Nak buat kuih tradisional memang memerlukan kesabaran. Walaupun ada kala bahan-bahannya tak banyak, tapi kena ada teknik membuatnya supaya sedap dan sama macam mak-mak kita buat dulu. Kuih bom adalah antara kuih tradisional yang masih tetap mempunyai peminatnya sampai sekarang. Nak membuatnya tidak menggunakan banyak bahan. Cuma tekniknya kena betul kerana tekstur kuih bom adalah agak liat. RASA kongsikan caranya.

KUIH BOM BIJAN INTI KELAPA MANIS

 

IKLAN

BAHAN UNTUK KULIT
500 gram tepung pulut
1 cawan tepung gandum
Secubit Garam
Air secukupnya
Bijan putih secukupnya

CARA MEMBUAT KULIT
1. Campur tepung pulut, tepung gandum dan garam dalam bekas. Gaul rata.
2. Kemudian tuang air sedikit demi sedikit. Uli sampai doh tidak melekat pada bekas.

BAHAN INTI
Kelapa parut
Gula Merah
Gula Pasir
Secubit Garam
Sedikit Air

CARA MEMBUAT INTI
1. Letakkan sedikit air ke dalam kuali. Masukkan gula merah, gula pasir dan garam.
2. Kacau sehingga gula cair.
3. Masukkan kelapa parut.
4. Masak sehingga warna kelapa menjadi sedikit gelap kemudian tutup api.

CARA BUAT KUIH BOM
1. Sebelum uli untuk masukkan inti, pastikan tangan dilumur dengan sedikit minyak masak.
2. Ambil doh dan masukkan inti kelapa. Bulatkan dan gaulkan dengan bijan.
3. Buka api sederhana besar. Masukkan minyak masak.
4. Apabila minyak sederhana panas, masukkan kuih bom dan kecilkan api.
5. Selepas kuih bom mula mengembang dan bertukar warna, kacau kuih bom sehingga masak.

TIP UNTUK KUIH TIDAK PECAH
1. Sentiasa kacau.
2. Pastikan minyak masak tidak terlalu panas sebelum masukkan kuih bom.

Resipi oleh Zuhaidar Mohd Sofi dari Telegram KakiMakan