Kuah Soto Tok Mak Resipi Tradisi Datin Fadzillah, Sesuai Hidangan Syawal

Share

 

Resipi turun temurun adalah resipi yang selalu dimasak dan pelajari oleh seisi keluarga. Meminati soto, membuatkan Datin Fadzillah binti Mat Idin menghasilkan rempah sendiri. Baginya sesuatu yang sedap perlu dikongsi dengan orang ramai.

RASA bertuah kerana beliau sudi muncul dalam live di facebook majalah RASA bagi menunjukkan cara membuat Soto Tok Mak.

Tok Mak adalah panggilan mesra untuk Datin Fadzillah. Beliaulah Pengasas Rempah Soto Serbaguna Tok Mak dan Puding Raja Tok Mak. Aktif berniaga online di facebook dan instagram. Pernah viral dengan dua produk tersebut. Rempah sotonya menembusi pasaran luar negara seperti Arab Saudi, Abu Dhabi, Qatar, Jepun dan Korea Selatan. Sejak puding raja viral, beliau menjadi ikutan dan muncul peniaga puding raja di atas talian. Kini beliau aktif menjadi tenaga pengajar dan membuat personal class masakan.

Jom tengok resipi yang beliau hasilkan.

KUAH SOTO AYAM

BAHAN KISAR
3 ulas bawang putih
5 ulas bawang merah
3 cm halia
3 biji buah keras

CARANYA: Kisar semua bahan dengan sedikit air menjadi semangkuk.

BAHAN LAIN
1 cawan minyak masak untuk menumis
3 sudu besar rempah soto
2 keping dada ayam
2 jag air
1 cawan santan pekat
Garam secukup rasa
Sedikit lada sulah

CARA MEMBUAT
1. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar. Masukkan rempah soto dan tumis lagi.
2. Masukkan ayam dan air. Biarkan mendidih.
3. Masukkan santan. Perlahankan api. Biarkan sampai mendidih.
4. Masukkan garam dan lada sulah. Kacau sehingga benar-benar masak.

 

Inilah rempah Soto Tok Mak yang power tu.

BERGEDEL DAGING

BAHAN-BAHAN
500 gram daging
5 biji kentang
Sedikit garam
Sedikit daun bawang (racik halus)
Sedikit lada sulah
1 sudu kecil rempah sup
2 sudu besar tepung gandum
1 biji telur ayam
Minyak masak untuk menggoreng

CARA MEMBUAT
1. Kisar daging hingga lumat.
2. Potong kentang, gaul dengan garam dan goreng. Tunggu sejuk. Kemudian tumbuk lumat.
3. Gaul kentang yang sudah ditumbuk bersama daging, daun bawang, garam, lada sulah, rempah sup dan tepung gandum.
4. Bulatkan adunan dan celup ke dalam telur.
5, Panaskan minyak masak dan goreng adunan yang telah dibulatkan tadi.
6. Angkat dan toskan.

Bahan pelengkap hidangan soto.

 

Selamat mencuba!

Nak saksikan video masak Soto Tok Mak? Jom klik tengok LIVE di sini (Live Soto Tok Mak)

Published by
Maryam Elyas