dadar
  • 2-3 ulas bawang merah | hiris @ tumbuk
  • 1-2 ulas bawang putih | hiris @ tumbuk
  • 3-4 biji cili padi | hiris @ tumbuk
  • Ikan bilis secukupnya | tumbuk
  • 1 batang serai | ditumbuk
  • 1-2 biji terung
  • Tomato
  • Garam dan perasa secukupnya

CARA MEMASAK:

  1. Panaskan minyak dan tumis bahan tumbuk hingga garing.
  2. Kemudian masukkan terung. Biarkan masak.
  3. Tambahkan santan dan bila dah mendidih, masukkan telur dadar.
  4. Perasakan dengan garam dan perasa. Akhir sekali letakkan tomato. Siap!

Kredit resipi & foto: Suzie Zaley

 

4. TELUR DADAR STAIL GERAI

BAHAN-BAHAN:

  • 4 biji telur
  • 1/2 sudu teh garam
  • 1/2 sudu teh serbuk lada sulah
  • 1 sudu makan tepung jagung
  • 1 sudu teh mayonis
  • 1 biji cili merah – dicincang halus
  • 1 biji bawang besar – dicincang

CARA MEMASAK:

  1. Campurkan semua bahan dan gaul rata.
  2. Panaskan sedikit minyak di dalam kuali. Dadarkan telur.
  3. Kecilkan api, tutup kuali hingga bawah telur kuning keemasan.
  4. Terbalikkan telur. Masak lagi hingga telur masak.
  5. Angkat dan sedia untuk dihidangkan.

Nota: boleh tambah apa2 sayur, saya tambah carrot, daun sup daun bawang, bawang kuning, cili merah. Kalau nak telur tebal pakai kuali yg paling kecil.

Kredit resipi & foto: Lina Thomas

 

5. TELUR DADAR CENCALOK

BAHAN-BAHAN:

  • 2 biji telur
  • 1 sudu makan cencalok | tapis dan eorah airnya
  • 1-2 biji bawang merah | hiris
  • 2 biji cili padi | hiris

CARA MEMASAK:

  1. Satukan semua bahan dan gaul rata.
  2. Panaskan minyak dan goreng. Angkat bila masak.
  3. Enak dinikmati bersama nasi panas dan perahan limau nipis.

Kredit resipi & foto: Reen Nasreen

Published by
Nur